"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ketua Bersatu Perlis berang diketepikan dari exco kali kedua

Malaysiakini

Pemimpin nombor satu Bersatu Perlis hari ini secara terbuka mengecam menteri besar ekoran namanya sekali lagi tercicir daripada pelantikan sebagai exco.

Malah Abu Bakar Hamzah juga menganggap Menteri Besar Mohd Shukri Ramli tidak menghormati pemimpin sendiri kerana tidak mengendahkan surat sokongan diberi Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Dipetik media selepas majlis mengangkat sumpah exco di Arau hari ini, Abu Bakar berkata selain diketepikan oleh Mohd Shukri, dia berpendapat ada pemimpin tertentu dalam Bersatu di Perlis mengkhianatinya.

"Saya cukup kesal kerana menteri besar membelakangkan keputusan presiden parti yang juga pengerusi PN (Muhyiddin) yang sudah memberi sokongan saya sebagai exco.

"Malah, saya juga kesal dengan segelintir pemimpin Bersatu sendiri yang 'menikam' saya daripada belakang dalam soal pelantikan exco," katanya yang dipetik BH Online.

Untuk rekod PAS dan Bersatu merupakan antara parti komponen yang membentuk PN. Selain Muhyiddin, Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula dilantik sebagai timbalan pengerusi.

Hari ini dua Adun baru dilantik menganggotai kerajaan negeri yang dipimpin Mohd Shukri, manakala seorang penyandang digugurkan.

Asrul Aimran Abd Jalil yang juga Adun Kayang dilantik mengetuai portfolio perumahan, kerajaan tempatan, pembangunan sumber manusia dan pembasmian kemiskinan.

Dia menggantikan Adun Bintong Fakhrul Anwar Ismail yang digugurkan.

Wan Zikri Afthar Ishak (Tambun Tulang) pula dilantik memegang portfolio pembangunan belia dan kemajuan sukan, pembangunan industri kecil dan sederhana dan wilayah ekonomi baru, dan pemerkasaan usahawan dan ekonomi kreatif.

Asrul Aimran dan Wan Zikri Afthar mengangkat sumpah sebagai exco di hadapan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau.

Sementara itu, lima exco sedia ada dan dikekalkan turut mengangkat sumpah.

Abu Bakar yang juga timbalan pengerusi PN Perlis berkata Muhyiddin memang mahu dia dilantik menyertai exco negeri tersebut.

Katanya Mohd Shukri - yang juga pesuruhjaya PAS Perlis - tidak pernah berbincang soal pelantikan exco bersama PN negeri.

“Saya rasa ini tidak harus berlaku kerana melanggar arahan presiden Bersatu (Muhyiddin) supaya perkara ini (pelantikan exco) dapat dibincangkan,” katanya yang dipetik Utusan Online.

Rogol, liwat remaja, 7 mengaku tak salah

FMT Reporters

PETALING JAYA: Lima remaja bawah umur antara tujuh lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Chukai atas tuduhan rogol dan meliwat remaja perempuan berusia 15 tahun.

Mereka berusia antara 14 hingga 19 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Wan Suhaila Mohd dan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa merogol dan melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia 15 tahun, lapor Harian Metro.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Kijal, Kemaman antara 4 petang hingga 6.15 petang, Julai 2022.

Dua tertuduh berusia 19 tahun yang berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 377B KK, didakwa di Mahkamah Sesyen, manakala lima lagi tertuduh yang juga pesalah juvana didakwa di Mahkamah Majistret mengikut kanun sama.

Semua tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, Wan Suhaila menetapkan 14 Dis untuk sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen.

Bagi kes di Mahkamah Majistret, kes disebut semula pada 3 Jan depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azhani Azman manakala tertuduh diwakili peguam, Ahmad Ahnaf Zaimi.

Terdahulu, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin masing-masing antara RM3,700 hingga RM8,000.

Bekas juruwang mengaku salah curi jongkong emas, wang tunai

Meor Riduwan Meor Ahmad
bhnews@bh.com.my
Goh Min Xiu (tengah) dihukum penjara 5 bulan dan denda RM11,000 kerana mencuri jongkong emas dan wang tunai bulan lalu. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
Goh Min Xiu (tengah) dihukum penjara 5 bulan dan denda RM11,000 kerana mencuri jongkong emas dan wang tunai bulan lalu. - NSTP/Meor Riduwan Meor Ahmad.
MELAKA: Bekas juruwang restoran dijatuhi hukuman penjara lima bulan dan denda RM11,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini kerana mencuri jongkong emas bernilai RM25,393 dan wang tunai RM2,427, bulan lalu.

Goh Min Xiu, 25, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Wanita itu mengaku bersalah terhadap dakwaan dengan niat curang mencuri jongkong emas 999 seberat 100 gram bernombor C388364 bernilai keseluruhan RM25,393 milik Kedai Emas Lee Onn di Jalan Kee Ann, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 30 Oktober lalu.

Min Xiu dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Dia juga didakwa mengikut Seskyen 381 Kanun Keseksaan, mencuri RM2,427 milik majikan di Restoran Top Hit Ong Thai Mookata BBQ, Kompleks Perniagaan Kota Syahbandar, kira-kira jam 10 malam, 22 Oktober yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar, manakala Min Xiu yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon hukuman ringan atas alasan perlu menjaga ibu yang sakit dan memohon maaf kerana sudah menyesal dengan perbuatannya.

Khairunnisak menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan penjara dari tarikh tangkap 7 November lalu dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar bagi kes mencuri jongkong emas.

Untuk kes mencuri wang tunai, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan selepas tamat hukuman kes pertama dan denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.