"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas Adun Bersatu Melaka sertai Amanah

 Malaysiakini

Bekas Adun Bersatu Melaka, Noor Effandi Ahmad, memilih Amanah sebagai wadah baru politiknya.

Menurut Noor Effandi, dia menyerahkan borang keahlian Amanah kepada naib presiden parti itu, Adly Zahari, kelmarin.

Penyertaan bekas exco Melaka itu kemudian disahkan Adly.

"Selamat datang kepada Datuk Noor Effandi Ahmad dan Sdr Afiq Nordin serta rakan-rakan dalam keluarga Parti Amanah Negara.

"Semoga kita cekal terus berusaha untuk masa hadapan yang lebih baik buat negara," katanya melalui hantara di media sosial.

Dalam PRU ke-15 lalu Noor Effandi mewakili Bersatu - dan Pakatan Harapan (PH) - bagi merebut kerusi Telok Mas. Dalam pertandingan tiga penjuru itu dia mengalahkan calon BN, Abdul Razak Abdul Rahman; dan Rosazli Md Yasin (PAS) dengan kelebihan 1,288 undi.

Semasa berada dalam kerajaan Noor Effandi pernah dilantik sebagai exco pendidikan, pengajian tinggi, teknikal dan vokasional sains, dan inovasi.

Dia kemudian menyertai gerakan Bersatu meninggalkan PH sekali gus menjatuhkan gabungan tersebut daripada kerajaan, sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Bagaimanapun pada Sept 2021 Noor Effandi menyertai tiga Adun lain menarik balik sokongan mereka kepada kerajaan BN-Perikatan Nasional yang kemudian membuka jalan kepada pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Noor Effandi tidak dinamakan sebagai calon dalam PRN tersebut.

Menuru Adly apa saja yang baik wajar dijadikan teladan, manakala yang buruk dijadikan sempadan.

"Selamat berjuang dalam Parti Amanah Negara. Semoga kita semua sentiasa dalam rahmat Yang Maha Esa," katanya.

Sementara itu Noor Effandi berkata pengalamannya sebelum ini akan dimanfaatkan untuk membantu parti terbabit.

“Inilah wadah baru perjalanan politik saya. Sedikit sebanyak, pengalaman lalu - baik suka mahupun duka - akan dibawa bersama buat merencana suatu harapan yang lebih baik dan semoga membawa manfaat kepada Malaysia tercinta.

"Kekuatan diri akan diperkasa, kelemahan diri menjadi pedoman berharga,“ katanya.

Harga barang harian makin melambung, menteri ramai buat apa?

FAZLI RADZI

Rakyat diserang resah dengan harga makanan dan keperluan harian semakin melambung sejak sebelum Aidilfitri lagi. Menteri terlalu ramai dalam Kabinet yang terlebih saiz entah buat apa.

Tambah membuatkan orang ramai bimbang apabila dijangkakan harga semua barangan keperluan akan melonjak ekoran pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Belum dikuatkuasakan gaji minimum pun, harga barang sudah naik, bayangkan bagaimana nanti kenaikan harga barangan apabila kadar baharu itu dilaksanakan.

Kerajaan terutama menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dilihat macam tiada fungsi untuk mengawal harga barangan terutama menjelang musim perayaan.

Harga barangan banyak kali naik sejak kerajaan ‘pintu belakang’ meraih laba kuasa sedangkan gaji baru naik sekali.

Itu pun bukan semua rakyat menikmati kenaikan gaji malah ramai masih terkesan dengan pukulan wabak Covid-19 termasuk diberhentikan kerja.

Kesan kenaikan harga bahan makanan dilihat bakal memburukkan lagi kualiti hidup golongan B40 terutama di kawasan bandar. Keadaan diburukkan lagi jika mempunyai ramai anak selain beban menanggung kos tinggi rawatan penyakit kritikal, ahli keluarga OKU atau menjaga warga tua.

Lonjakan harga bahan makanan berlaku ketika Malaysia mempunyai enam individu yang berkaitan langsung dengan kewangan dan ekonomi.

Jumlah gaji dan elaun Menteri Kewangan, dua Timbalan Menteri Kewangan, Menteri Ekonomi, Timbalan Menteri Ekonomi dan Penasihat Ekonomi Perdana Menteri mencecah ratusan ribu ringgit setiap bulan.

Sejauhmana tindakan mereka dalam mengawal kejatuhan teruk nilai mata wang negara serentak dengan kenaikan mendadak harga makanan dipersoal.

Luahan rakyat di media sosial tentang realiti kos sara hidup yang semakin meningkat bertebaran. Ada yang membandingkan kesungguhan negara luar dalam mengawal harga keperluan makanan asas.

Pengguna Facebook, Awa Shi berkongsikan pandangannya tentang bagaimana Jepun mengawal harga makanan di semua jenis restoran sekitar 1,000 yen dalam satu hidangan.

“Sushi kebanyakannya 100 yen untuk satu pinggan. Nasi kepal atau onigiri pun 100 yen boleh dapat untuk sarapan.

