"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Percubaan PADU mulai November ini

BERNAMA
Rafizi Ramli ketika menjadi tetamu program Buletin Bernama di Wisma Bernama malam ini. FOTO BERNAMA

Rafizi Ramli ketika menjadi tetamu program Buletin Bernama di Wisma Bernama malam ini. FOTO BERNAMA
Kuala Lumpur: Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka melalui tempoh percubaan mulai November ini sebelum dibuka kepada orang ramai pada Januari 2024 untuk kegunaan pengesahan maklumat peribadi.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata setakat ini, proses pembangunan sistem PADU yang menggabungkan maklumat sosioekonomi bagi setiap isi rumah rakyat Malaysia berjalan lancar mengikut garis masa dirancang.

"Garis masa PADU dari segi kerangka, use case, interface dan functionality dijangka siap menjelang Oktober ini sebelum diuji pada November hingga Disember dengan data sekumpulan rakyat Malaysia didaftarkan dahulu.

"Insya-Allah kalau semua berjalan baik, maka PADU akan siap untuk memegang (mengumpul) keseluruhan data rakyat Malaysia pada Januari 2024," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Buletin Bernama terbitan Bernama TV di sini hari ini.

Pada 15 Mei lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju menubuhkan PADU untuk menggabungkan maklumat sosioekonomi setiap isi rumah di negara ini bagi memperkemas pelaksanaan subsidi bersasar.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata data sistem PADU yang sedang dibangunkan akan merangkumi 270 pangkalan data daripada kementerian dan agensi kerajaan persekutuan serta kerajaan negeri dan badan berkanun melalui perjanjian perkongsian data sedia ada.

Beliau berkata apabila Akta Omnibus diluluskan di Parlimen nanti, ia akan mengambil alih tata kelola perkongsian data sistem berkenaan, dan menggantikan perjanjian itu.

Beliau berkata Akta Omnibus yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jun tahun hadapan antara lain bertujuan memastikan keselamatan perkongsian data serta memudahkan proses perkongsian data dan menjamin PADU sebagai pangkalan data berterusan.

Tekanan pegawai atasan didakwa punca rasuah penjawat awam

ROSKHOIRAH YAHYA
Isu rasuah turut berlaku apabila pegawai bawahan didakwa terpaksa memohon 'sumbangan' daripada pihak ketiga bagi merealisasikan kehendak pihak atasan. Gambar kecil: Nor Halmey
Isu rasuah turut berlaku apabila pegawai bawahan didakwa terpaksa memohon 'sumbangan' daripada pihak ketiga bagi merealisasikan kehendak pihak atasan. Gambar kecil: Nor Halmey
SHAH ALAM - Rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam wujud disebabkan oleh beberapa faktor antaranya tekanan daripada pegawai atasan yang menuntut sesuatu perkara.

Pengerusi Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah mendakwa, pegawai bawahan terpaksa memohon 'sumbangan' daripada pihak ketiga bagi merealisasikan kehendak pihak atasan.

"Selain itu, perjawatan yang tidak telus seperti lantikan atas dasar kenalan atau kroni sedangkan mereka tidak cukup kelayakan mendedahkan pegawai tersebut untuk mengambil rasuah.

"Bukan itu sahaja, tekanan dan kekangan semasa turut menjadi salah satu faktor berlakunya perbuatan tidak bermoral itu dalam kalangan penjawat awam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Khamis lalu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan menahan seorang penjawat awam yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM45,000.

Sumber memberitahu, wang berkenaan sebagai balasan melantik satu syarikat sebagai pembekal untuk program di bawah sebuah jabatan kerajaan di negeri ini.

Beliau juga memaklumkan, tandatangan itu bertujuan memperdaya pemilik syarikat untuk membayar wang rasuah yang diminta.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan kes disiasat bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Budak 2 tahun maut tercekik anggur

FMT Reporters

PETALING JAYA: Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dari Melaka meninggal dunia dipercayai akibat tercekik anggur.

Mangsa, Nur Aryanna Danisha Muhamad Shaizat, meninggal dunia selepas kira-kira 10 hari dirawat di hospital.

Ketua Polis Melaka Tengah, Christopher Patit, berkata Nur Aryanna disahkan meninggal dunia pada 9.23 pagi tadi ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) Hospital Melaka.

Katanya, terdahulu kanak-kanak itu menerima rawatan awal di sebuah hospital swasta di Ayer Hitam akibat tercekik ketika memakan anggur di rumahnya di Taman Merbok, Melaka, dan doktor di hospital berkenaan berjaya mengeluarkan buah itu.

Beliau berkata, bagaimanapun kanak-kanak itu didapati masih dalam keadaan tidak stabil dan perlu menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Kanak-kanak itu (kemudian) dipindahkan ke Hospital Melaka pada 31 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Christopher berkata, doktor memaklumkan punca kematian kanak-kanak itu akibat “Hyporxic Ischaemic Encephalopathy secondary to choking”.