"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Caj gunting rambut RM120, pemilik kedai didenda

Malaysiakini

Seorang pemilik kedai gunting rambut yang tular di media sosial kerana mengenakan caj gunting rambut RM120 kepada pelancong asing, hari ini didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah gagal memaparkan senarai caj perkhidmatan dandanan rambut.

Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurul Jannah Abdullah, 52, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya gagal membayar denda.

Wanita itu didakwa gagal memaparkan senarai perkhidmatan yang ditawarkan dan tidak memaparkan caj bagi perkhidmatan dandanan rambut di premis itu di Jalan Bukit Bintang di sini pada 12.26 tengah hari, 11 April lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020 dan boleh dihukum di bawah Perintah 5(a) perintah sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul'Ain Shafie daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) memohon supaya OKS dikenakan hukuman berbentuk pencegahan sebagai memberi pengajaran kepadanya selain mengambil kira kesalahan serius dilakukannya.

"Dalam kes ini, pelanggan yang merupakan pasangan pelancong asing telah mempersoalkan harga yang dikenakan terhadap mereka mahal dan tidak masuk akal selain menganggap tiada kawalan harga oleh kerajaan bagi urusan niaga bagi barangan dan perkhidmatan. 

Situasi itu turut menjejaskan sektor pelancongan negara apatah lagi kes tersebut tular di media sosial dan mendapat perhatian masyarakat umum," katanya.

Nurul Jannah yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menghidap penyakit kanser tahap satu serta menanggung keluarga. 

"Saya tidak boleh melakukan kerja-kerja berat, malah rahim saya juga telah dibuang. Saya mempunyai seorang ibu berusia 80 tahun yang sakit di kampung," katanya dalam nada sebak.

- Bernama

Lapan tahun hilang, Siti Mariah akan pulang

JAMLIAH ABDULLAH
Siti Mariah yang hilang sejak lapan tahun lalu.
KUALA NERANG – Tiada yang menggembirakan bagi sepasang suami isteri dari Kampung Sireh, Naka di sini apabila mendapat khabar anak yang menghilangkan diri sejak lapan tahun lalu akhirnya akan pulang ke pangkuan mereka.

Hamzah Said, 65, dan isterinya, Che Safuan Abd Rahman, 61, menerima khabar gembira tentang anak sulung mereka itu, Siti Mariah, 39, daripada Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar semalam.

Menurut Hamzah, mereka dimaklumkan bahawa Siti Mariah kini berada di Labu, Negeri Sembilan dan dalam keadaan sihat.

“Tiada perasaan yang dapat kami gambarkan melainkan gembira kerana akhirnya anak yang kami rindui ditemui semula. Kami sempat membuat panggilan video juga semalam, Allah sahaja yang tahu, setelah begitu lama kami bersua muka juga.

“Isteri paling sedih dan sayu sehingga mengalirkan air mata semalam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bercerita lanjut kata Hamzah, Siti Mariah dijangka pulang ke rumah pada Sabtu ini.

“Kami semua paling tidak sabar untuk menyambutnya nanti. Saya sangat berterima kasih kepada semua pihak termasuk polis yang bertindak pantas mengesan anak saya dan media yang menyiarkan  berita ini.

“Hanya Tuhan dapat membalas jasa mereka semua,” ujarnya.

Mulkiaman memeluk Hamzah bagi ketika memaklumkan tentang penemuan Siti Mariah di Kampung Sireh, Naka pada semalam.
Dalam pada itu, Mulkiaman berkata, pihaknya berbesar hati mengunjungi keluarga tersebut semalam untuk memaklumkan berita gembira tersebut.

“Dengan bantuan Ketua Balai Polis Labu, Negeri Sembilan kita berjaya mengesan Siti Mariah yang menetap di sana. Saya sendiri menyampaikan berita gembira ini semalam dan diharapkan terungkai kerinduan keluarga itu kepada anak mereka,” katanya.

