"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami kaki pukul rempuh isteri, anak depan balai polis

KOSMO
Rakaman CCTV menunjukkan detik sebelum mangsa dirempuh oleh suspek. - One 31
BANGKOK – Polis menahan seorang lelaki kerana merempuh isteri dan anaknya menggunakan trak pikap miliknya di luar sebuah balai polis di wilayah Nakhon Si Thammarat, lapor laman berita Thaiger.

Pinno Sisooksai, 27, ditahan di rumah keluarganya di Krabi kelmarin selepas melarikan diri sejak lebih dua minggu lalu.

Pada 20 November lalu, isteri suspek, Lek, yang ditemani anaknya dan ahli keluarga lain pergi ke Balai Polis Tung Yai untuk memfailkan aduan terhadap lelaki itu.

Lek, 26, mendakwa bahawa dia didera secara fizikal oleh suspek. Disebabkan bimbang akan keselamatan diri dan anaknya, mangsa pergi mendapatkan bantuan polis.

Ketika kejadian, suspek mengekori mangsa dengan memandu trak pikap. 

Sejurus mangsa keluar dari kereta dan mahu masuk ke dalam balai, suspek memandu dengan laju dan merempuh mereka.

Dia kemudian melarikan diri dari tempat kejadian dan bersembunyi di rumah keluarganya di Krabi. 

Keadaan Lek dan ahli keluarganya tidak didedahkan, manakala suspek menghadapi pertuduhan cubaan membunuh yang membawa hukuman penjara seumur hidup, penjara 15 hingga 20 tahun atau hukuman mati. – AGENSI 

Fenomena air laut terbelah dua berlaku di Kelantan

KOSMO!
Tangkap layar kejadian tersebut.
PETALING JAYA – Fenomena air laut terbelah atau terbahagi dua seperti yang berlaku di beberapa tempat terutamanya di Langkawi baru-baru ini kini berlaku pula di Kota Bharu, Kelantan.

Kejadian yang berjaya ditangkap oleh juruvideo Shah Saleh menunjukkan kejadian tersebut berlaku apabila air dari Sungai Kelantan bertemu air Laut China Selatan di Kuala Besar, Kota Bharu.

Klip video yang diambil menggunakan dron itu menunjukkan keajaiban alam turut berlaku selepas negeri itu dilanda bencana banjir besar sejak hujung minggu lalu.

“Air Sungai Kelantan bertemu air Laut China Selatan di Kuala Besar. Di situlah pengakhiran air Sungai Kelantan dan akan bertemu air laut.

“Ini sudah tertulis dalam al-Quran di mana Allah telah jadikan air laut terbelah dua yang satunya masin dan satu lagi air tawar dan Allah ciptakan juga di bawah lautan yang besar dan luas terdapat air sungai,” tulisnya.

Katanya lagi, air tawar di bawah lautan besar itu diciptakan tidak sama sekali akan bercampur dengan air masin dari laut.

“Sungguh besar ciptaan Allah di atas muka bumi ini, Subhanallah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.

Ramasamy dihalang ke luar negara kerana kes pedati emas

N Faizal Ghazali

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy disekat ke luar negara susulan siasatan berkaitan bayaran RM300,000 membabitkan pembelian pedati emas dan bantuan perubatan RM50,000.

Sumber berkata SPRM Pulau Pinang berkata siasatan dibuat terhadap pegawai khas timbalan ketua menteri, Ramachandran Muthiah. 

Ramachandran masih berkhidmat di jawatan itu walaupun timbalan ketua menteri sudah bertukar.

Menurut sumber, Ramachandran disiasat atas tuduhan menyalahgunakan kedudukan mendapatkan wang kira-kira RM300,000 itu.

Ramasamy pula disiasat atas dakwaan menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pemberian bantuan perubatan sebanyak RM50,000 kepada sekutunya pada 2020.

Sumber berkata majistret Siti Nurul Suhaila Baharin membenarkan suspek yang bergelar Datuk direman selama enam hari sehingga 10 Disember 2024 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Georgetown, hari ini.

Menurut sumber, suspek lingkungan 70-an yang juga bekas pengarah eksekutif  Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang dipercayai melakukan perbuatan berkenaan sekitar tahun 2019.

Ramasamy ketika itu adalah pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang. 

"Siasatan awal mendapati suspek sebelum ini bersama bekas timbalan ketua menteri terdahulu merangkap bekas pengerusi agensi yang sama telah memperoleh wang lebih RM300,000 daripada akaun peruntukan khas agensi terbabit untuk diri mereka sendiri.

"Wang berkenaan membabitkan pembelian pedati emas daripada sebuah syarikat di luar negara yang mana kedua-duanya mempunyai kepentingan di syarikat itu.

"Selain bekas timbalan ketua menteri berkenaan juga dipercayai turut menyalahgunakan kedudukan dengan meluluskan pemberian bantuan perubatan pada tahun 2020 sebanyak RM50,000 kepada individu yang dipercayai sekutunya," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Peguam Ramachandran, Roshunraj Rajendran, turut mengesahkan penangkapan anak guamnya kepada Malay Mail hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ramasamy dihalang terbang ke luar negara, sekali gus menyebabkan dia gagal menerima sebuah anugerah keamanan daripada pemerintah Aceh, Indonesia.

Setia nakusaha sementara Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) Satees Muniandy berkata pegawai imigresen memaklumkan bahawa Ramasamy disenarai hitam dari meninggalkan negara.

Satees berkata dia difahamkan SPRM sedang menyiasat Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang sejak minggu lepas.

Tetapi katanya, sehingga kini, Ramasamy tidak dipanggil oleh pihak SPRM, sebaliknya “meletakkan senarai hitam ke atasnya”.

Sementara itu Pengarah SPRM Pulau Pinang Mohd Fuad Bee Basrah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap seorang pegawai khas kepada timbalan ketua menteri terbabit.

Dia bagaimanapun tidak menyebut nama mereka secara khusus.

Katanya, kes disiasat bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan kedua-dua individu yang disiasat itu kini dihalang daripada keluar negara sehingga siasatan selesai.

Perayaan Thaipusam di Pulau Pinang tahun 2017 mencipta sejarah tersendiri apabila buat pertama kalinya memperlihatkan perarakan membawa vel atau lembing yang digunakan Dewa Murugan di atas pedati emas melalui perjalanan sejauh sembilan kilometer.

Uniknya perarakan menggunakan pedati emas bernilai kira-kira RM3 juta dilaksanakan selepas 231 tahun usia sambutan perayaan itu.