"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Shahidan dakwa ada usaha agar kabinet tak bertahan lama

N Faizal Ghazali

Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim mendakwa usaha sedang dibuat untuk memastikan PN menjadi kerajaan.

Dalam sidang media selepas kempen PN di Padang Serai hari ini, Shahidan memberi gambaran betapa kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim tidak akan bertahan lama.

"Kita bersyukur, petanda yang baik sekarang ini ialah sokongan kepada PN luar biasa. Saya ucap tahniah kepada barisan kabinet Anwar Ibrahim. Kita redalah apa yang berlaku.

"Jadi kami sedang berusaha supaya kabinet ini tidak tahan lama dan insya-Allah kami yang akan kembali memerintah berdasarkan mandat rakyat.

"Parti yang menang besar ialah anggota daripada PN iaitu PAS," katanya hari ini.

Kerajaan yang dipimpin Anwar pada masa ini terdiri daripada gabungan PH, BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan beberapa pihak lain.

Berdasarkan kiraan, sehingga kini 148 ahli parlimen menyokong kerajaan pimpinan Anwar, bermakna dia mendapat sokongan daripada dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Mengulas barisan jemaah menteri yang diumumkan Anwar dua hari lalu, Shahidan berkata ia terdiri daripada mereka yang tiada pengalaman dan kurang kepakaran.

"Yang pertamanya kurang kepakaran pada pandangan mereka. Itu sebab mereka terpaksa lantik orang kalah untuk jadi menteri.

"Padahal orang kalah ini orang yang sudah tidak dapat kepercayaan rakyat, tidak wajar memimpin lagi. Dia jadi pengikut sudahlah ataupun jadi senator biasa.

"Ahli parlimen ramai yang hebat tetapi tak dilantik, di kalangan Umno dan DAP, untuk menerajui kementerian-kementerian penting tapi mungkin dia (Anwar) anggap mereka ini tidak pandai ataupun tidak pakar, hingga terpaksa lantik mereka yang kalah," kata Shahidan yang merupakan bekas pemimpin Umno.

Dia juga menyifatkan pelantikan empat menteri dari senator sebagai tidak wajar.

"Saya tengok kawan-kawan di kalangan dalam Umno itu, kasihan mereka.

"Tapi jangan bimbang kalau mereka tak dipercayai, datanglah kepada PN. Kami akan percayakan mereka," ujar Shahidan lagi.

Kerjasama PH-BN mampu lama tadbir Malaysia, PN telan asap sajalah!

SHAHBUDIN HUSIN

Sedar tak sedar, selain di peringkat pusat di mana Anwar Ibrahim daripada PH yang mengetuai kerajaan perpaduan sekarang disokong oleh BN yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi, kerjasama PH dengan BN juga turut wujud di dua negeri yang lain.

Negeri berkenaan ialah Perak dan Pahang yang mana wakil BN telah disepakati terus mengetuai kedua-dua kerajaan negeri itu dengan disokong oleh PH.

Di peringkat yang lebih kecil, kerjasama seumpamanya juga telah dipersetujui dalam pilihan raya di Padang Serai dan Tioman yang pengundiannya pada 6 Disember akan datang.

Bagi Padang Serai, oleh kerana penamaan calon telah berjalan, maka calon BN telah menarik diri untuk memberi sokongan kepada PH, manakala di Tioman pula, calon PH menarik diri untuk memberi sokongan kepada BN.

Di atas kertas, berikutan wujud kerjasama itu, tiada masalah untuk PN ditewaskan di kedua-dua kerusi berkenaan.

Dengan perkembangan ini, terutama jika PH menang di Padang Serai dan BN juga menang di Tioman, harapan untuk melihat kerjasama kedua-dua gabungan diperluaskan lagi adalah lebih cerah.

Dengan PH dan BN yang saling mempunyai kekuatan tersendiri dalam konteks yang berbeza, kerjasama atau penggabungan kedua-duanya tidak dinafilan mampu mewujudkan satu kekuatan baru yang dinamik untuk masa depan negara.