“Kedai-kedai berkualiti macam Daiso 100 yen banyak di Jepun,” beritahunya lagi.

Situasi peningkatan harga barangan keperluan di Malaysia yang semakin kritikal turut menyaksikan lonjakan beberapa produk pertanian sekaligus kemungkinan risiko terjebaknya negara dalam krisis bekalan makanan.

Sehubungan itu, Burhanuddin Mohd Isa berharap semua rakyat berdoa agar kerajaan yang diterajui Ismail Sabri segera bertindak tidak hanya menjaga tembolok sendiri sahaja.

“Memang ada doa wabak bencana alam dan harga barang naik ini semua musibah,” katanya.

Malah, mereka yang berada di bahagian jualan juga mendedahkan sedang menaikkan harga barang dan servis susulan gaji minimum RM1,500.

Demokrasi dalam Umno sedang menuju kematian?

ARIF ATAN

Jika diperhalusi, pindaan perlembagaan yang diluluskan melalui Perhimpunan Agung UMNO Khas semalam dengan sendirinya menjadikan pemegang jawatan dalam parti itu dapat “berkubang” di kedudukan masing-masing sekitar lima tahun selepas memenangi jawatan yang ditandingi.

Meskipun ketetapan sebenar mensyaratkan pemilihan adalah setiap tiga tahun sekali, tetapi dengan keistimewaan sedia ada untuk melanjutkannya selama 18 bulan dan ditambah dengan pindaan baru iaitu enam bulan selepas PRU diadakan, bermakna tempoh pemegang jawatan dalam UMNO selepas ini adalah lebih lama berbanding hayat penggal Parlimen itu sendiri iaitu lima tahun.

Jika PRU diadakan genap lima tahun daripada tarikh pembubaran Parlimen sebelumnya dan dengan itu pemilihan UMNO hanya diadakan enam bulan kemudiannya, mereka yang berjawatan dalam UMNO lebih menikmati keistimewaan lagi kerana mampu memegang jawatan masing-masing selama lima setengah tahun lamanya.

Woww…seronoklah mereka yang ada jawatan dalam UMNO sekarang, terutama Presiden dan mereka yang segerombolan dengannya.

Mereka kini masih boleh mencatur kuasa dan menentukan calon dalam pilihan raya bagi memastikan masa depan tetap ceria, walaupun sedang ada kes mahkamah misalnya.

Daripada sudut yang lain, apakah keadaan yang berlaku dalam UMNO ini mampu menjadikan parti itu lebih diminati oleh generasi muda dan terus disokong oleh rakyat jelata?

Dalam keadaan UMNO berkuasa selama ini, memang diakui ada kewajaran untuk menangguhkan pemilihan selama 18 bulan bagi memberi laluan PRU diadakan terlebih dahulu.

Ini kerana pada ketika itu, penentuan tarikh PRU adalah dalam lingkungan kuasa Perdana Menteri yang juga merupakan Presiden UMNO menentukannya.

Tetapi, setelah UMNO tumbang dan kini kerajaan yang berkuasa adalah kerajaan campuran, malah mungkin selepas ini parti itu hilang lagi kuasa tanpa menang pilihanraya yang sedang dipegangnya sekarang, mengekalkan ketetapan lama itu sudah tidak lagi relevan.

Sebagaimana sekarang ini misalnya, disebabkan kerajaan yang berkuasa adalah kerajaan campuran, UMNO tidak lagi mempunyai kuasa menentukan tarikh PRU secara mutlak di sebalik kerusi Perdana Menteri yang hilang sebelum ini sudah pun dimiliki UMNO.

Lebih tidak relevan sebenarnya dengan UMNO melakukan pindaan baru semalam yang menetapkan pemilihan hanya akan diadakan enam bulan selepas PRU dilangsungkan.

Bayangkan, sementara mungkin parti lain yang berkuasa menentukan tarikh PRU, tetapi pemegang jawatan dalam UMNO tetap dapat bertahan dengan jawatan masing-masing tanpa tergugat sama sekali.

Dengan itu, apa gunanya ditetapkan tempoh pemilihan setiap tiga tahun kalau akhirnya mereka senang-senang dapat bertahan selama lima atau lima setengah tahun dengan jawatan yang dipegang?

Demokrasi apa begitu?

Apakah ini bermakna demokrasi dalam UMNO sedang menuju kematiannya?

Bukankah, sesuai dengan pengajaran daripada kekalahan pada 2018 lalu, pembesar-pembesar UMNO seharusnya lebih berjiwa besar dengan lebih wajar menetapkan pemilihan diadakan setiap tiga tahun secara mandatori tanpa ada keistimewaan lanjutan masa selama 18 bulan atau enam bulan selepas PRU dilangsungkan?

Atau alang-alang demokrasi semacam sudah mati jadinya di bawah kepimpinan sekarang, baik saja dipinda terus perlembagaan UMNO dengan menetapkan pemilihan hanya diadakan setiap enam tahun sekali?