"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."
Mempersendakan Allah?: Boleh pula dia gembira ‘masuk neraka’
Harapandaily
MAZLAN SYAFIE
MasyaAllah. Kita menyaksikan teknologi berlari lebih laju daripada akal manusia.
Aplikasi video AI seperti VEO 3 yang dipacu oleh Google kini membolehkan seseorang mencipta “apa sahaja” dari langit syurga hingga ke dasar neraka.
Ada yang memilih untuk “berlakon” dalam neraka, lengkap dengan ekspresi tersenyum, air lava, dan makhluk menyeramkan di belakangnya.
Maka kita tidak lagi bercakap tentang teknologi. Kita sedang bercakap tentang hilangnya rasa gerun terhadap azab Allah.
Dalam satu video yang sedang tular, seorang lelaki dilihat seolah-olah sedang “berswafoto” dari dalam kawah neraka, lengkap dengan suasana merah membara.
Ada suara dan skrip, ada ketawa kecil, ada ‘mood’ seperti berada di taman tema. Mungkin bagi si pembuatnya, ini cuma kreativiti. Cuma main-main. Cuma content.
Tapi dalam pandangan orang beriman, ini bukan sekadar teknologi. Ini peringatan bahawa iman manusia hari ini sedang mengelupas satu demi satu.
Neraka bukan sekadar suasana. Neraka bukan tema. Neraka bukan setting filem seram.
Neraka adalah tempat yang Allah ciptakan untuk menghukum makhluk yang ingkar, kufur dan mempermainkan agama.
Dalam Surah al-Mulk ayat 6-7, Allah berfirman:
“Dan bagi orang-orang yang kafir kepada Tuhan mereka, azab Jahannam. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali. Apabila mereka dilemparkan ke dalamnya, mereka mendengar suara neraka menggelegak, kerana ia marah yang amat sangat.”
Bayangkan, satu tempat yang marah kepada manusia. Satu tempat yang membakar dan mencengkam, bukan memeluk dan menyambut. Siapa yang waras mahu “masuk” walau sekadar lakonan?
“Jangan cabar Allah.”
Itu antara komen paling banyak muncul. Ringkas, tapi dalam maksudnya. Orang mukmin bukan sekadar takut api.
Tapi mereka gerun kepada kemurkaan Allah. Sebab mereka tahu, azab dunia paling dahsyat pun belum setanding setitis api neraka.
Sabda Nabi SAW dalam Sahih Bukhari:
“Api kamu (di dunia) yang kamu nyalakan hanyalah satu bahagian daripada 70 bahagian api neraka Jahannam.”
Senyuman dalam video itu mungkin dibuat untuk content. Namun, di sisi Allah, setiap mimik muka mencerminkan hati.
Apabila orang bermain-main dengan imej azab neraka sambil ketawa, itu tandanya dia sudah hilang rasa gerun terhadap balasan Tuhan. Itu sangat bahaya.
“Tapi ini cuma AI. Ini cuma kesan khas.”
Benar, tapi apakah kita sanggup “main-main” buat kandungan seolah-olah sedang solat atas tandas? Atau buat lawak seolah-olah alim ulama sedang berkaraoke?
Tak masuk akal, ‘kan? Maka mengapa bab neraka, kita benarkan pula jenaka dan lakonan yang tidak ada sensitiviti langsung?
Kita bukan menolak teknologi. Kita tolak kejahilan yang menggunakan teknologi untuk mencemarkan iman.
Nabi SAW bersabda dalam satu hadis sahih:
“Sesiapa yang mempermainkan sesuatu yang berkaitan dengan agama, maka dia termasuk dalam golongan yang berdosa besar.” (Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Bukan mainan
Agama bukan mainan. Neraka bukan kandungan viral. Dan iman bukan benda yang boleh digadaikan demi views dan likes.
Maka apakah kita telah hilang semua garis panduan moral hanya kerana mahu mencuba ciri AI terbaharu?
Semua orang ada hak guna teknologi. Tapi tidak semua perkara sesuai dijadikan bahan.
Dan neraka ialah satu-satunya tempat yang semua orang minta dijauhkan setiap hari. Maka siapa yang waras mahu menjadikannya lokasi penggambaran?
Rakan-rakan, inilah zaman yang disebut dalam hadis dimana manusia akan bergurau dengan perkara agama, dan ketika ditegur, mereka jawab, “Kami hanya main-main.” Tetapi Allah jawab:
“Patutkah kamu menjadikan Allah, ayat-ayat-Nya, dan Rasul-Nya sebagai bahan ejekan? Jangan kamu minta maaf. Kamu sudah kufur setelah beriman.” (Surah at-Taubah: 65-66)
MasyaAllah. Semoga kita dilindungi daripada hati yang keras dan lisan yang lancang.
Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang mengundang murka hanya kerana ingin “trending”.
Dan semoga Allah mengampuni kita semua yang lalai, dan masih memberi peluang untuk kembali sebelum tiba hari di mana neraka tidak lagi sekadar kesan visual, tetapi realiti yang tidak dapat diundur.
