"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

E-hailing Pati

Hafidzul Hilmi Mohd Noor
hafidzul@hmetro.com.my
KENDERAAN Toyota Velfire yang dipandu remaja membawa kepada penemuan 25 Pati di Jalan Selinsing, ibu kota. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
KENDERAAN Toyota Velfire yang dipandu remaja membawa kepada penemuan 25 Pati di Jalan Selinsing, ibu kota. Hasil pemeriksaan polis berjaya menemui 19 lelaki dan enam wanita berusia 15 hingga 39 tahun yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan.
Kuala Lumpur: Sindiket penyeludupan manusia kini 'melantik' pemandu e-hailing warga tempatan sebagai tekong darat atau transporter bagi memudahkan urusan mereka membawa pendatang asing tanpa izin (Pati) dari Indonesia ke lokasi tertentu.

Mereka dikesan bergiat aktif di kawasan laluan tikus seperti di Port Dickson, Negeri Sembilan dan juga Kuala Selangor, Klang di Selangor serta Tanjung Sedili, Johor.

Mendedahkan kepada Harian Metro, sumber keselamatan berkata, modus operandi itu dikesan aktif di sekitar kawasan pendaratan Pati.

"Warga asing ini akan transit dahulu di rumah transit, bagi mengurangkan risiko aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa, sindiket itu kemudiannya akan menggunakan khidmat pemandu e-hailing untuk mengambil warga asing terbabit ke tempat yang ingin dituju.

"Sindiket akan membayar harga yang lagi mahal berbanding tambang mengikut aplikasi perkhidmatan berkenaan menyebabkan ramai pemandu e-hailing sanggup mengambil penumpang warga asing berkenaan walaupun tahu ia adalah satu kesalahan," katanya.

Menurutnya, pemandu e-hailing dibayar dari RM500 sehingga RM1,500 bergantung kepada lokasi yang ingin dihantar.

"Sebagai contoh, sindiket akan membayar RM1,000 kepada pemandu untuk membawa Pati ke Kedah.

"Selain itu, sindiket turut menawarkan pekerjaan tetap atau merekrut pemandu e-hailing yang dipercayai mereka," katanya.

Menurutnya, ada juga kereta 'prebet sapu' yang didapati menyamar sebagai kenderaan e-hailing dan mempunyai hubungan dengan pihak sindiket.

"Terdapat juga aktiviti prebet sapu untuk membawa warga asing keluar dari rumah transit.

"Mereka ini akan dihubungi pihak sindiket sekiranya Pati mendarat di negara ini.

"Prebet sapu turut menggunakan pelekat e-hailing bagi mengaburi mata pihak berkuasa," katanya.

Wartawan Harian Metro turut meninjau di beberapa lokasi di Klang yang menjadi tumpuan pemandu e-hailing.

Kebanyakan mereka didapati tidak memeriksa dokumen penumpang terlebih dahulu kerana panggilan dibuat menerusi akaun warga tempatan.

Seorang penduduk tempatan yang enggan dikenali berkata, kehadiran kenderaan pemandu e-hailing yang ramai menimbulkan tanda tanya penduduk setempat.

"Pelik juga kalau kawasan sekitar pesisir Klang sehingga ke Banting, banyak kenderaan masuk, jika kita lihat penduduk disini kebanyakan mempunyai kenderaan sendiri.

"Boleh tengok di kawasan Pulau Carey dan beberapa kawasan di Banting, banyak kenderaan menunggu dengan pelekat e-hailing dipaparkan pada kenderaan masing-masing," katanya.

Ambil risiko dek upah tinggi

Menerima upah dengan kadar tinggi bagi membawa migran ke destinasi yang ingin dituju.

Itu antara punca pemandu e-hailing sanggup merisikokan diri walaupun sudah mengetahui ia menjadi satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

Bagaimanapun, kegiatan itu berjaya dikesan menerusi beberapa tangkapan terhadap pemandu e-hailing oleh Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (D3) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, hasil siasatan didapati sindiket sanggup membayar sehingga RM500 bagi satu kepala kepada pemandu e-hailing bagi membawa pendatang asing tanpa izin ke destinasi masing-masing.

