"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

11 kandang terbakar, lebih 600,000 ekor ayam mati

NOR AINNA HAMZAH
Keadaan kebakaran membabitkan ladang ternakan ayam telur berkeluasan lebih kurang 10 ekar di Ladang Bukit Bertam Jalan Linggi - Lubuk Cina, di sini, pagi tadi. -IHSAN POLIS
REMBAU – Sebanyak 11 kandang ayam telur yang diperbuat daripada besi dan kayu terbakar mengakibatkan kematian lebih 600,000 ternakan berkenaan di Ladang Bukit Bertam Jalan Linggi – Lubuk Cina, di sini, pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.40 pagi itu membabitkan ladang ternakan ayam telur berkeluasan lebih kurang 10 ekar.

Menurutnya, pengurus ladang dimaklumkan oleh pekerja api secara tiba-tiba marak di dalam kawasan kandang ayam dan telah menghubungi talian 999 untuk dapatkan bantuan.

“Pasukan bomba dan penyelamat dari Kota, Rembau, Teluk Kemang dan Rantau telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran.

“Pasukan bomba telah berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak dan insiden berkenaan tidak melibatkan kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Ujar Azmi lagi, kesemua 90 orang pekerja ladang ternakan ayam telur telah dikumpulkan di tempat yang selamat dan jumlah sebenar kerugian serta punca kebakaran masih lagi dalam siasatan.- KOSMO! ONLINE

Kedah: Isteri orang ditangkap berkhalwat dengan lelaki bujang

Zuliaty Zulkiffli
Anggota penguat kuasa agama menahan pasangan kekasih disyaki berkhalwat. - Foto PADK
Anggota penguat kuasa agama menahan pasangan kekasih disyaki berkhalwat. - Foto PADK
KULIM: Helah sepasang kekasih yang tinggal bersama dengan memberitahu jiran kononnya mereka baru berkahwin akhirnya terbongkar apabila dicekup penguat kuasa agama, awal pagi tadi.

Wanita berusia 29 tahun yang masih berstatus isteri dan lelaki bujang berusia 23 tahun itu ditahan disyaki berkhalwat di rumah sewa wanita itu di Padang Serai, di sini.

Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, pasangan itu ditahan pada jam 1.45 pagi, selepas pihaknya menerima aduan berhubung kegiatan maksiat di rumah berkenaan.

Ketika serbuan, beliau berkata, pintu rumah dibuka wanita terbabit yang mempunyai empat anak, namun pemeriksaan lanjut menemukan lelaki bersembunyi di belakang pintu dengan memakai seluar jeans tanpa baju.

"Soal siasat dilakukan yang mendapati wanita itu masih berstatus isteri tetapi dalam proses bercerai. Dia juga mendakwa suaminya kini sedang menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah sejak November tahun lalu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anwar Sharifuddin berkata, wanita itu bekerja di kilang di Prai, Pulau Pinang mendakwa berkenalan dengan lelaki itu yang bekerja sebagai pemandu jentera pada awal tahun ini, manakala semua anaknya berusia lima hingga 12 tahun dijaga ibu bapanya yang tinggal tidak jauh dari situ.

"Mereka mengaku suami isteri kepada jiran untuk mengaburi perbuatan maksiat, bahkan ibu bapa wanita itu juga tidak mengetahui lelaki berkenaan tinggal di rumah itu," katanya.

Beliau berkata, pasangan itu ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014.

Lelaki disyaki cederakan anak guna ‘timing belt’ kereta ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki mencederakan anak perempuannya termasuk menggunakan getah ‘timing belt’ kenderaan, dalam kejadian di Lahad Datu, semalam.

Ketua Polis Lahad Datu, Jimmy Panyau, berkata polis menerima laporan daripada bekas isteri suspek selepas menerima gambar kecederaan dihantar anaknya di WhatsApp.

Katanya, dalam laporan itu, mangsa didakwa mengalami lebam di bahagian belakang badan, rusuk dan kaki kanan.

“Susulan itu, suspek berusia 38 tahun kemudiannya ditahan kira-kira 12.10 tengah hari kerana disyaki mencederakan anak kandungnya menggunakan tangan dan getah ‘timing belt’ ketika mangsa membantu baiki kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.