Jika bank-bank sebelum ini boleh bersetuju untuk bergabung dan akhirnya apa wujud adalah gergasi bank yang lebih kukuh dan diyakini pengguna, tiada sebab hal yang sama tidak boleh berlaku dalam politik negara ini.

Apabila PH dan BN dapat digabungkan, kekurangan dan kelemahan masing-masing dapat diatasi dengan lebih baik lagi, bahkan memberi keyakinan yang tinggi kepada rakyat.

Oleh sebab apa yang rakyat harapkan ialah kestabilan, entiti politik yang lebih besar adalah jawapannya berbanding parti kecil yang bersepah-sepah tanpa jenama yang kukuh.

Terutamanya bagi BN yang kini hanya tinggal 4 parti di dalamnya berbanding 13 parti sebelum PRU14 dulu, pilihan yang terbaik untuk terus relevan dalam perjuangan dan kekal berada dalam kerajaan ialah hanya dengan bekerjasama dengan PH.

Bergerak sendirian atas nama BN semata-mata sudah tidak relevan lagi, terutama kerana PH mempunyai sokongan bukan Melayu dan masyarakat bandar serta separa bandar yang kukuh, sementara MCA dan MIC sudah tidak lagi diyakini.

Begitu juga dengan PH, sementara sokongan pengundi bandar dan separa bandar kepadanya agak kukuh, kehadiran Umno yang asas sokongannya adalah pengundi Melayu luar bandar bersamanya, kedudukannya akan jadi lebih diterima lagi.

Untuk fasa yang seterusnya, terutama oleh sebab jelas ternampak kerjasama PH dan BN di peringkat pusat dan di Perak serta Pahang sudah mula menggerunkan pihak lawan, ia sewajibnya harus diusahakan sama dalam PRN di beberapa negeri yang akan berlangsung selepas ini.

Yang penting, semua negeri yang bakal mengadakan pengundian nanti mesti dipastikan dikuasai oleh gabungan PH dan BN juga.

Siapa yang harus mengetuai negeri dan dari segi pembahagian kerusi, semuanya mesti dirundingi dengan baik.

Jika semua itu berjaya dilakukan, yang lebih penting selepas itu ialah masing-masing harus menjaga semua kerajaan yang ditubuhkan melalui kerjasama PH dengan BN itu dengan sebaik-baiknya.

Masing-masing harus lebih bertolak ansur, berlapang dada, sedia memberi dan menerima serta berjiwa besar atas nama dan semangat Malaysia yang pelbagai sifatnya.

Kalau semuanya dapat dijaga dengan baik – percayalah – gabungan PH dan BN ini mampu terus mentadbir dan menguasai kerajaan di negara ini selama 50 tahun atau sehingga 100 tahun akan datang.

PN, Bersatu dan Pas – bakal telan asap sajalah lepas ini!

Naratif baru serangan PN - 'Anwar PM tak berfungsi'

Malaysiakini 

PN sebelum ini menggunakan sentimen kaum dan agama untuk menyerang pihak lawan khususnya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan PH.

Bagaimanapun naratif yang digunakan kali ini sedikit berbeza. Kini sasarannya adalah barisan kabinet, dengan pemimpin PN cuba menggambarkan Anwar sebagai perdana menteri yang tidak berfungsi (lame duck).

Ia selepas Menteri Komunikasi Digital Fahmi Fadzil menjustifikasikan pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan perdana menteri, dengan berkata calon menteri bukan ditentukan sendiri oleh Anwar.

Sebaliknya, kata Fahmi yang juga ketua penerangan PKR, calon jemaah menteri dalam kerajaan sekarang ditentukan oleh parti dan gabungan masing-masing yang terdiri daripada PH, BN, GPS, GRS, Warisan, dan lain-lain.

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, menegaskan penjelasan Fahmi mengesahkan bahawa Anwar sememangnya "PM yang tidak berfungsi" (lame duck PM).

Ashraf, yang berulang kali menggunakan gelaran itu terhadap Anwar alam hantaran Facebook sejak semalam, berkata ahli parlimen Tambun itu perlu tunduk dan tiada kuasa atas segala tuntutan BN.