"Memang tidak dinafikan, sindiket penyeludupan migran kini dikesan menggunakan khidmat pemandu e-hailing untuk menghantar Pati ke sesuatu destinasi.

"Sehingga Ogos lalu terdapat enam kes tangkapan membabitkan pemandu e-hailing yang membawa migran dari lokasi transit ke lokasi yang ingin dituju," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, walaupun kegiatan itu masih berada pada tahap yang rendah namun polis sentiasa memantau dan melakukan pemeriksaan terhadap pemandu dan penumpang e-hailing.

"Pada tahun ini terdapat enam kes membabitkan lapan tangkapan iaitu tujuh lelaki dan satu wanita dipercayai pemandu e-hailing.

"Mana-mana individu yang terbabit dalam jenayah ini akan disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670).

"Sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dihukum dengan penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau kedua-duanya," katanya.

Menurutnya, polis menasihatkan kepada pemandu e-hailing untuk tidak terbabit dalam kegiatan ini walaupun sindiket menawarkan pulangan yang lumayan.

"Jenayah penyeludupan migran ini boleh mengancam kedaulatan negara. PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana sindiket atau individu yang terbabit dengan menggunapakai segala peruntukan undang-undang yang sedia ada seperti Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA)," katanya.

Juri terpesona persembahan Putri Ariani, mara ke final AGT

Agensi
Putri Ariani
Putri Ariani 
Los Angeles: Penyanyi Indonesia, Putri Ariani berjaya mara ke pentas akhir program America's Got Talent (AGT) musim baharu pada 26 September ini selepas mendapat tepukan berdiri dan membuatkan Simon Cowell hilang kata-kata menerusi persembahan terbarunya.

Putri, 17, mendendangkan lagu U2 berjudul I Still Haven't Found What I'm Looking For dengan versi tersendiri sambil duduk bermain piano.

Cowell yang juga juri program itu paling teruja dengan persembahan menakjubkan terbabit serta mengakui sangat bersyukur Putri mencuba nasib untuk musim baharu AGT.

"Saya sebenarnya agak kehilangan kata-kata sekarang. Sungguh indah suara kamu. Versi yang cukup indah. Dan sejujurnya Putri, disebabkan inilah saya masih buat pekerjaan ini.

"Seikhlasnya untuk momen-momen seperti ini. Ia (persembahan) sangat indah," katanya.

Tiga juri lain iaitu Sofia Vergara, Heidi Klum, dan Howie Mandel juga sangat bersetuju persembahan berkenaan antara yang terbaik pernah mereka saksikan.

Putri adalah antara peserta yang berjaya layak ke peringkat seterusnya selepas mendapat 'Golden Buzzer' daripada Cowell di peringkat uji bakat.

Terdahulu, penyanyi yang mempunyai masalah penglihatan itu memukau dunia dengan nyanyian Sorry Seems to Be the Hardest Word sewaktu uji bakatnya.

Lelaki tayang alat sulit pada wanita ditahan

FMT Reporters
Tangkap layar video tular memaparkan seorang penunggang motosikal mendedahkan kemaluannya kepada seorang wanita.
PETALING JAYA: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai mendedahkan alat sulitnya kepada seorang wanita di satu tempat letak kereta di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Ahad.

Ketua polis Seberang Perai Tengah Tan Cheng San berkata suspek akan dibawa ke mahkamah Bukit Mertajam untuk mendapatkan perintah reman, lapor Berita Harian.

“Lelaki warga tempatan berusia lingkungan 50-an itu ditangkap di sebuah premis di Jalan Aston, jam 3.30 petang semalam,” katanya.

Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam kejadian pada Ahad lalu, seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal menghampiri seorang wanita di tempat letak kereta sebuah restoran makanan segera lalu membuka seluar nak menunjukkan kemaluannya sebelum melarikan diri.

Wanita itu kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Bukit Mertajam.

Satu video berdurasi 24 saat kejadian itu turut dikesan tular di media sosial.