"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Liverpool semakin hampir juara

EPL: Arsenal tersandung, Liverpool semakin hampir juara

Sinar Harian

Aksi Iliman Ndiaye di belakang tembok pertahanan Everton ketika perlawanan EPL antara Everton dan Arsenal di Goodison Park, Liverpool, Britain, 5 Apr 2025. REUTERS

EVERTON memberikan bantuan besar kepada jiran tetangga Merseyside, Liverpool dalam pemburuan gelaran juara Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mengikat pesaing terdekat Arsenal 1-1 di Stadium Goodison Park pada Sabtu.

Gol penalti Iliman Ndiaye membatalkan jaringan pembukaan Leandro Trossard untuk mata ke-35 anak buah David Moyes selepas mengharungi 31 perlawanan.

Keputusan seri ke-11 itu juga menyaksikan kelab London tersebut mengekalkan kedudukan kedua dengan 62 mata selepas mengharungi 31 perlawanan sekali gus 11 mata di belakang Liverpool yang kurang satu perlawanan.

Arsenal mendahului apabila Trossard menterjemahkan sentuhan Raheem Sterling untuk gol pertama perlawanan pada minit ke-35 bagi memimpin separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, Everton dihadiahkan sepakan penalti oleh pengadil apabila Myles Lewis-Skelly menjatuhkan Jack Harrison dalam kotak penalti.

Ndiaye yang mengambil sepakan tersebut tenang menyempurnakannya pada minit ke-49, untuk gol kesembilannya musim ini dalam semua pertandingan.

Sebelum sepak mula, pengendali Arsenal, Mikel Arteta, memeluk Moyes, yang dianggapnya sebagai 'bapa bola sepaknya'.

Sebagai rekod, Moyes memberikan Arteta peluang pertama beraksi dalam kancah bola sepak Inggeris menyaksikan pemain Sepanyol itu menghabiskan hampir tujuh tahun bersama Everton di Goodison Park. - Sinar Harian

27 tahun terpisah, media sosial satukan keluarga dalam 48 jam

Agensi
HE bertemu semula dengan keluarganya dalam tempoh 48 jam. HE bertemu semula dengan keluarganya dalam tempoh 48 jam.
Beijing: Perkongsian seorang wanita berusia 27 tahun di selatan China di laman sosial membuahkan hasil selepas menjejaki keluarga kandungnya dalam tempoh 48 jam.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, ibu bapa kandung wanita dikenali He, yang menetap di Heyuan wilayah Guangdong, menghubunginya hanya dua hari selepas dia mengeluarkan video dalam talian

Menerusi video dimuat naik di media sosial pada 21 Mac, He menyenaraikan alamat di mana dia dihantar kepada keluarga angkatnya pada awal 1998, dan kampung tempat tinggal keluarga angkatnya, lapor akhbar Red Star News.

"Walau apa pun yang berlaku sebelum ini, saya boleh terima.

"Saya harap ibu bapa saya datang mencari saya, atau kamu boleh beritahu saya alamat dan saya boleh cari kamu.

"Ibu bapa angkat saya memberitahu saya bahawa ibu bapa kandung saya adalah orang asli Sichuan, dengan nama keluarga bapa saya ialah Tan," katanya dalam rakaman video itu.

He mengisi maklumat darahnya ke dalam pangkalan data asid deoksiribonukleik (DNA) negara baru-baru ini kemudian berkongsi satu lagi video pada keesokan harinya, mendedahkan bapa kandungnya seorang pereka pakaian, memakai cermin mata dan mempunyai dua anak perempuan sebelum dia.

Tan dan isterinya menghubungi He untuk mengesahkan hubungan mereka pada 23 Mac.

"Anak perempuan saya ditemukan. Kami mengalu-alukan dia pulang ke rumah.

"Saya sangat bersyukur. Ini adalah rahmat untuk keluarga saya," kata Tan di media sosial.

Lelaki itu berkata, salah seorang saudaranya melihat videonya dan berkongsi dengannya.

Kemudian, Tan dan isterinya mengambil sampel darah mereka oleh pangkalan data DNA, walaupun keputusan padanan gen masih belum disimpulkan.

Selain dua kakak, He itjuga mempunyai seorang adik lelaki dan punca dia dijadikan anak angkat pada usia dua bulan belum didedahkan.

Pasangan itu berkata, mereka menyimpan butiran keluarga angkat itu, namun terputus hubungan dengan mereka selepas dua tahun.

Mayat ratu cantik Myanmar ditemukan di bawah runtuhan kondominium

AGENSI
Silimee pernah mewakili negaranya dalam pertandingan Miss Tourism Myanmar 2018. - Foto FB Miss Tourism Myanmar
Silimee pernah mewakili negaranya dalam pertandingan Miss Tourism Myanmar 2018. - Foto FB Miss Tourism Myanmar
NAYPYIDAW: Mayat seorang wanita yang juga ratu cantik ditemukan di bawah kondominium 12 tingkat di tengah Mandalay, berikutan gempa bumi minggu lalu.

The Nation News melaporkan, mangsa, Silimee pernah mewakili negaranya dalam pertandingan Miss Tourism Myanmar 2018.

Silimee antara mangsa gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda Mandalay pada 28 Mac lalu.

Gempa bumi itu turut dirasai di seluruh negara jiran, termasuk Thailand, Vietnam dan sebahagian kawasan di China.

Silimee terperangkap dalam runtuhan selepas kondominium Sky Villa runtuh semasa gempa bumi.

Mayatnya ditemukan oleh penyelamat pada 2 April lalu, menurut hantaran di Facebook (FB) oleh organisasi Miss Tourism Myanmar.

Seperti yang dilaporkan oleh The New York Times, Sky Villa yang siap pada 2017 menjadi salah satu bangunan yang paling teruk terjejas, walaupun memiliki asas tahan gempa bumi.

Bangunan itu menempatkan bar atas bumbung terbesar di Mandalay dan memiliki gimnasium tercanggih sebelum ia runtuh.

Junta Myanmar berkata, jumlah kematian meningkat kepada lebih 3,100, menurut Reuters.
-bharianonline