"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bakal pengantin umur 50 tahun tak sempat merasa naik pelamin, terpaksa masuk jel dulu

Alias Abd Rani
am@hmetro.com.my
Bakal pengantin terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan selepas dipenjara enam bulan kerana gagal bayar pecah tabung surau. FOTO Alias Abd Rani
Bakal pengantin terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan selepas dipenjara enam bulan kerana gagal bayar pecah tabung surau. FOTO Alias Abd Rani
Muar: Bakal pengantin lelaki terpaksa menangguhkan majlis perkahwinan kerana gagal menjelaskan denda RM2,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas kesalahan memecah tabung surau di Bukit Mor, Parit Jawa, dekat sini, minggu lalu.

Tertuduh, Nordin Ahmad Maat, 50, yang sepatutnya menamatkan zaman bujang bulan depan terpaksa dihantar ke penjara selepas pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Fatin Dalilah Khalid.

Dia yang bekerja kebun didakwa menceroboh surau dengan niat melakukan jenayah dengan kejadian itu berlaku pada jam 11.31 malam, 9 November lalu.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh berseorangan dilaporkan memasuki dalam surau terbabit untuk mencuri duit tabung.

Perbuatan tertuduh berjaya dikesan salah seorang kariah surau selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di telefon bimbit.

Pengadu kemudian memanggil rakannya lalu ke surau terbabit dan melihat sebuah motosikal di parkir di hadapannya.

Tertuduh yang menyedari kehadiran pengadu kemudian bertindak melarikan diri dengan memanjat pagar belakang surau terbabit.

Berikutan itu, pengadu membuat laporan polis sebelum tertuduh ditahan untuk tindakan lanjut.

Semakan mendapati tertuduh mempunyai empat rekod lampau pada 2019, iaitu dua rekod bagi Seksyen 411 manakala Seksyen 448 dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan, masing-masing satu kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Arif Marzuki manakala tertuduh diwakili Norain Sakina Zakri daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memutuskan tertuduh disabitkan bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 14 hari dari tarikh sabitan iaitu hari ini serta denda RM2,000.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayarnya.

Muhyiddin: Sokongan PAS ‘tepu’, tak menang besar tanpa PN

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata sokongan rakyat terhadap PAS sudah “tepu” sebelum bergabung dengan parti itu bawah Perikatan Nasional (PN) yang melonjak kedudukannya pada PRU15.

Mengambil contoh situasi sebelum PRU November lalu, pengerusi PN berkata PAS yang bergerak solo tidak merekodkan jumlah kemenangan majoriti besar dinikmati kini selain menang empat negeri dan hampir menawan Selangor.

“PAS, Bersatu dan Gerakan melihat ini sebagai satu kekuatan. Mereka tak boleh bersendirian…boleh tetapi kesannya tak sebegini (menang besar), contoh dalam PRU lepas majoriti mereka biasa 10,000 ke 15,000 undi tetapi (presiden PAS) Hadi (Awang) contohnya sampai 40,000 undi.

“Dia (PAS) dah sampai tahap tepu tetapi dengan gabungan PN penerimaan rakyat begitu besar sekali sehingga catat majoriti luar biasa,” katanya dalam temu bual bersama FMT semalam.

Untuk rekod, PAS bawah PN menang 43 kerusi Parlimen pada PRU15– pencapaian terbaiknya sejak menyertai pilihan raya yang dilabel ramai sebagai “gelombang hijau” kerana penguasaan terutama di kerusi majoriti pengundi Melayu dan Islam.

PAS juga mengekalkan pentadbiran di Kedah, Kelantan dan Terengganu selain merampas Perlis yang sekian lama menjadi kubu kuat Barisan Nasional (BN).

“Ini satu petanda maknanya bukan orang nak sokong PAS atau Bersatu tetapi PN sebagai gabungan.”

Justeru, Muhyiddin berkata PAS kekal bersama PN yang ditubuhkan secara rasmi tiga tahun lalu, di sebalik perkembangan empat Ahli Parlimen Bersatu menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim dengan alasan demi pembangunan serta kebajikan kawasan diwakili.

Mereka adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

“Setahu saya tak berganjak sebab PAS pun bijaksana kerana tahu tiada parti politik boleh berjuang sendirian, solo dan bentuk kerajaan.

“Bersatu (30 kerusi Parlimen pada PRU15 kini 26) sendiri tak mampu bentuk kerajaan, PAS pun tak mampu walaupun menang besar sikit…malah mereka lebih lama daripada kita,” katanya.