“Bayangkan apa lagi tuntutan ke hadapan? Prinsip telah digadai?" soal Ashraf.

Ashraf juga mendakwa ia telah menjejaskan kemampuan Anwar untuk melantik pemimpin PH yang bagus seperti Dr Dzulkefly Ahmad, apabila terpaksa melantik Tengku Zafrul Abdul Aziz yang tewas di tangan pemimpin Amanah itu dalam PRU15.

"Sebab ‘tak ada kuasa’ bak kata macai, walhal Anwar dan pentaksub canang kata kerajaan Yang di-Pertuan Agong dan sokongan kepada kerajaan campuran diberikan tanpa syarat, (tetapi) tak letak Dr Dzulkefly itu sendiri pun dah tak kompeten. Tak lame duck?" soalnya.

“Banyak nama lebih baik diperakui rakan dari Amanah antaranya Ahli Parlimen Alor Gajah Adly Zahari, tetapi dia tidak melantik mereka. Sebaliknya, memilih Mohamad Sabu dan DAP tetap jadi pilihan.

“Ini bukan kerajaan reformasi, ini kerajaan parti politik ke kerajaan untuk rakyat?" soalnya lagi.

‘Siapa buat keputusan?'

Sementara itu, Timbalan Ketua Bersatu Shah Alam Dr Afifi Bahardin turut mempersoalkan jika Anwar seorang perdana menteri yang tidak berfungsi.

"Adakah kita ada ketua kerajaan atau ini sebuah kerajaan tanpa perdana menteri yang berkesan?

"Jika Anwar terlalu lemah walaupun untuk tidak memasukkan kleptokrat dalam kabinetnya, bagaimana kerajaannya dapat memberi perubahan bermakna atau reformasi untuk rakyat?

"Lebih penting, ini kerajaan siapa? Siapa yang buat keputusan dalam kerajaan ini? Anwar atau Zahid yang berdepan 47 pertuduhan korupsi?" soal bekas pemimpin pemuda PKR itu lagi, mengulas kenyataan Fahmi.

Afif turut mengecam Fahmi yang menurutnya membuat percubaan "terdesak" untuk mempertahankan pelantikan menteri dengan berselindung di sebalik konsep kerajaan perpaduan.

"Fahmi dan anggota kerajaan BN-PH yang lain perlu henti ulang pembohongan bahawa kita ada kerajaan perpaduan di Malaysia. Kerajaan baru ini bukan kerajaan perpaduan," katanya lagi.

Menurut Afif, kerajaan perpaduam adalah apabila semua parti diwakili dan memandangkan PN tiada dalam pentadbiran, PH sebenarnya mengetuai "kerajaan gabungan".

Pada 25 November lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin menolak tawaran Anwar untuk menyertai kerajaan perpaduan seperti yang dititahkan Yang di-Pertuan Agong.

Dia juga mengesahkan PN akan menjadi pembangkang.

Semalam pula, dia mendakwa Anwar telah menggadai prinsip tatakelola yang baik seperti yang dilaungkan sepanjang kempen PRU, apabila melantik "kleptokrat" dalam kabinet.

Dia juga menyifatkan kabinet Anwar sebagai "paling mengecewakan dalam sejarah negara" apabila seorang yang perlu membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dilantik menjadi timbalan perdana menteri.

Presiden Bersatu itu juga mendakwa ada ahli parlimen yang dikenali dengan sikap "cauvinis melampau" dilantik menerajui kementerian tertentu.

Dia bagaimanapun tidak menyebut mana-mana nama secara khusus.

"Sistem negara kita telah rosak apabila individu bankrap moral dan prinsip boleh dilantik menerajui negara dan yang terpalit dengan jenayah rasuah menganggotai kabinet," katanya lagi.

Peralihan naratif oleh PN, dengan tumpuan terhadap tadbir urus, nampaknya diketuai Bersatu.

Sebelum ini, kebanyakan serangan terhadap kerajaan adalah dari PAS dengan retorik bernada kaum dan agama.

Namun, pada Khamis lalu Majlis Raja-Raja Melayu menggesa pemimpin politik tidak lagi membangkitkan isu kaum dan agama.