"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Polis buru 3 lelaki bergaduh di Kota Bharu

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Tangkap layar CCTV memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu pada 23 Mei lalu.
KOTA BHARU – Polis memburu tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Jalan Kebun Sultan di sini pada 23 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, tiga individu terbabit ialah Weng Kok Choo, 58, beralamat di Jalan Kebun Sultan di sini S. Saravanan Kumar dan S. Kumaresan yang masing-masing berasal dari Sungai Pelek, Selangor.
Tiga lelaki yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan di Jalan Kebun Sultan, Kota Bharu pada 23 Mei lalu.
Menurutnya, kesemua individu itu diperlukan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan senjata atau objek berbahaya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ketiga-tiga individu ini diminta tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kota Bharu atau balai berhampiran,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, polis menyiasat kes sekumpulan lelaki yang terlibat dalam satu pergaduhan di Jalan Kebun Sultan di sini selepas tular video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) kejadian tersebut di media sosial.

Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 4.27 pagi itu pada 23 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE

Kenderaan tentera Israel rempuh bas bawa jemaah haji di Jenin

Bernama-Wafa
KENDERAAN tentera Israel merempuh sebuah bas yang membawa jemaah haji awal pagi Sabtu di Bandar Jenin. FOTO Agensi.
KENDERAAN tentera Israel merempuh sebuah bas yang membawa jemaah haji awal pagi Sabtu di Bandar Jenin. FOTO Agensi.
Jenin (Tebing Barat, Palestin): Sebuah kenderaan tentera Israel merempuh sebuah bas yang membawa jemaah haji awal pagi Sabtu di Bandar Jenin, utara Tebing Barat, menyebabkan panik dalam kalangan penumpang, lapor Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) berdasarkan sumber tempatan.

Kejadian berlaku berhampiran Dataran Pentadbiran Jenin ketika bas berkenaan sedang bersiap untuk bertolak ke Bandar Jericho.

Jemaah haji terbabit dijadualkan menyeberangi sempadan Jambatan Karama dari sana ke Jordan sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi untuk menunaikan ibadah haji.

Menurut saksi dan pegawai tempatan, pelanggaran itu dipercayai disengajakan. Timbalan Gabenor Jenin, Mansour Al-Saadi mengesahkan bahawa kenderaan tentera Israel merempuh secara langsung bas yang diletakkan di luar kawasan Kompleks Pentadbiran Jenin.

Bas itu membawa jemaah warga emas, kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga syuhada dan rakyat Palestin yang cedera.

Beberapa penumpang turut dilaporkan menghidap penyakit kronik.

Walaupun tiada kecederaan dilaporkan, bas mengalami kerosakan dan insiden itu menyebabkan tekanan emosi yang besar dalam kalangan jemaah.

Kelantan: 2 pemandu jentolak maut jatuh cerun, gaung

Hazira Ahmad Zaidi
am@hmetro.com.my
KEADAAN jentolak yang terjatuh dalam gaung kira-kira 100 meter di Ladang Bonanza, Laloh, Kuala Krai. FOTO Ihsan Polis.
KEADAAN jentolak yang terjatuh dalam gaung kira-kira 100 meter di Ladang Bonanza, Laloh, Kuala Krai. FOTO Ihsan Polis.
Kuala Krai: Dua lelaki maut selepas jentolak dipandu mereka terjatuh ke dalam cerun dan gaung di dua lokasi berasingan, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kemalangan pertama membabitkan warga Thailand berusia 49 tahun apabila jentolak dipandu tergelincir dan terjatuh ke dalam cerun di Ladang Dabong Kilometer 27, Jalan Sungai Sam-Dabong, di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden berkenaan pada jam 2.50 petang.

"Siasatan awal mendapati, ketika kejadian, mangsa memandu jentolak ke kawasan lereng bukit untuk pergi berehat, tetapi tergelincir ke dalam cerun menyebabkannya tercampak keluar dari jentera dan dihempap.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa keluar dari jentolak itu dengan bantuan pasukan bomba dan penyelamat," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Dalam insiden kedua, Mazlan berkata, seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun maut selepas jentolak dipandunya terjatuh ke dalam gaung lebih 100 meter di Ladang Bonanza, Laloh, Kuala Krai, jam 3.30 petang.

"Siasatan awal mendapati mangsa sedang bekerja di ladang berkenaan bagi kerja-kerja membuat teres.

"Bagaimanapun, ketika bekerja jentolak dipandu tergelincir dari laluan menyebabkannya jatuh ke dalam gaung.

"Mangsa tersepit dalam jentera dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) untuk dibedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis," katanya.