"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rafizi: Sama ada disuntik itu dadah atau racun

SITI A'ISYAH SUKAIMI

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memaklumkan anak lelakinya dalam keadaan baik setakat ini, 24 jam selepas dicucuk jarum suntikan ketika diserang dalam kejadian di pusat beli-belah di Putrajaya.

Beliau berkata, anak lelakinya yang berusia 12 tahun itu telah melakukan pemeriksaan awal termasuk ujian darah dan pemerhatian daripada pasukan perubatan Hospital Universiti Putra Malaysia.

“Ada tiga kemungkinan, ini pandangan saya yang bukan perubatan. Ujian perubatan itu perlu menunggu lagi. Sama ada yang disuntik itu dadah atau racun, kedua ialah berbentuk virus, hepatitis, HIV dan lain-lain.

“Ketiga, ia hanya kosong, suntik air. Untuk tempoh 24 jam pertama, keutamaannya selain daripada ujian darah, untuk kita tolak kemungkinan dadah atau racun.

“Setakat ini dia nampak okay, tak ada kesan segera,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.

Beliau berkata, anaknya juga perlu melalui ujian darah sekali lagi pada masa akan datang, manakala pemerhatian masih diteruskan termasuk perubahan sikap sekiranya ada. – KOSMO! ONLINE

Buduh!!! Pengundi pilih jadi Ahli Parlimen untuk berhujah bukan bertumbuk

Pembangkang paling ‘hodoh, tak reti bahasa’ sepanjang penggal ini

SITI NUR ZAWANI

Seorang penulis dan pengamat politik menyifatkan tindakan Ahli-Ahli Parlimen pembangkang di Dewan Rakyat semalam sebagai pembangkang paling “hodoh, sadis dan tidak reti bahasa”.

Ia susulan beberapa insiden panas yang menyaksikan Ahli-Ahli Parlimen bertikam lidah sehingga mencetuskan kemarahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Mohd Sayuti Omar menerusi hantaran di Facebook berkata, bukan senang untuk mengurus sidang Dewan Rakyat apabila ada ahli bersikap liar, tidak tahu adat dan menghormati antara satu sama lain.

“Kesian saya tangok Johari Abdul bila berdepan dengan beberapa ekor wakil rakyat begini, sampai kena menjerit dan mengherdik macam halau lembau kerbau.

“Sikap baik dan diplomasi dan timbang rasa diamalkannya tidak membuah hasil yang baik. Sepanjang penggal Parlimen dalam perhatian saya, sesi inilah sikap pembangkang paling huduh, sadis dan tidak reti bahasa,” ulasnya di Facebook.

Semalam, sesi sidang Dewan berlangsung agak kecoh lebih kurang tujuh minit apabila beberapa Ahli Parlimen saling bertikam lidah sehingga mencetuskan kemarahan Johari Abdul yang menyifatkan ia sebagai memalukan.

“Apa benda ni? Wakil rakyat apa macam ni? Very shameful of you all, shameful (Sangat memalukan kamu semua, memalukan). Dah tua pun, bukan budak-budak nak bergaduh,” katanya.

Pergaduhan itu kemudian meleret-leret sehingga tular rakaman video dari dalam Parlimen menyaksikan Ahli Parlimen Pendang, Awang Hashim menunjuk isyarat bertumbuk kepada Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

Rakaman itu menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial.

Sindiket penyeludupan didalangi Pegawai Kanan Tentera lumpuh, 10 ditahan

Ing Boon Seng

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan sindiket penyeludupan yang didalangi oleh pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beroperasi di selatan tanah air melalui Ops Sohor yang dijalankan oleh Bahagian Perisikan, Ibu Pejabat SPRM dengan bantuan pasukan Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Lima pegawai kanan tentera dan lima orang awam berusia lingkungan 30 sehingga 55 tahun itu ditangkap di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan.

Empat daripada pegawai kanan tentera itu terdiri daripada dua pegawai kanan dan dua bekas anggota perisikan ATM menjadi suspek utama dalam bersubahat dengan sindiket penyeludup.

Pegawai-pegawai kanan tersebut yang ditugaskan untuk memantau dan mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan di selatan tanah air itu dipercayai bersekongkol bersama sindiket penyeludupan tersebut sejak lima tahun yang lalu dan disyaki telah mengumpulkan hasil rasuah sebanyak lebih RM3 juta.

Menurut sumber, pegawai-pegawai kanan tentera tersebut dipercayai bersubahat dan membocorkan maklumat-maklumat operasi kepada sindiket penyeludupan bagi mengelakkan sindiket terbabit daripada dikenakan tindakan, dan rangkaian penglibatan pegawai-pegawai kanan tentera terbabit di dalam sindiket tersebut adalah besar dan kompleks.

Barang seludup yang dibawa masuk ke negara ini adalah terdiri daripada dadah, rokok, dan barang-barang lain dari negara-negara jiran, dan membabitkan nilai barangan yang diseludup sebanyak RM5 juta sebulan.

Melalui intipan yang dijalankan selama 12 bulan, bayaran rasuah yang diberikan kepada pegawai-pegawai kanan tentera itu dipercayai berjumlah di antara RM30,000.00 sehingga RM50,000.00 bagi setiap kali aktiviti penyeludupan dijalankan oleh sindiket.

Sejumlah wang tunai bernilai lebih RM63,200 beberapa bungkusan dipercayai dadah, alat penimbang dan penyukat, minuman keras, dan senjata tiruan turut ditemukan di premis-premis serbuan dan disita.

Dalam pada itu, seorang wanita warga Indonesia yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah turut ditangkap semasa serbuan dijalankan, dan dipercayai menjadi wanita simpanan kepada salah seorang pegawai kanan tentera yang disyaki.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Opetasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Kes katanya disiasat di bawah seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beliau menegaskan bahawa tindakan ini wajar diambil serius oleh semua pihak kerana ianya melibatkan penyeludupan yang berupaya menjejaskan keselamatan negara. Walaupun kita mempunyai pelbagai agensi untuk memantau dan mengambil tindakan namun kegiatan penyeludupan tetap berlaku.

Kesemua saspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.