"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Timbalan Presiden PAS nafi dakwaan ambil duit BERSATU

Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my

KOTA BHARU: Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan dakwaan mengatakan beliau antara pemimpin PAS mengambil duit BERSATU seperti tular di aplikasi TikTok, sejak malam tadi.

Sambil menyifatkan dakwaan itu adalah terpelik di dunia, Timbalan Presiden PAS itu turut memaklumkan perkara berkenaan tiada dalam pengetahuannya.

"Saya tidak tahu berhubung dakwaan ini…Saya ambil duit BERSATU? Ini adalah dakwaan terpelik di dunia.

"Setakat ini saya tidak terima maklumat berhubung perkara ini. Saya akan tengok dulu dakwaan ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran PAS Kelantan, di sini, hari ini.

Semalam tukar rakaman perbualan suara di aplikasi Tiktok yang mendakwa Tuan Ibrahim menjadi individu pertama dari PAS mengambil wang milik BERSATU selain Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Individu yang membuat dakwaan terhadap Tuan Ibrahim itu didakwa adik kepada Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menerusi rakaman itu, lelaki berkenaan mendakwa dia sebagai saksi empat mata yang melihat kejadian berkenaan.

Detik hitam diculik, dikurung 3 lelaki

Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil
harisfadli@hmetro.com.my
Tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menculik dan memeras ugut seorang perunding hutang. Ihsan IPD Sungai Buloh
Tiga lelaki tempatan ditahan kerana disyaki menculik dan memeras ugut seorang perunding hutang. Ihsan IPD Sungai Buloh
Sungai Buloh: Seorang perunding hutang menempuh detik hitam apabila dia diculik dan dikurung selama beberapa jam oleh tiga lelaki di sebuah premis sekitar Puncak Alam, di sini sebelum diselamatkan oleh sepasukan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Asisten Komisioner Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan yang juga majikan mangsa jam 10.46 malam kelmarin.

"Pengadu melaporkan mangsa berusia 20-an berjumpa dengan seorang wanita tempatan berkaitan urusan hutang milik syarikat pengadu.

"Susulan itu, mangsa menghubungi pengadu dan menyatakan bahawa dirinya ditahan, dipukul, diikat dan dilarikan oleh beberapa orang lelaki," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mangsa mendakwa suspek terbabit merampas wang tunai RM2,000 daripada pekerjanya itu dan meminta wang tebusan berjumlah RM7,000 sebelum melepaskan mangsa.

Katanya, bertindak atas maklumat pihaknya menjalankan operasi mengesan mangsa dan berjaya menjejak lokasi suspek berkenaan lalu melakukan serbuan jam 1.20 pagi semalam.

"Serbuan dilakukan sepasukan polis daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh di sekitar kawasan Puncak Alam, Selangor.

"Dalam serbuan itu didapati mangsa sedang berada dalam tahanan suspek berkenaan dan polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 30an hingga 40an," katanya.

Mohd Hafiz berkata, polis turut merampas beberapa barang kes antaranya kereta Honda, telefon bimbit dan kad pengeluaran wang automatik (ATM).

"Semakan rekod mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan jenayah lampau dan satu kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Kesemua suspek direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Iran akan guna senjata terbaru yang belum pernah digunakan hadapi serangan balas Israel

Bharianonline
Trak tentera Iran yang membawa dron Arash melepasi Raisi (kiri) dan pegawai tentera ketika perarakan tentera sebagai sebahagian daripada upacara menandakan hari tentera tahunan negara itu di Tehran semalam. - Foto AFP
Trak tentera Iran yang membawa dron Arash melepasi Raisi (kiri) dan pegawai tentera ketika perarakan tentera sebagai sebahagian daripada upacara menandakan hari tentera tahunan negara itu di Tehran semalam. - Foto AFP
TEHRAN: Iran memberi amaran keras bahawa tenteranya akan menggunakan senjata yang 'tidak pernah digunakan sebelum ini' ke atas Israel sekiranya negara itu melakukan serangan balas terhadap Tehran.

"Jika Israel bertindak balas, tindak balas kami seterusnya adalah dengan segera, lebih kuat dan lebih meluas menerusi 'senjata rahsia kami'," kata Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian ketika bercakap dengan Setiausaha Luar United Kingdom (UK), David Cameron.

Jurucakap Jawatankuasa Keselamatan Negara dan Dasar Luar Iran, pula berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan senjata sama ke atas Israel.

"Kami akan menghadapi sebarang pencerobohan Israel dan bertindak balas terhadapnya. Kami sedia menggunakan senjata terbaru yang kami tidak pernah gunakan sebelum ini.

"Kami mempunyai rancangan untuk semua senario dan kami menyeru rejim Zionis untuk bertindak secara rasional," kata Abolfazl Amoui yang dipetik sebagai berkata oleh Al-Mayadeen News, sebuah saluran berita Lubnan yang bersekutu dengan Iran.

Sementara itu, Presiden Iran, Ebrahim Raisi, turut memberi amaran bahawa 'pencerobohan paling kecil' oleh Israel akan membawa tindak balas 'besar-besaran dan keras', ketika pihaknya bersedia untuk tindakan balas Israel yang berpotensi selepas serangan Iran pada Sabtu lalu.

Iran melancarkan ratusan peluru berpandu dan dron ke atas Israel pada hujung minggu lalu sebagai tindak balas terhadap serangan Israel ke atas pekarangan kedutaannya di Syria pada 1 April yang mengorbankan 12 orang, termasuk dua jeneral Iran.

Israel, dengan bantuan dari Amerika Syarikat, United Kingdom, negara jiran Jordan dan negara lain, berjaya memintas hampir semua peluru berpandu dan dron. - AGENSI