Warga Indonesia usaha tunai haji secara haram, berakhirnya meninggal dunia di gurun
Hamas gesa PBB siasat pembunuhan orang awam di pusat agihan bantuan di Gaza
Bernama
ISTANBUL: Kumpulan Palestin Hamas pada Ahad menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan satu suruhanjaya siasatan antarabangsa bebas bagi menyiasat pembunuhan orang awam Palestin yang sedang mendapatkan bantuan kemanusiaan di Gaza oleh tentera Israel, lapor Anadolu Ajansi.
Sekurang-kurangnya 49 orang awam terbunuh dan lebih 200 lagi cedera selepas tentera Israel melepaskan tembakan ke arah penduduk Palestin yang sedang mendapatkan bantuan di kawasan Al-Mawasi, barat bandar Rafah di selatan Gaza pada pagi Ahad.
"Pembunuhan beramai-ramai ini mengesahkan sifat fasis pendudukan (Israel) dan objektif jenayahnya di sebalik mekanisme bantuan ini," kata Hamas dalam satu kenyataan.
Israel didakwa "menggunakan pusat bantuan di bawah kawalannya sebagai perangkap untuk menarik mangsa kelaparan yang tidak bersalah sebelum melakukan pembunuhan, penghinaan dan penyeksaan terhadap mereka dengan cara yang paling kejam."
Israel telah merancang untuk menubuhkan empat pusat pengagihan bantuan di selatan dan tengah Gaza, yang menurut media Israel bertujuan memindahkan penduduk Palestin dari utara ke selatan Gaza.
"Kami menggesa PBB menubuhkan satu jawatankuasa siasatan antarabangsa bebas dan segera memasuki Gaza untuk menyiasat jenayah sistematik terhadap orang awam ini serta mendakwa mereka yang bertanggungjawab sebagai penjenayah perang," tambah kenyataan itu.
Hamas turut menggesa agar PBB mengeluarkan keputusan "segera" dan "mengikat" untuk "memaksa tentera Israel menghentikan mekanisme berdarah ini" dan segera membuka lintasan sempadan Gaza "bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan melalui mekanisme PBB."
Israel terus melancarkan serangan dahsyat di Gaza sejak Oktober 2023, meskipun menerima desakan antarabangsa untuk melaksanakan gencatan senjata, menyebabkan lebih 54,400 rakyat Palestin terkorban -- kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Agensi bantuan telah memberi amaran mengenai risiko kebuluran dalam kalangan lebih dua juta penduduk wilayah itu.
-- BERNAMA
Rafizi: Saya tak berminat terima jawatan tertinggi mana-mana parti
Ernalisa Othman
AMPANG: Mantan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli menyatakan tidak berhasrat dan tidak berminat untuk menerima sebarang jawatan tertinggi jika ditawarkan mana-mana parti.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, akan tetap meneruskan baktinya untuk rakyat.
"Saya memang dah nyatakan dari awal, saya tidak terima apa-apa tawaran jawatan.
"Malah Nurul Izzah masa jumpa saya, cuba nak bawa kalau ada Timbalan Presiden dilantik. Saya kalau ada Timbalan Presiden pun, kalau Presiden dilantik pun, saya tak berminat kerana ia bukan soal jawatan; ia soal perjuangan yang kita nak bawa.
"Saya akan kekal sebagai ahli dan tanggungjawab saya sama seperti sebelum ini," kata Rafizi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Karnival Belia Madani 2.0, Parlimen Pandan 2025, di sini, pada Ahad.
Dalam pada itu, Rafizi yang ditanya media mengenai perancangannya selepas ini berkata: "Perancangan saya selepas ini tiada kena-mengena dengan Tengku Zafrul, dengan PKR ke, UMNO ke, Kerajaan Perpaduan, itu hak saya sebagai Ahli Parlimen dan akar umbi. Kalau ada pimpinan akar umbi, contoh di Sabak Bernam, kamu tak tanya dia perancangan pun, kan?"
Baru-baru ini, proses pemilihan yang berlangsung bersekali dengan Kongres Nasional PKR 2025 di Johor Bahru, Johor menyaksikan beberapa perubahan dalam barisan kepimpinan utama parti, termasuk kekalahan beberapa penyandang jawatan utama.
Sebelum ini, Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar disahkan menewaskan Rafizi dan merampas jawatan sebagai Timbalan Presiden parti.
Selain Rafizi, pemimpin utama PKR lain yang turut tewas adalah Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah dalam perebutan empat slot utama jawatan Naib Presiden.
Keputusan rasmi jawatan Timbalan Presiden PKR itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dalam Kongres Nasional Keadilan di Persada Johor International Convention Centre, Johor Bahru baru-baru ini.
Nurul Izzah, yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, memperoleh 9,803 undi menewaskan penyandang jawatan Datuk Seri Rafizi Ramli yang meraih 3,866 undi.