"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Anwar ucap 'Selamat berjaya' pada Rafizi

Elill Easwaran

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini merakamkan penghargaan kepada Rafizi Ramli atas sumbangannya sebagai menteri ekonomi susulan peletakan jawatan Ahli Parlimen Pandan itu daripada Jemaah Menteri.

Bercakap kepada pemberita pada persidangan Tenaga Asia 2025, Anwar mengesahkan bahawa Kementerian Ekonomi tidak akan dirombak.

“Saya ucapkan selamat berjaya kepada Rafizi yang berkhidmat dengan sangat baik sebagai menteri ekonomi.

“Saya akan putuskan pada waktunya untuk mana-mana menteri atau kementerian untuk jalankan tugas,” katanya.

Rafizi dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing pada 28 Mei lalu.

Nik Nazmi, yang merupakan Ahli Parlimen dua penggal, gagal mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden PKR manakala Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden. Anwar ialah presiden PKR.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan bahawa beliau menerima permohonan cuti dan surat peletakan jawatan kedua-dua menteri terbabit, namun hanya meluluskan permohonan cuti mereka.

Cuti Rafizi berakhir hari ini manakala cuti Nik Nazmi pula berakhir pada 3 Julai.

Dalam satu hantaran di X Jumaat lalu, Rafizi berkongsi detik terakhir beliau di kementerian dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan pegawai dasar atas usaha mereka melaksanakan inisiatif ekonomi.

Sementara itu, New Straits Times melaporkan bahawa Nik Nazmi enggan mengulas sama ada beliau akan menarik balik keputusan untuk meletakkan jawatan.

Hadi perlu berundur sekiranya Pas mahu memperoleh undi bukan Melayu

Ada usaha tukarkan presiden Pas?
Harapandaily

Naib presiden Pas Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah menolak dakwaan bahawa ada usaha menukarkan presiden partinya, Pas

“Tidak timbul langsung soal nak tukar Presiden. Presiden inilah yang telah mengatur strategi kemenangan besar Pas.

“Isu ini sengaja dimainkan musuh untuk mencetuskan kekeliruan dan melemahkan kesatuan dalam parti,” katanya, lapor Harakah Daily.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat agung tahunan Pas kawasan Marang ke-41 yang diadakan di Rusila,

Beliau turut mendakwa bahawa perkara tersebut adalah permainan pihak musuh yang mahu melihat Pas berpecah.

“Kita kena fokus pada agenda dakwah dan pentadbiran yang beramanah. Jangan terperangkap dengan permainan musuh yang hanya mahu melihat kita berpecah,” katanya lagi.

Isu penukaran pucuk pimpinan Pas timbul ekoran daripada keadaan kesihatan presiden parti, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang tidak baik.

Sekiranya Hadi berundur, pemimpin kanan yang akan mengambil alih kepimpinan ialah timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Walau bagaimanapun Tuan Ibrahim bukanlah lulusan Timur Tengah seperti Hadi dan pimpinan terdahulu.

Ahmad Samsuri pula merupakan sebahagian daripada pimpinan ‘Geng Publika’ – gelaran untuk golongan profesional yang masih berada dalam Pas.

Sebilangan penganalisa politik berpendapat bahawa Hadi perlu berundur sekiranya Pas mahu memperoleh sokongan pengundi bukan Melayu.

Samsuri lepas jawatan langkah taktikal untuk cita-cita lebih besar

Anne Muhammad

PETALING JAYA: Keputusan Ahmad Samsuri Mokhtar untuk tidak mempertahankan jawatan yang dipertua (YDP) PAS Marang dilihat sebagai langkah taktikal ke arah merebut jawatan lebih tinggi dalam hierarki parti, kata penganalisis politik.

Felo Majlis Professor Negara, Azmi Hassan, berkata tindakan Samsuri melepaskan jawatan yang telah lama dipegang itu bukan sekadar untuk memberi ‘nafas baharu’ kepada PAS Marang sebaliknya mungkin petanda awal terhadap cita-cita politik lebih besar menjelang PRU16.

“Kemungkinan Samsuri melihat ke hadapan, melepaskan jawatan yang tidak penting dan mencabar jawatan yang lebih penting umpamanya jawatan timbalan presiden PAS itu sendiri.

“Dari satu sudut, ini adalah mesej kepimpinan bahawa yang lama harus turun untuk memberi peluang kepada kepimpinan baru,” katanya kepada FMT.

Semalam media melaporkan Samsuri mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan YDP PAS Marang yang dipegangnya sejak 2019.

Samsuri yang juga menteri besar Terengganu mengumumkan perkara itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Marang yang berlangsung di Rusila pada Sabtu.

Katanya, beliau yakin sudah tiba masanya untuk individu lain menyambung perjuangan.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula berpendapat keputusan Samsuri itu mungkin berkait rapat dengan percaturan politik dalaman PAS sendiri.

Syaza berkata, walaupun secara zahir langkah itu dilihat sebagai memberi ruang kepada kepimpinan baharu, ia juga boleh ditafsirkan sebagai reaksi kepada ketidakselesaan sesetengah pihak dalam parti terhadap kedudukan Samsuri.

“Saya rasa Samsuri utamakan kepentingan parti yang mungkin sudah ada suara-suara yang tidak selesa dengan beliau,” katanya.

Syaza turut tidak menolak kemungkinan Samsuri juga tidak mempertahankan jawatan naib presiden PAS dalam pemilihan akan datang, susulan keputusan tersebut.

“Sekiranya suara-suara yang melawan Samsuri makin kuat, ditambah dengan sokongan pemimpin-pemimpin yang lain, mungkin dia tak akan diteruskan sebagai menteri besar.

“Tetapi saya rasa PAS Terengganu akan ok, mungkin boleh jadi PAS Terengganu lebih stabil selepas ini,” katanya.