"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Mereka pergi dengan mendakap al-Quran

MUHAMAD ADHAM SHADAN
Di sebalik tragedi-tragedi besar yang menggemparkan, tersingkap kisah inspirasi tentang wanita-wanita solehah yang bersahabat dengan al-Quran apabila dijemput ajal dalam keadaan memeluk kitab suci itu.
Setiap yang bergelar Muslim pasti mengimpikan al-Quran menjadi peneman diri di dalam kubur, namun bagi sesetengah insan bertuah di hujung hayatnya lagi kitab suci pemberi syafaat itu sudah menunjukkan ‘kesudian’ berdampingan.

‘Khatimah’ yang dicemburui, kisah pemergian Nurly Shahirah Azman, 23, yang dijemput ajal dalam keadaan memeluk al-Quran seputar tragedi kemalangan berdarah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) awal pagi Isnin lalu menggetar banyak sanubari.

Dalam tragedi ngeri yang menggemparkan negara, seramai 15 pelajar UPSI terkorban apabila bas yang membawa mereka terbabas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Gerik, Perak.

Kemalangan membabitkan bas yang dalam perjalanan ke UPSI dari Jerteh, Terengganu dengan sebuah Perodua Alza pada kira-kira pukul 1.10 pagi.

Nurly bukan sahaja pelajar Pendidikan Khas UPSI, malah seorang hafizah al-Quran yang telah menghafaz 30 juzuk. Abangnya bercerita bahawa adiknya itu seorang yang amat mencintai al-Quran. Sejak remaja, arwah telah menghafaz 30 juzuk al-Quran dan istiqamah mengulang bacaan setiap hari.

Lebih daripada itu, arwah juga menyalin al-Quran secara tulisan tangan (tahriri) yakni satu bentuk penghayatan dan latihan hafazan sekali gus menggambarkan betapa mujahadahnya arwah dalam kecintaan kepada kalamullah.

Namun, kisah Nurly juga ada persamaan dengan beberapa tragedi melibatkan pencinta al-Quran yang mati dalam penuh kemuliaan sedemikian.

Januari lalu media melaporkan seorang pelajar tahfiz maut dalam kebakaran di Asrama Putra Pondok Pesantren DDI Mambaul Ulum Addariah, Sulawesi Selatan. Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, mangsa terkorban, Muhammad Zahwa, 14, ditemui sedang memeluk senaskhah al-Quran.

Terdahulu, seorang gadis menjadi inspirasi di Indonesia apabila ditemui jasadnya yang memeluk al-Quran dalam kebakaran besar di Gayo Lues, Aceh pada Mac 2023. Kebakaran itu menghanguskan 9 unit rumah di Desa Pining Induk, Kecamatan Pining, Kabupaten Gayo Lues.

Dalam kejadian tersebut, Putri Handayani, 15, menjadi korban dalam peristiwa kebakaran di bulan Ramadan itu. Jasad arwah ditemukan sambil memeluk al-Quran.

Putri Handayani semasa hayatnya sering membaca al-Quran bahkan sebelum tidur selalu membiasakan menghafaz al-Quran. Yang menakjubkan, al-Quran yang dipeluk ditemukan hanya terbakar sebahagian sudut saja.

Jika disorot lebih jauh, pasti ramai masih ingat tragedi menggemparkan bukan saja Malaysia bahkan dunia pada tahun 1993 iaitu runtuhnya kondominium Highland Towers dekat Kuala Lumpur.

Antara ‘highlight’ korban awal yang ditemukan adalah seorang wanita bertelekung yang ditemui dengan memeluk al-Quran di balik runtuhan.

Al-Quran akan memberi syafaat kepada orang yang membaca dan mengamalkannya, menghindar dan membela mereka daripada azab kubur serta memberikan keutamaan menaiki tangga kemuliaan di sisi Allah SWT.

Bersahabatlah dengan al-Quran di dunia kerana ia sendiri akan menjadi sahabat kita di alam kubur dan akhirat.

Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah al-Quran sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya.”

Mayat suami isteri ditemui dalam rumah

Buletin TV3 

Fazli Ahmad
RAUB: Mayat pasangan suami isteri warga emas ditemui di dalam rumah yang didiami mereka di Kampung Sungai Ruan, dekat sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintenden Mohd Shahril Abdul Rahman, berkata ketika ditemui, mayat pasangan terbabit sudah berulat dan dipercayai meninggal dunia lebih seminggu lalu namun tidak disedari jiran.

Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 12.20 tengah hari.

Katanya, sebaik menerima laporan, pihaknya bergegas ke kediaman mangsa untuk menjalankan siasatan dan mendapati pintu rumah dalam keadaan berkunci.

“Polis mendapatkan bantuan bomba untuk membuka pintu belakang rumah berkenaan.

“Sebaik memasuki rumah itu, polis menemui mayat seorang lelaki terbaring di dapur.

“Pemeriksaan lanjut kemudian membawa kepada penemuan mayat seorang wanita terbaring di dalam bilik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Anggota bomba mengangkat mayat suami isteri dipercayai sudah meninggal dunia lebih seminggu di Kampung Sungai Ruan, Raub. - Foto ihsan JBPM.
Mayat terbabit dikenal pasti sebagai Woh Tong Seng, 75, dan isterinya, Loh Kam Ngo, 73.

Mohd Shahril berkata, pemeriksaan ke atas tubuh mangsa serta kawasan sekitar tidak menemui sebarang unsur jenayah.

Menurutnya, polis sudah merakam percakapan anak pasangan itu yang memaklumkan Ngo menghidap penyakit Parkinson sejak 20 tahun lalu, manakala Seng sedang menjalani rawatan akibat masalah jantung.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Raub untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Suami sebat isteri kerana enggan beri wang makan

KOSMO!
SEORANG lelaki (tengah) ditangkap kerana disyaki menyebat isterinya. - Foto Radar Solo
JAKARTA – Seorang lelaki disyaki menyebat isterinya  kerana  mangsa enggan memberikan wang kepadanya untuk makan di Kota Solo, Jawa Tengah, lapor portal berita Banjarmasin Post kelmarin.  

Perbuatan itu dilakukan oleh lelaki tersebut pada Selasa lalu di tempat kerja isterinya di Bajarsari.

Pada mulanya, dia datang ke tempat kerja isterinya untuk meminta wang sebanyak 20 ribu rupiah (RM5). Wanita itu hamil tiga bulan.

Wang itu akan digunakan untuk membeli makanan tetapi si isteri enggan memberikan wang yang diminta.

Lelaki itu yang marah kemudian menyebat isterinya dengan menggunakan tali pinggang dan kabel. 

Perbuatan itu menyebabkan si isteri menjerit ketakutan sebelum rakan sekerja membuat laporan polis.

Seorang pegawai kanan polis, Asisten Komisioner Prastiyo Triwibowo berkata, lelaki itu akan berdepan tindakan undang-undang kerana perbuatannya. – AGENSI