Kosmo! pada 21 November lalu melaporkan tentang rayuan seorang ibu kepada anak sulungnya supaya segera pulang selepas lapan tahun menghilangkan diri tanpa berita.

Che Safuan Abd. Rahman, 61, berkata, anak sulungnya, Siti Mariah hilang selepas bekerja di sebuah bank secara kontrak di ibu negara.

Katanya, Siti Mariah merupakan graduan Universiti Malaysia Sarawak dalam bidang kaunseling. – KOSMO! ONLINE

Hadi Awang pelopor pemikiran ghuluw

HarapanDaily.com

AKMAL MANAF 

Pengarah Komunikasi AMANAH Kedah, Ustaz Ridzwan Abu Bakar menyifatkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai pelopor pemikiran ghuluw atau ekstrem. Ghuluw ialah perkataan bahasa Arab untuk keterlaluan.

“Kalau orang bertanya, mana bukti Haji Hadi dan Pas itu ekstrem? Itulah buktinya (kenyataan daripada Hadi).

“Kenyataan itu mengesahkan bahawa Haji Hadi adalah pelopor pemikiran ghuluw. Dalam tulisannya itu, Haji Hadi telah berbohong dan memfitnah apabila menyatakan peruntukan Kerajaan Pusat tidak diberikan, royalti minyak tidak diberikan kepada Perlis dan Kedah, itu dia bohong dan fitnah.

“Dia fitnah Kerajaan Persekutuan tidak sampaikan peruntukan, dia berbohong hakikat yang sebenar,” dakwa beliau ketika dihubungi Harapan Daily hari ini.

Ia susulan dakwaan dikeluarkan Abdul Hadi menerusi satu artikel yang bertajuk ‘Cara Golongan Munafiq Menentang Islam Diikuti Israel dan Pakatan Harapan’ di dalam ruangan Minda Presiden dalam akhbar Pas, Harakah Daily yang turut diterbitkan di dalam laman Facebooknya.

Mengulas lanjut, Ridzwan turut mengambil contoh Terengganu dan mempersoal pembentangan belanjawan di negeri Pantai Timur itu.

“Macam Terengganu, belanjawan mereka jika tanpa peruntukan Kerajaan Pusat termasuk royalti, mereka tidak boleh bentang bajet sehingga hampir RM2 bilion (untuk Belanjawan 2024).

“Daripada mana sumber itu kalau bukan pemberian royalti dan juga peruntukan (kerajaan Pusat) kerana hasil cukai Terengganu tidak lebih daripada RM250 juta,” bidasnya.

Dakwaan Hadi
Semalam, Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa bahawa sikap memaksa rakyat untuk menyokong dan mendukung apa-apa sahaja ialah amalan purba zaman jahiliah yang turut diamalkan oleh Yahudi Zionis Israel di Palestin.

“Mereka menolak Hamas yang menang secara majoriti dalam pilihan raya perundangan Palestin 2006 dahulu dengan membenarkan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) yang menang secara minoriti menubuhkan kerajaan.

“Maka, konsep yang diguna pakai oleh Pakatan Harapan (PH) menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi.

“Namun, PLO sebagai kumpulan minoriti yang tunduk menjadi boneka Zionis Israel dan Amerika Syarikat pula yang menubuhkan kerajaan dengan mengikuti telunjuk mereka,” tulisnya.

Untuk rekod Presiden Mahmoud Abbas yang merupakan pemimpin paling kanan Palestin adalah dari kumpulan Fatah.

Hadi turut menyifatkan PKR di dalam kerajaan perpaduan sebagai parti minoriti yang memimpin “kerajaan boneka pragmatik liberal” seperti mana PLO dan mengambil pendekatan munafik.

“Pendekatan pemerintahan mereka sama seperti pendekatan golongan munafik pada zaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang beriman supaya menyekat peruntukan kepada pihak lawan,” katanya lagi.