"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

MP Bukit Gantang dakwa ‘tujuh, lapan lagi akan sokong PM'

Malaysiakini

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa tujuh hingga lapan lagi ahli Parlimen pembangkang akan menyatakan sokongan mereka terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Mendedahkan perkara itu, Syed Abu Hussin Hafiz berkata ini juga akan dibuat dalam terdekat ini.

Bagaimanapun, dia tidak mendedahkan sama ada ahli Parlimen terbabit adalah dari Bersatu atau PAS yang menerajui pakatan Perikatan Nasional (PN) ketika ini.

Sebaiknya, dia sendiri yang berpaling tadah dati Bersatu, baru-baru ini hanya meminta untuk 'menunggu' pengumuman daripada individu terlibat.

"Sekarang ada tujuh hingga lapan orang. Tunggu masa akan ada pengumuman, dalam masa terdekat.

"(Ahli Parlimen) dari beberapa negeri, kerana semua mereka dari kawasan Melayu," katanya dipetik Sinar Harian.

Syed Abu Hussin Hafiz adalah wakil rakyat pembangkang terbaru dan kelima-lima wakil rakyat Bersatu itu menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan perdana menteri pada 29 November lalu selepas Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) serta Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Sementara itu mengulas sama ada Bersatu sudah mengambil tindakan terhadap dirinya, Syed Abu Hussin Hafiz berkata belum ada sebarang tindakan disiplin dikenakan kepadanya.

Tambahnya, sehingga hari ini, belum ada mana-mana pemimpin Bersatu atau PN berjumpa dengannya untuk mendapatkan penjelasan selepas membuat sokongan terbuka kepada perdana menteri.

Bagaimanapun menurut ahli Parlimen Bukit Gantang itu, namanya telah dikeluarkan daripada kumpulan WhatsApp PN.

“Yang pertamanya, saya tidak melanggar peraturan parti. Bersatu dalam perlembagaan tidak melarang seseiapa memberikan sokongan.

“Apa yang saya buat tidak melanggar perlembagaan parti. Kalau parti mahu mengambil tindakan ia perlu dibawa ke jawatankuasa disiplin yang akan memutuskan apa bentuk tindakan yang boleh diambil. Saya bersedia,” katanya.

Syed Abu Hussin Hafiz sekali lagi mengulangi tindakannya menyokong kepimpinan Anwar selepas PN dilihat tidak membuat sebarang usaha untuk berunding dengan kerajaan pusat.

Katanya, dia hanya memikirkan nasib rakyat di kawasannya dan kawasan yang dimenangi oleh PN yang majoriti penduduknya adalah orang Melayu.

Siap ambil gambar lelaki tayang kemaluan, wanita bengang polis tak ambil tindakan

WAN SITI AMINAH

Seorang wanita meluahkan rasa kecewa apabila pihak berkuasa tidak mengambil sebarang tindakan atas aduan gangguan seksual yang dilaporkannya.

Lebih memburukkan keadaan, wanita tersebut turut mendakwa pihak polis hanya ‘memandang sepi’ bahan bukti yang diserahkannya ketika membuat laporan di balai.

Tular di media sosial, wanita itu menceritakan semula kejadian yang terjadi di dalam pengangkutan awam Transit Aliran Massa (MRT) menghala ke Kwasa Damansara.

“Pada 5 Disember 2023, saya dalam perjalanan pulang dari kerja menaiki MRT (ke arah Kwasa Damansara). Saya duduk di bahagian penjuru, bermain dengan telefon.

“Saya kemudian mendongak ke atas bagi memeriksa di stesen manakah tren berada. Kemudian saya ternampak lelaki ini dengan kemaluannya terkeluar (buka zip seluar).

“Perkara pertama yang muncul di fikiran saya ketika itu adalah mengambil gambar untuk dijadikan sebagai bukti. Jika tidak, tiada siapa akan mempercayai saya,” katanya.

Selepas turun di perhentiannya, wanita itu terus membuat laporan kepada pegawai keselamatan MRT memandangkan tiada polis yang bertugas di stesen berkenaan.

Wanita itu kemudian dimaklumkan bahawa laporannya bakal dibawa kepada pihak atasan, namun polis mungkin tidak menangkap pelaku kerana dirinya tidak disentuh.

Tidak berpuas hati dengan jawapan pegawai keselamatan, wanita tersebut membuat keputusan untuk pergi ke balai polis bagi melaporkan kejadian mencemaskan itu.

“Saya menunggu di situ selama tiga jam untuk membuat laporan. Akhirnya, mereka memaklumkan bahawa kes itu hanya boleh dilabelkan sebagai ‘cover report’ sahaja.

“Pihak polis hanya menasihati saya untuk membuat laporan sekali lagi sekiranya pelaku mengulangi perbuatannya. Ketika itu, barulah mereka boleh menangkapnya.

“Saya terfikir, adakah pihak polis akan membebaskan lelaki itu begitu sahaja? Dari luaran mungkin saya nampak tenang. Tetapi emosi saya sangat terganggu.” Adunya.
Wanita itu turut mendakwa pihak polis memintanya untuk memadam gambar bukti.
Khuatir bakal dipersalahkan, wanita berkenaan turut memuat naik satu gambar bagi membuktikan bahawa dirinya tidak memakai baju terdedah ketika kejadian berlaku.

Memandangkan pihak berkuasa enggan mengambil tindakan, mangsa turut bertindak berkongsi gambar pelaku di laman Facebook sebagai amaran kepada wanita lain.

Difahamkan, pelaku turun di stesen Metro Prima, Kepong namun tidak dipastikan sama ada hentian itu adalah tempat tinggalnya atau sekadar taktik melarikan diri sahaja.

Sultan Ibrahim: Beri peluang Anwar bukti kemampuan

HarapanDaily.com

SITI NUR ZAWANI 

Semua pihak perlu memberi peluang kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuktikan kemampuan menerajui pentadbiran negara selepas setahun dilantik mengetuai kerajaan.

Menerusi temu bual eksklusif bersama The Straits Times Singapura, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah, rakyat wajar memberi peluang kepada Anwar kerana tidak mungkin untuknya membuat perubahan dalam tempoh setahun.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda akan menyokong kerajaan tetapi tidak akan berdiam jika kerajaan melakukan perkara yang tidak betul.

“Saya tidak fikir anda boleh ubah negara dalam tempoh setahun.

“Saya fikir terdapat menteri yang baik seperti Anthony Loke (Menteri Pengangkutan). Saya akan menyokong kerajaan, tetapi jika sesuatu tidak betul, saya akan memaklumkan kepada mereka,” titah baginda seperti dipetik dari akhbar itu.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak menjangkakan akan ada masalah bekerja dengan Anwar kerana baginda mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri itu.

Baginda bertitah, Anwar kadangkala menghubunginya untuk mendapatkan nasihat, walaupun pada tengah malam.

“Beliau kadang-kalang walaupun tengah malam hubungi saya, untuk minta nasihat,” titah baginda.

Majlis Raja-Raja sebelum ini dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) yang berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober bersetuju mengisytiharkan Sultan lbrahim dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.

Pelantikan baharu itu menggantikan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bakal menamatkan pemerintahan berkuat kuasa 30 Januari 2024 selepas memegang tampuk kepemimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.

Majlis Raja-Raja juga bersetuju mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong, selama lima tahun mulai dari tarikh sama.