"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adegan ‘panas’ drama Perempuan Itu tidak patut ada dalam budaya tempatan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berpandangan adegan panas ‘teaser’ drama Perempuan Itu tidak sesuai dengan budaya tempatan.

Beliau berkata, keputusan sama ada drama itu ditayangkan atau tidak dibawah kuasa Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).

“Kita serah kepada K-KOMM untuk mengambil sebarang tindakan. Dari sudut panduan agama, budaya seperti itu tidak sepatutnya dibawa ke dalam negara kita,” katanya menurut laporan Bernama.

Bagaimanapun katanya, pihaknya tidak hanya akan berdiam diri, sebaliknya satu sesi perbincangan akan diadakan bersama K-KOMM bagi mencari satu ketetapan, garis panduan dan solusi agar isu seperti tidak berulang.

Terdahulu, K-KOMM telah memberi amaran keras kepada semua pengendali syarikat televisyen, supaya tidak memaparkan sebarang adegan menyentuh sensitiviti agama dan rakyat di negara ini.

Menterinya, Annuar Musa berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan, sekiranya terdapat stesen televisyen yang melanggar garis panduan ditetapkan.

Presiden PAS positif Covid-19

Malaysiakini 

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dijangkiti Covid-19.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata bapanya yang berusia 74 tahun mengalami gejala ringan.

"Mohon doa kepada Ayahanda Tuan Guru supaya diberikan kesembuhan segera.

"Beliau telah disahkan positif Covid-19 dan hanya mengalami gejala ringan.

"Kini sedang menjalani kuarantin di rumah dan dalam keadaan baik," katanya di Facebook.

Tahun lalu, Hadi pernah masuk Institut Jantung Negara kerana masalah kesihatan.

Dia dimasukkan ke wad pada Februari selepas mengalami kesukaran bernafas dan sekali lagi menerima rawatan pada Jun lalu.

Semasa PRN Johor, Hadi juga dilihat mengehadkan pergerakannya semasa kempen, sering muncul dengan bilangan hadirin yang terhad.

Dalam acara lain, dia juga pernah diwakili oleh timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man.

Negara ini menyaksikan gelombang jangkitan baru disebabkan oleh varian Omicron.

Semalam, terdapat 283,276 kes aktif Covid-19.

Bagaimanapun, jumlah kes harian kelihatan stabil selepas lonjakan bermula bulan lepas.

Apakah Umno terdedah untuk diharamkan?

Usul tangguh lagi pemilihan tiada dalam perlembagaan, apakah Umno terdedah untuk diharamkan?

SHAHBUDIN HUSIN

Perhimpunan Agung Umno atau PAU2021 yang berakhir petang semalam sebulat suara meluluskan usul menangguhkan pemilihan parti selama enam bulan selepas PRU15 diadakan.

Bermakna, ini adalah penangguhan kali kedua yang mahu dinikmati Umno setelah pemilihan parti semasa sudah pun ditangguhkan selama 18 bulan yang tempohnya berakhir pada 29 Disember tahun ini.

Tetapi, berbanding menangguhkan pemilihan selama 18 bulan sebelum ini adalah perkara yang memang tertulis dalam perlembagaan Umno, menangguhkan lagi selama enam bulan ini perlu membuat permohonan khusus kepada Pendaftar Pertubuhan atau RoS untuk kelulusan.

Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dalam ucapan penggulungannya berkata, sehubungan itu UMNO akan membuat permohonan segera kepada RoS berkaitan perkara tersebut.

Beliau juga meminta Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob agar campurtangan bagi memastikan permohonan itu tidak berdepan masalah.

Nampaknya, belum apa-lagi Mohamad Hasan atau Tok Mat sudah pun menunjukkan kecenderungan untuk Umno campur tangan dalam hal ehwal kerajaan.

Adakah Umno akan lebih mengasak Ismail Sabri hingga ke dinding agar bubarkan Parlimen secepat mungkin?

Dalam masa yang sama, dengan penuh yakin beliau menegaskan, bersama lulusnya usul tersebut, bererti jika PRU15 diadakan pada tahun 2030 sekali pun, pemilihan Umno hanya akan diadakan enam bulan selepas itu.

Kenyataan tersebut dengan sendirinya menggambarkan betapa begitu ghairah dan terdesaknya kepimpinan Umno sedia ada mahu PRU15 tetap didahulukan berbanding pemilihan parti tanpa memperdulikan perlembagaan sendiri.

Soalnya, mampukah hasrat Umno itu menjadi kenyataan kerana usul PAU bukanlah suatu perkara yang boleh mengubah atau mengatasi perlembagaan parti.

Perlembagaan Umno hanya memberi kebenaran pemilihan parti ditangguhkan selama 18 bulan dan tiada lagi penanggunan tambahan buat kali kedua dibenarkan selepas itu.

Akhirnya perkara ini adalah terserah kepada budi bicara RoS dan Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin yang juga merupakan Setiausaha Agung Bersatu sama ada mahu meluluskan atau sebaliknya.

Bagaimana jika permohonan Umno itu tidak diluluskan?

Apakah Umno sedia mengadakan pemilihannya sebelum 29 Disember tahun ini walaupun kiranya Parlimen belum lagi dibubarkan?

Atau jika permohonan itu ditolak oleh RoS, ia akan membuatkan Umno lebih mengasak Ismail Sabri Yaakob hingga ke dinding agar segera membubarkan Parlimen secepat mungkin?

Inikah erti dan bentuk kestabilan bagi Zahid Hamidi yang kini menerajui Umno?

Yang nyata, seperti ikan yang busuknya bermula daripada kepala, selagi Umno dipimpin oleh pemimpin yang bermasalah, selagi itulah kecelaruan akan terus berlaku tanpa ada titik noktah.

Persoalan lain, tidak mungkinkah tindakan meluluskan usul menangguhkan pemilihan selama enam bulan selepas PRU15 itu suatu tindakan yang boleh menyebabkan Umno diharamkan kerana melanggar perlembagaannya sendiri?