"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rekod PN tadbir negara tak sebaik kerajaan perpaduan, kata penganalisis

Mohd Farhan Darwis

PETALING JAYA: Tiga penganalisis senada rekod pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebagai kerajaan terdahulu tidak menjanjikan mereka mampu mentadbir negara lebih baik daripada kerajaan perpaduan, selepas PAS menolak gesaan menunggu sehingga PRU16 untuk pertukaran kerajaan.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan berkata, pertukaran kerajaan boleh berlaku apabila parti berkuasa kehilangan majoriti di Dewan Rakyat kerana Perlembagaan Persekutuan membenarkan “pelbagai cara” untuk membentuk kerajaan.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar bagaimanapun berkata, PN sepatutnya memainkan peranan semak dan imbang dengan lebih berkesan terhadap pentadbiran kerajaan perpaduan, bukannya cuba menubuhkan kerajaan tebuk atap.

Katanya, kerajaan PN terdahulu juga bergelut dengan isu kos sara hidup seperti dihadapi kerajaan perpaduan, justeru peluang perlu diberikan kepada kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim untuk menambah baik kekurangan mereka yang baru setahun mentadbir negara.

“Tiada jaminan yang boleh memastikan secara sahih pembangkang akan lebih baik apabila menjadi kerajaan. Semasa PN menjadi kerajaan, mereka juga terdedah kepada kelemahan sama dalam memerintah.

“Walaupun pencapaian setahun kerajaan perpaduan kurang memuaskan, namun kerajaan mempunyai empat tahun lagi bagi mengisi kemenangan penggal ini, ruang wajar diberikan seluasnya untuk kerajaan melaksanakan setiap polisi kepada rakyat.

“Buat pembangkang, peranan sebagai semak imbang penting untuk memastikan rakyat mendapat untung apabila suara pembangkang kuat,” katanya kepada FMT.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia juga senada prestasi kerajaan perpaduan jauh mendahului kerajaan PN terdahulu, dengan menilai polisi, ekonomi, pelaburan, hubungan antara kaum serta hubungan diplomatik.

“Kita lihat bagaimana perdana menteri ke-10 bawa Malaysia ke arena antarabangsa sekarang. Malaysia begitu dikenali, diberi pengiktirafan, banyak pelabur asing tunjuk minat melabur dalam negara, jauh lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini.

“Sokongan diterima perdana menteri begitu kukuh. Lebih 150 kerusi (daripada 222 Ahli Parlimen) sekarang sokong perdana menteri, kerajaan sekarang mampu tawar kestabilan dan beri fokus untuk bangunkan negara.”

Beliau menyifatkan pertukaran kerajaan melalui kaedah selain pilihan raya sebagai amalan demokrasi tidak baik dan mencermin politik negara tidak stabil.

“Rakyat dah buat keputusan dalam PRU lalu. Masing-masing (parti) dapat sejumlah kerusi dan bergabung menubuhkan kerajaan perpaduan. Maka, kena hormati kerajaan yang dipilih hasil kerjasama antara parti politik.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula tidak nampak prestasi kerajaan perpaduan begitu teruk sehingga perlu menukarnya, sebaliknya beliau menyifatkan ia “mainan pembangkang untuk mengekalkan sokongan dan memberi harapan kepada penyokong”

“Dalam tempoh berpuluh bulan mereka (mentadbir negara) tidak dapat menunjukkan prestasi sebenar. Dari segi imej kepimpinan, Anwar jauh lebih baik daripada 22 bulan pentadbiran Dr Mahathir Mohamad atau ketika Ismail Sabri Yaakob dan Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.”

Dosa besar tuduh orang Islam lain munafik

Khairuddin Aman Razali

Saya membaca dengan teliti tulisan Tuan Guru Presiden PAS bertajuk "Cara Golongan Munafiq Menentang Islam diikuti Israel dan Pakatan Harapan" yang disiarkan di Harakahdaily pada 6 Disember 2023.

Keseluruhan tulisan membawa kepada kesimpulan bahawa beliau cuba membandingkan pendekatan munafik zaman nabi dan Zionis yang membunuh umat Islam Palestin dengan pendekatan PH yang menjadi sebahagian kerajaan perpaduan supaya dibuat kesimpulan akhir oleh pembaca bahawa kerajaan perpaduan adalah munafik dan Zionis.

Ulasan awal saya ialah tonggak kerajaan perpaduan adalah muslim yang mengucap syahadah yang sayangkan Allah dan Rasul-Nya di kalangan pimpinan Umno, PKR dan Amanah sama seperti pimpinan dan ahli PAS mengucap syahadah.

Amat tidak wajar dan tidak berakhlak menuduh orang Islam lain sebagai munafik kerana berbeza parti politik dan berbeza dalam kerjasama politik.