Vape RM1 jerat remaja ke lembah dadah
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
Pendang: Hanya dengan RM1, remaja kini boleh mendapatkan satu titis vape yang dibimbangi mengandungi bahan terlarang sekali gus ia mampu menjerat mereka ke arah penagihan dadah.
Pengerusi Majlis Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Kedah, Datuk Dr Zulkifly Mohamad berkata, trend itu sangat membimbangkan dan kian menular dalam kalangan pelajar sekolah.
"Sekarang ini, dengan RM1 pun sudah boleh dapat satu titis vape. Kita tahu ada vape yang sudah dicampur bahan terlarang.
"Masalahnya, benda ini tidak boleh dikesan dengan mudah, dan apabila sudah rosakkan saraf otak anak-anak kita, masa itu sudah terlambat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di Sungai Rambai di sini, hari ini.
Beliau berkata, bahan terlarang dalam vape ini memberi kesan terus kepada sistem saraf dan otak, menyebabkan kerosakan kekal yang sukar dipulihkan, berbeza dengan dadah konvensional yang masih ada ruang rawatan jika dikesan awal.
Katanya, pengedaran vape yang dicampur bahan bahaya kini semakin mudah diperoleh remaja kerana dijual tanpa kawalan, malah sering dipasarkan dalam bentuk titisan yang sukar dikesan.
Beliau turut menggesa ibu bapa dan guru supaya lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak-anak, terutamanya jika mula menunjukkan kelainan seperti murung, agresif atau sering menyendiri.
"Kita mahu ibu bapa dan cikgu betul-betul ambil berat. Kalau anak tunjuk tingkah laku pelik, cepat bertindak. Ini bukan benda kecil, ini soal masa depan anak bangsa," katanya.
Dalam masa sama, Zulkifly menyarankan supaya undang-undang berkaitan vape dikaji semula, terutama membabitkan produk yang dicampur dadah, agar pengedar dan penjual dapat dihadapkan ke muka pengadilan dengan lebih tegas.
"Ini bukan soal rokok elektronik biasa. Ini vape yang dicampur dadah dan ia sedang merosakkan otak anak-anak kita dalam diam.
"Kita bukan bercakap soal vape biasa, tapi vape yang dicampur dadah seperti syabu dan mushroom . Ini sangat berbahaya. Perlu ada undang-undang yang lebih kukuh supaya tindakan boleh diambil terhadap pengedar," katanya.
Murid 10 tahun maut dipukul guru besar ketika perhimpunan sekolah
Sinar Harian
PESHAWAR: Seorang murid lelaki berusia 10 tahun maut selepas dipukul dengan kejam oleh guru besar sekolahnya di hadapan semua pelajar semasa perhimpunan pagi di sebuah sekolah swasta di utara Pakistan.
Mangsa, Khyalmat Khan, dilaporkan dipukul berulang kali dengan sebatang rotan oleh guru besar, Waar Ahmed, kerana didakwa melakukan kesalahan kecil.
Insiden itu berlaku pada Jumaat lalu di daerah Khyber, Pakistan.
Menurut polis tempatan, Khyalmat dipukul pada bahagian tengkuk, kepala, muka dan belakang badan sebelum dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Susulan kejadian tersebut, Waar Ahmed telah ditahan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pegawai Polis Daerah Khyber, Rai Mazhar Iqbal dalam satu kenyataan menegaskan bahawa keganasan terhadap kanak-kanak dan wanita tidak akan sesekali dibenarkan.
“Tiada siapa berhak menyalahgunakan kedudukan mulia sebagai guru untuk melakukan kekejaman sebegini.
“Guru sepatutnya menjadi penjaga, namun lelaki ini telah mencemari kesucian profesion perguruan," katanya.
Insiden tragik itu mencetuskan kemarahan penduduk tempatan, terutama dalam kalangan ibu bapa yang menuntut pihak berkuasa mengharamkan sepenuhnya hukuman fizikal di institusi pendidikan.
Pakistan sebelum ini telah meluluskan satu rang undang-undang penting pada tahun 2021 yang mengharamkan keganasan terhadap kanak-kanak di bandar Islamabad.
Undang-undang itu diperkenalkan selepas beberapa kes penderaan dan kematian melibatkan kanak-kanak di sekolah, institusi keagamaan dan tempat kerja yang dilaporkan secara meluas.
Antara kes terdahulu termasuklah seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dipukul hingga mati oleh gurunya kerana gagal menghafal satu subjek pelajaran pada Januari 2021.
Dalam kes lain pada Jun 2020, seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang bekerja sebagai pembantu rumah di Islamabad turut maut selepas dipukul oleh majikannya kerana didakwa membiarkan burung kakak tua peliharaan mereka terlepas.
Insiden tragik yang menimpa Khyalmat Khan sekali lagi menyorot kegagalan sistem perlindungan kanak-kanak di Pakistan dan mendesak pihak berkuasa untuk bertindak tegas bagi mengelakkan kejadian seumpama ini daripada berulang. - Sinar Harian/Agensi
Langgan:
Catatan (Atom)
