"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wanita disyaki ugut, sebar gambar bogel cikgu yang juga madunya

Meor Riduwan Meor Ahmad
am@hmetro.com.my
SUSPEK di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
SUSPEK di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Melaka: Seorang ejen pelaburan direman dua hari bagi membantu siasatan kerana disyaki mengugut dan menyebarkan gambar bogel guru wanita yang juga madunya, Mac lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Nurul Asyikin Rosli bermula hari ini hingga esok selepas dipohon pengawai penyiasat bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 507 dan 509 Kanun Keseksaan.

Menurut sumber, wanita berusia 53 tahun itu ditahan polis, 10.15 malam tadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, ibu kepada empat anak itu sebelum ini diklasifikasikan sebagai individu dikehendaki bagi siasatan kes terbabit susulan laporan dibuat madunya, 47, yang juga guru sekolah di Subang Jaya, Selangor.

"Pengadu terkejut apabila dimaklumkan bapanya di Klebang yang menerima sepucuk surat daripada suspek berserta gambar bogel anak perempuannya itu dan menantu lelaki.

"Berikutan bimbang gambar aibnya tersebar selain suspek sering mengganggu keluarganya, pengadu bertindak membuat laporan polis pada 27 Mac lalu," katanya.

Sumber berkata, wanita itu bercuti di luar negara atas tajaan syarikatnya di Vienna, Austria dan ditahan sejurus tiba di KLIA.

Peguam suspek, Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh berkata, pihaknya sebelum itu membantah permohonan reman selama empat hari yang dipohon polis.

"Anak guam saya ditahan sejurus tiba di KLIA kira-kira jam 10.15 malam tadi dan dia memberikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan.

"Saya membantah permohonan reman selama empat hari oleh pihak polis kerana kes ini hanya membabitkan kes domestik.

"Alasan polis untuk memohon tempoh reman empat hari itu termasuk bagi menyiasat sama ada anak guam saya menggunakan akaun media sosial palsu," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan penahanan suspek, namun tidak mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.


SUSPEK di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad

19 kambing mati, 4 kenderaan musnah kandang terbakar

FMT Reporters

Hanya seekor kambing berjaya diselamatkan selepas kandang kelas C itu musnah 90%.
Anggota bomba memadam kebakaran kandang kambing di Kampung Jawa, Bayan Lepas, Pulau Pinang. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Sebanyak 19 kambing mati selepas kandang menempatkan ternakan itu terbakar di Kampung Jawa, Bayan Lepas, Pulau Pinang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada 12.58 tengah hari.

“Kandang kambing kelas C itu musnah 90%. Hanya seekor kambing berjaya diselamatkan,” katanya dalam kenyataan, menurut Bernama.

Beliau berkata, kejadian turut mengakibatkan tiga kereta dan sebuah lori satu tan yang berada berhampiran kandang itu terbakar antara 30 hingga 90%.

John berkata, operasi pemadaman dilakukan sembilan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru bersama dua jentera.

“Api dapat dikawal pada 1.07 tengah hari sebelum kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya pada 2 petang,” katanya memaklumkan punca dan jumlah kerugian sedang disiasat.

2 maut, 12 cedera nahas 3 kenderaan di Kelantan

FMT Reporters

Dalam kemalangan kira-kira 11.55 malam itu, Zulkifli Salleh disahkan maut di lokasi manakala Mohammad Zakquan Abdullah meninggal dunia di hospital.
Keadaan di lokasi kemalangan di Jalan Machang-Pasir Puteh, Kampung Banggol Judah malam tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA: Dua maut dan 12 lagi cedera dalam nahas tiga kenderaan di Jalan Machang-Pasir Puteh, Kampung Banggol Judah di Machang malam tadi.

Dalam kemalangan kira-kira 11.55 malam itu, Zulkifli Salleh, 54, disahkan maut di lokasi manakala Mohammad Zakquan Abdullah, 12, meninggal dunia ketika dirawat di hospital.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Machang, Mohd Suhaimi Razali, berkata dua mangsa itu menaiki Proton Waja bersama empat wanita lain.

“Kemalangan membabitkan tiga kenderaan, iaitu trak pikap jenis Chevrolet, Perodua Kancil dan Proton Waja, yang dipercayai datang dari arah bertentangan.

“Mangsa lelaki yang maut dipercayai tersepit dan kami menjalankan operasi ‘size-up’ bagi mengeluarkan mangsa,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa cedera termasuk dua wanita dan tiga lelaki dalam trak pikap serta pemandu bersama dua penumpang Perodua Kancil, iaitu seorang lelaki dewasa dan dua kanak-kanak berusia empat serta tujuh tahun.

Ketua Polis Machang, Ahmad Shafiki Hussin, mengesahkan menerima laporan berkaitan kemalangan itu.