Dalilnya ialah Hadis Bukhari dan Muslim bahawa seorang sahabat bertanya; "Di manakah Malik bin Dukhsyun?" Lalu jawab sebahagian sahabat: "Dia seorang munafik yang tidak sayangkan Allah dan Rasul-Nya".

Lalu nabi (saw) segera menegur mereka:

"Jangan kamu berkata kepadanya begitu. Tidakkah kamu lihat sememangnya dia menyebut Laailaaha illallah - Tiada Tuhan yang diberikan perhambaan diri melainkan Allah - dia mahukan dengan ucapan itu redha Allah"

Jawab sebahagian: "Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui. Tetapi kami melihat wajahnya dan nasihatnya pada orang-orang munafikin sahaja.

Dalam satu riwayat; "tetapi kami tidak melihat kasih sayang dan bicaranya melainkan kepada orang-orang munafikin sahaja".

Tegas Nabi (saw) lagi:

"Maka sesungguhnya Allah telah mengharamkan atas neraka (dimasuki) sesiapa yang menyebut Laailaaha illallah dalam keadaan mencari dengannya redha Allah".

Pengarang kitab Mirqah al-Mafatih (meninggal 1014 H) menjelaskan: "Apabila seseorang menuduh seorang muslim selain daripada zina lalu dia menyebut wahai fasik atau wahai kafir atau wahai si keji atau wahai pencuri dan seumpamanya; wahai pencompet, wahai si jahat, wahai zindiq, wahai si buruk, wahai munafik, wahai Yahudi, dia hendaklah dihukum takzir. Demikianlah secara umumnya dalam fatwa Qadhi Khan. Ia juga disebut oleh al-Natiqi dan beliau mengaitkannya apabila dikatakan begitu kepada orang yang baik"

Gelar-menggelar sesama Muslim dengan gelaran munafik dan fasik jelas merupakan dosa besar sebagaimana disebut oleh Ibnu Hajar al-Haitami (909-974 H) dalam al-Zawajir 'an iqtiraf al-Kaba'ir. Allah berfirman

"Dan janganlah kamu gelar-menggelar dengan gelaran (buruk)" (Surah al-Hujurat : 11)

Menurut tokoh tafsir di kalangan Tabi'in, Ikrimah (hidup 25-105 H), ayat ini merujuk kepada ucapan seseorang kepada seorang yang lain wahai fasik, wahai munafik.

Begitu juga kata Qatadah (hidup 21-104 H): janganlah kamu berkata kepada saudaramu yang Muslim; orang itu fasik, orang itu munafik.

Saya menyarankan presiden PAS kembali merujuk buku Tafsir Surah al-Hujurat yang beliau hasilkan dan menjadi sukatan usrah PAS.

Tuan Guru Presiden PAS menerusi tulisan beliau cuba mencipta persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan mengikut telunjuk munafik dan Zionis dalam pentadbirannya.

Ulasan saya; mencipta persepsi adalah perangai munafik zaman nabi yang mencipta persepi terhadap Aisyah (r.ah), isteri Nabi (SAW) kononnya berzina hingga ada umat Islam terpengaruh lalu menuduh secara terbuka Aisyah berzina sehingga turun beberapa ayat dalam surah al-Nuur. Adakah persepsi-persepsi yang cuba dibina oleh presiden PAS terhadap kerajaan kerpaduan meniru perlakuan munafik zaman Nabi?

Beliau menulis: "Pendekatan pemerintahan mereka sama seperti pendekatan golongan munafiq pada zaman Rasulullah SAW terhadap mereka yang beriman supaya menyekat peruntukan kepada pihak lawan."

Jika itu perbandingannya maka sifat munafik juga terpalit pada PAS yang turut tidak memberikan peruntukan kepada wakil rakyat Umno di Terengganu pada 2018. Kemudian pada era Muafakat Nasional diberi sedikit dengan amaun yang jauh tak sama dengan wakil rakyat PAS kerana peruntukan dibahagikan dengan sepuluh orang Penyelaras DUN daripada pimpinan PAS di sepuluh DUN yang dimenangi oleh Umno.

Tuan Guru Presiden PAS menulis: "Maka, konsep yang diguna pakai oleh Pakatan Harapan (PH) menepati demokrasi yang diamalkan oleh Israel terhadap Kerajaan Hamas di Palestin yang memenangi pilihan raya dan mencapai majoriti yang mencukupi. Namun, PLO sebagai kumpulan minoriti yang tunduk menjadi boneka Zionis Israel dan Amerika Syarikat pula yang menubuhkan kerajaan dengan mengikuti telunjuk mereka".

Beliau membandingkan Zionis yang menolak kemenangan Hamas di Gaza dan kononnya mengiktiraf PLO menubuhkan kerajaan yang mengikut telunjuk Zionis sepertimana kerajaan perpaduan yang merupakan kerajaan minoriti tetapi menjadi kerajaan?

Siapa minoriti sebenarnya?

