"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

6 remaja bersalah terlibat penggal kepala guru

KOSMO!
PATY mati dibunuh di Paris pada 16 Oktober 2020. - Foto NurPhoto/Getty Images
PARIS  – Mahkamah juvana Perancis semalam mendapati enam remaja bersalah kerana peranan mereka dalam kejadian kepala seorang guru dipenggal oleh ekstremis Islam, Abdoullakh Anzorov di Paris, lapor portal berita NBC News.

Kepala mangsa, Samuel Paty dipenggal di luar sekolahnya selepas dia menunjukkan karikatur kononnya Nabi Muhammad SAW di dalam kelas semasa perdebatan mengenai kebebasan bersuara pada 16 Oktober 2020.

Penyerang  berketurunan Chechnya di  Russia itu kemudian dibunuh oleh polis.

Mahkamah mendapati lima daripada defendan  yang berusia 14 dan 15 tahun pada masa kejadian,  bersalah kerana menghendap guru itu dan mengenal pasti mangsa sebagai sasaran serangan. 

Seorang lagi defendan yang berusia 13 tahun ketika itu pula didapati bersalah berbohong mengenai perbahasan berkenaan sehingga meningkatkan kemarahan terhadap guru tersebut di internet.

Tertuduh keenam itu secara salah mendakwa bahawa Paty meminta para pelajar Islam mengangkat tangan dan meninggalkan bilik darjah sebelum mangsa didakwa menunjukkan kepada kelas kartun biadab itu.

Dia sebenarnya tidak berada di dalam bilik darjah pada hari kejadian. Tertuduh keenam kemudian memberitahu polis bahawa dia telah berbohong.

Kesemua mereka dijatuhi hukuman penjara singkat atau penangguhan hukuman penjara.

Mereka meninggalkan bilik mahkamah tanpa bercakap dengan ada yang menundukkan kepala ketika mendengar keputusan itu, manakala seorang lagi kelihatan mengesat air matanya.

Perbicaraan itu diadakan secara tertutup dan media tidak dibenarkan mendedahkan identiti defendan berdasarkan undang-undang Perancis mengenai kanak-kanak bawah umur. – AGENSI

Suspek bunuh ibu bapa ditahan ketika sembunyi di terowong Penchala

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Lelaki disyaki menikam kedua ibu bapa kandungnya sehingga mati ditahan beberapa jam selepas melarikan diri dari lokasi kejadian di Kampung Sungai Penchala, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, suspek melarikan diri ke hutan berhampiran selepas membunuh ibu bapanya berusia 72 dan 82 tahun.

Menurutnya, suspek ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini jam 10.30 malam.

"Polis menerima maklumat daripada orang awam berkenaan pergaduhan keluarga antara suspek dan ibu bapanya di sebuah rumah di Jalan Penchala Hilir 6, Kampung Sungai Penchala di sini, jam 7.43 malam.

"Akibat kejadian ini, sepasang suami isteri ditemui terbaring di atas lantai rumah dipercayai akibat ditikam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek yang mempunyai sembilan rekod jenayah lampau itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur kira-kira dua jam 40 minit selepas suspek melarikan diri.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, sepasang suami isteri ditemui maut dipercayai ditikam anak lelaki kandung dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala di sini, malam ini

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Jeritan meminta tolong ketika Maghrib

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
KEADAAN di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, lokasi pasangan suami isteri warga emas dipercayai dibunuh anak kandung. FOTO Sadiq Sani
KEADAAN di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, lokasi pasangan suami isteri warga emas dipercayai dibunuh anak kandung. FOTO Sadiq Sani
Kuala Lumpur: "Dengar jeritan meminta tolong, kemudian tiba-tiba senyap". Itu detik-detik terakhir sepasang suami isteri yang maut dipercayai dibunuh anak kandung sendiri di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala, di sini hari ini.

Menurut saksi, kejadian itu disedari berlaku kira-kira jam 7 petang ketika penduduk kampung sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib.

"Jiran sebelah rumah haji (mangsa) yang sedar kejadian itu kerana dengar bunyi jeritan meminta tolong.

"Kedua-dua mangsa ditemui dalam keadaan yang mengerikan, ini kejadian yang amat tragis kerana saya kenal keluarga ini malah jika sesiapa yang tidak mengenali haji dia bukan orang sini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Menurut salah seorang jiran mangsa yang mengenali keluarga itu lebih 40 tahun berkata suspek sering dilihat pergi ke masjid sejak kebelakangan ini.

Katanya, suspek berusia 40-an dikenali penduduk kampung sebagai seorang yang sering 'keluar-masuk' dari pusat tahanan kerana masalah ketagihan dadah.

"Saya terkejut, saya kenal dia (suspek) sejak dari kecil tak sangka dia tergamak buat perkara sebegini.

"Bapa mangsa memang sangat baik, lemah lembut orangnya malah suspek sendiri rajin membantu bapanya itu melakukan kerja-kerja rumah," katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan,

sepasang suami isteri ditemui maut dipercayai ditikam anak lelaki kandung dalam pergaduhan di rumah mereka di Kampung Sungai Penchala di sini, malam ini

Dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, mayat pasangan warga emas berusia 72 dan 82 tahun terbabit ditemui terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.

Menurut sumber, sebelum kejadian berlaku pergaduhan antara pasangan itu dan anak lelaki mereka berusia 42 tahun yang dipercayai penagih dadah.

Menurutnya, polis berjaya menahan suspek di lokasi kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan kejadian berkenaan.