Mengulas kesediaan Anwar menerima PAS dalam kerajaan perpaduan, Muhyiddin pantas menolak cadangan itu yang mungkin menjejaskan kekuatan pembangkang di Parlimen dengan hanya mengharapkan wakil rakyat Bersatu serta Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada Muda.

“Bagaimana mereka nak ke sana, puak-puak itu bukan sehaluan dari segi ideologi dan pegangan agama berbeza,” katanya.

Rakyat Israel antara mangsa tembakan helikopter rejim Zionis

BHonline
Pengunjung festival muzik di Israel melarikan diri ketika serangan 7 Oktober.
TEL AVIV: Siasatan polis mendapati helikopter tempur Israel melepaskan tembakan ke arah pejuang Hamas di festival muzik di Israel pada 7 Oktober lalu yang turut mengenai orang awam di lokasi berkenaan.

"Siasatan ke atas insiden itu mendedahkan sebuah helikopter tempur (Israel) yang tiba di tempat kejadian dari pangkalan Ramat David melepaskan tembakan ke arah pejuang (Hamas) dan kelihatannya turut mengenai beberapa pengunjung di sana," menurut laporan media Israel yang memetik sumber polis.

Menurut media rejim itu yang turut memetik sumber pasukan keselamatan, pejuang Hamas berkemungkinan tidak mengetahui lebih awal mengenai acara itu dan hanya memutuskan sasaran pada saat akhir.

These were the first minutes of #Hamas' invasion of the Nature Party music festival at Kibbutz Reim, where 260 people were killed in #Israel One of the participants filmed the events with his phone. /1 pic.twitter.com/hwGdPN8iKC

— Apocalittico (@apocalittico) October 9, 2023

Menurut salinan laporan polis pertama Israel mengenai serangan di lokasi itu yang diperoleh minggu ini oleh Saluran 12 Israel, pejuang Palestin pada asalnya berniat menyerang sekitar Kibbutz Re'im serta perkampungan berhampiran sempadan Gaza.

Mereka mengetahui mengenai festival muzik itu menerusi tinjauan dron serta dari udara ketika mereka terjun ke tempat itu.

Kira-kira 4,400 pengunjung dilaporkan menghadiri acara itu pada Sabtu, ketika Hamas menembusi penghalang keselamatan tinggi Israel, termasuk sistem radar dan sensor bawah tanahnya, sebelum menyerang pos tentera dan kampung di selatan Israel.

Semalam, akhbar Israel, Haaretz melaporkan berdasarkan penyiasatan polis dan soal siasat anggota Hamas yang ditangkap, pejuang tidak merancang untuk menyasarkan acara itu.

Biarpun polis menemui peta lokasi sasaran pada mayat pejuang Hamas yang terbunuh, tiada seorang pun berada di lokasi perayaan itu.

Penemuan tambahan yang menyokong dapatan siasatan itu, menurut Haaretz, ialah pejuang Hamas tidak menghampiri perayaan itu dari arah sempadan, sebaliknya hanya berada di lebuh raya berdekatan.

An Israeli rescue service says it has removed at least 260 bodies from the Supernova music festival site that was attacked as part of Hamas' operation against Israel ⤵️ pic.twitter.com/ruRCNwhGjG

— Al Jazeera English (@AJEnglish) October 9, 2023

Sementara itu, acara berkenaan pada asalnya dijadualkan berlangsung pada Khamis dan Jumaat, dengan penambahan sehari lagi kepada Sabtu, yang diputuskan pada Selasa minggu itu.

Laporan itu juga mendapati kebanyakan pengunjung festival berjaya meninggalkan acara itu ketika Hamas muncul dan dakwaan pembunuhan beramai-ramai mula tercetus.

"Sebahagian besar (mereka yang berada di acara itu) berjaya melarikan diri berikutan keputusan untuk menyuraikan acara itu dibuat empat minit selepas serangan roket," menurut sumber kanan polis yang dipetik Haaretz.

Laporan polis itu juga menyemak semula jumlah kematian akibat serangan itu kepada 364, termasuk 17 pegawai polis, meningkat daripada 270. Ia menjadikan jumlah pengunjung festival yang diculik ialah 40 orang.

Sebagai tindak balas kepada serangan Hamas, Israel melancarkan serangan darat dan udara ke atas Gaza yang telah membunuh lebih 12,000 rakyat Palestin, termasuk 5,000 kanak-kanak, menurut pihak berkuasa kesihatan Palestin. - AGENSI