Saya tak nak mengulas isu Hamas dan PLO meskipun ada fakta beliau yang mengelirukan tetapi tidak adakah kalangan pimpinan PAS yang boleh menyedarkan Presiden PAS bahawa PN hanya mempunyai 74 kerusi sahaja berbanding PH 82 kerusi? Siapa yang minoriti sebenarnya?

Presiden PAS sudah lupa barangkali, pasca PRU ke 15 tiada parti mendapat majoriti mudah 112 kerusi untuk membentuk kerajaan. Oleh kerana itu YDP Agong menitahkan ditubuhkan kerajaan perpaduan yang ditolak mentah-mentah oleh PN. Dan sehingga sekarang PN berterusan mencipta persepsi akan mengambil alih kerajaan persekutuan bagi mewujudkan ketidakstabilan politik dan menghiburkan pimpinan, penyokong dan pendokong PN.

Presiden PAS menulis: "Golongan munafiq mengejek dengan lisan, tulisan, lukisan (karikatur), dan sebagainya kerana melakukan penghinaan terhadap mereka yang berjuang menegakkan Islam sebagai pengemis yang hina meminta sedekah."

Jika itu perbandingannya maka sifat munafik itu juga turut terpalit pada pimpinan dan penyokong PAS yang berterusan mengejek dengan lisan, tulisan dan lukisan apa sahaja melibatkan DS Anwar Ibrahim, DS Zahid Hamidi dan pimpinan Kerajaan Perpaduan.

Adakah PAS beserta semua kepimpinan dan pendukung adalah munafik menurut analogi dan perbandingan yang dibuat oleh presiden PAS?

Kesimpulan

Saya mencadangkan agar tuan guru usahlah menjadikan tuduhan-tuduhan seperti munafik, musuh Allah, Zionis dan seumpamanya sebagai modal politik menghentam pihak yang berbeza pendirian politik.

Berpolitiklah secara damai dan berakhlak sebagaimana budaya politik matang dan sejahtera (BPMS) yang telah diluluskan oleh Majlis Syura Ulamak PAS pada 2016.

Kepada pimpinan 17 orang ulamak dalam Majlis Syura Ulamak PAS (MSU) silalah menegur presiden parti kerana MSU diwujudkan bagi menjadi pengimbang kepada kuasa presiden dan mewujudkan kepimpinan jamaei oleh para ulamak bukan kepimpinan "fardi" individu seorang yang digelar ulamak.

Sangat malang jika MSU gagal berfungsi menjalankan peranannya menegur presiden sepertimana sejarah pahit dua tahun lalu ketika presiden dengan sewenangnya menolak kertas kerja yang telah diluluskan oleh Muzakarah MSU pada 29 Disember 2021.

Ketika itu saya memegang amanah sebagai Setiausaha MSU sebelum digugurkan oleh presiden sebagai AJK PAS Pusat 2 minggu kemudiannya pada 12 Januari 2022 dan percubaan presiden PAS memecat saya secara tidak sah dan di luar bidang kuasanya mengikut perlembagaan PAS sebagai ahli dan Setiausaha MSU sebulan selepas itu pada 9 Februari 2022.

DR KHAIRUDDIN AMAN RAZALI ialah setiausaha eksekutif Majlis Ulama Umno.

Liverpool kini dipuncak liga

Liverpool berjaya bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1 setelah lawan terpaksa bermain dengan 10 pemain ekoran layangan kad merah.

Namun trio serangan Diaz-Nunez-Salah sedikit bergelut pada babak pertama untuk memecahkan blok pertahanan Crystal Palace yang beraksi dilaman sendiri.

Babak pertama berakhir tanpa jaringan oleh kedua-dua pasukan walaupun Liverpool mendominasi penguasaan bola.

Sistem pertahanan kemas Crystal Palace berjaya menidakkan beberapa percubaan pemain Liverpool ke arah gawang gol.

Bersambung babak kedua, Crystal Palace dihadiahkan sepakan penalti apabila VAR mengesahkan penalti patut diberikan walaupun mengambil masa yang lama untuk memeriksa.

Mateta kemudian mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-57 perlawanan.

Sewaktu keputusan dilihat berpihak kepada Crystal Palace, malang melanda apabila Jordan Ayew dilayangkan kad merah pada minit ke-75 kerana mengutip 2 kad kuning.

Liverpool pantas memanfaatkan peluang menentang 10 pemain apabila hanya memerlukan 2 minit untuk menyamakan kedudukan.

Mohammed Salah tenang merobek gawang gol Crystal Palace menerusi bola hantaran daripada Curtis Jones.

Harvey Elliot muncul wira penyelamat maruah Liverpool apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan setelah menerima hantaran daripada Salah.

Tamat perlawanan, Liverpool menewaskan Crystal Palace 2-1 untuk mendaki tangga pertama liga dengan mengumpul 37 mata.