"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 penculik ditahan dalam masa 24 jam

Buletin TV3 

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan kes culik bagi mendapatkan wang tebusan dalam tempoh 24 jam susulan penahanan lima lelaki dalam beberapa serbuan di Kulai dan Simpang Renggam, Kluang pada 28 Mei lalu.

Mangsa kemudian berjaya diselamatkan di Kulai pada keesokkannya.

Suspek, seorang warga tempatan dan empat warga asing berusia 22 hingga 48 tahun ditahan berikutan laporan yang dibuat oleh seorang warga asing berusia 46 tahun.

Lelaki itu membuat laporan polis selepas menerima panggilan daripada isteri rakannya mendakwa suaminya diculik dan ditahan oleh individu tidak dikenali bagi menuntut wang tebusan RM20,000 untuk pembebasannya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru (Utara), Asisten Komisioner Balveer Singh berkata, bertindak atas maklumat, polis mengesan mangsa di Kulai dan melakukan penahanan serentak di lokasi berasingan.

“Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau, dan saringan ujian air kencing mendapati mereka negatif dadah,” katanya.

Polis turut merampas beberapa barangan, namun enggan mengulas lanjut termasuk identiti suspek dan mangsa.

Kelima-lima suspek direman selama enam hari mulai 31 Mei lalu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 364 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Siasatan juga dibuat mengikut Seksyen 6(1)(C) dan 15(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 masing-masing kerana masuk secara haram dan tinggal melebihi tempoh dibenarkan.

Kelantan: Bas ekspres bawa 19 penumpang terbabas rempuh penghadang jalan

AIMUNI TUAN LAH
Keadaan sebuah bas ekspres yang terbabas dan merempuh penghadang jalan di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis dekat Gua Musang, hari ini. Foto IHSAN POLIS
GUA MUSANG – Seramai 19 orang penumpang sebuah bas ekspres berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 8, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 tengah hari itu, pemandu bas yang berusia 57 tahun dan semua penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika bas ekspres itu sedang dalam perjalanan menghala ke arah Kuala Lumpur.

Katanya, setibanya di lokasi kejadian, bas tersebut dipercayai dipandu dalam keadaan laju sebelum hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan.

“Kemalangan itu hanya melibatkan kerosakan pada bas ekspres dan tiada kecederaan dilaporkan.

“Seramai 19 orang yang terlibat dipindahkan ke bas lain bagi meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.

Menurut Choon Foo, kes disiasat mengikut Peraturan 6(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 atas kesalahan gagal mengawal kenderaan menyebabkan kemalangan.

Tambahnya, siasatan lanjut masih diteruskan dan kamera papan pemuka bas ekspres terbabit turut dirampas. – KOSMO! ONLINE

'Haus dan lapar jawatan bukan budaya PKR'

B Nantha Kumar

Seorang pemimpin PKR didakwa sedang giat menghubungi ketua-ketua cabang bagi meraih sokongan untuk melobi jawatan menteri.

Bekas timbalan komunikasi PKR Sabah Fekirie Gobet yang membuat tuduhan itu menggesa pucuk pimpinan parti bertindak segera dan mengeluarkan larangan terhadap amalan ini.

"Saya menerima panggilan daripada salah seorang pembantu pemimpin itu. Dia bertanya mengenai Rafizi Ramli dan Nik Nazmi (Nik Ahmad).

"Semasa perbualan, dia memberitahu saya bahawa pemimpin itu sedang menghubungi ketua-ketua cabang dan beberapa pemimpin dari PKR mengumpul tandatangan untuk menyatakan sokongan kepadanya dilantik sebagai menteri menggantikan Nik," katanya kepada Malaysiakini.

Menurut Fekirie, dia menghubungi sendiri beberapa ketua cabang yang memaklumkan menerima panggilan serupa.

Katanya, tindakan itu mencabar kuasa presiden PKR yang juga Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam menentukan barisan jemaah menteri.

"Individu yang cuba melobi ini menggunakan taktik yang sangat memalukan. Haus dan lapar jawatan ini bukan budaya PKR.

“Kini cuba menggunakan ketua-ketua cabang untuk kepentingan peribadi.

"Tindakan seperti ini mencemarkan prinsip perjuangan parti dan harus dihentikan segera.

"Saya meminta agar pucuk pimpinan agar membuat arahan larangan (melobi jawatan) supaya tidak ada membuat lobi untuk jawatan menteri," katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pemimpin berkenaan dan masih belum menerima penjelasan lanjut mengenai dakwaan ini.

Dalam pada itu, dua lagi sumber PKR memberitahu memang berlaku usaha mengumpul tandatangan untuk menyokong pemimpin tersebut mendapat jawatan menteri.

"Saya tak boleh dedahkan maklumat saya. Tapi, saya boleh sahkan pembantu pemimpin itu menghubungi saya untuk tandatangan surat sokongan," kata satu sumber dari Kedah.

"Memang ada panggilan daripadanya. Kami belum memberi kata putus," tambah satu lagi sumber yang enggan dinamakan.

Untuk rekod, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi mengemukakan surat peletakan jawatan pada 28 Mei, susulan tindakan sama oleh Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Kedua-duanya memetik kekalahan dalam pemilihan parti sebagai antara faktor utama pengunduran mereka.