"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis tangkap polis, disyaki tali barut rangkaian dadah

KOSMO!
DUA pegawai polis ditangkap kerana disyaki terlibat dengan rangkaian dadah. - Foto KhaoSod
BANGKOK – Dua pegawai polis Thailand ditahan kerana didakwa terlibat dalam rangkaian pengedaran dadah dengan pihak berkuasa membeku aset bernilai 35.2 juta baht (RM4.6 juta), lapor portal berita Thaiger hari ini. 

Penahanan mereka susulan operasi khas membanteras aktiviti pengubahan wang haram berkaitan penyeludupan dadah.

Dalam operasi semalam, polis menahan Timbalan Pemeriksa Penyiasatan Polis Wilayah Pathum Thani, Leftenan Kolonel (polis) Weerakan dan Ketua Pasukan unit yang sama, Sarjan Mejar Yuranan.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan pengubahan wang haram kerana memindahkan atau menerima aset untuk menyembunyikan sumber perolehannya atau untuk membantu orang lain bagi mengelak tindakan undang-undang.

Pasukan penyiasat turut menyita aset hasil aktiviti haram  itu dengan jumlah keseluruhan 35.2 juta baht.

Operasi itu dilakukan selepas dua individu disyaki pengedar dadah ditangkap polis kawalan sempadan pada 19 Januari lalu. 

Mereka menahan dua individu dikenali sebagai Gatakorn dan Patra bersama 3 juta pil methamphetamine yang disembunyikan di dalam sebuah kenderaan Isuzu MU-X putih di daerah Mueang, wilayah  Nakhon Pathom. – AGENSI

Sindiket pelacuran babitkan dua pelajar Tingkatan 2 tumpas, ibu ayam didakwa

Juwan Riduan
am@hmetro.com.my

Keningau: Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi pelajar sekolah menengah sebagai mangsa seks, dalam siri operasi khas antara 24 hingga 29 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, siasatan mendapati sindiket terbabit merekrut remaja perempuan termasuk dua pelajar tingkatan dua untuk dilacurkan kepada pelanggan.

"Kegiatan ini terbongkar selepas ibu bapa mangsa membuat laporan pada 24 Julai lalu.

"Susulan itu, sepasukan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Keningau menyelamatkan empat mangsa berusia 13 hingga 21 tahun dan menahan lapan individu bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun dikenali sebagai 'Elly' disyaki bertindak sebagai ibu ayam dan sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Katanya, sindiket berkenaan menggunakan aplikasi media sosial untuk mencari pelanggan dengan bayaran sekitar RM200 bagi setiap perkhidmatan sebelum mangsa dihantar ke hotel yang ditetapkan. Hasil bayaran kemudiannya dibahagi antara suspek dan mangsa.

"Semua mangsa sudah dibawa ke Hospital Keningau untuk pemeriksaan kesihatan dan ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak.

"Bagi dua mangsa bawah umur, mahkamah meluluskan Perintah Perlindungan selama tiga bulan dan mereka ditempatkan di Rumah Perlindungan Ampang, Selangor sehingga 13 November depan," katanya.

Kereta jatuh gaung, lelaki ditemukan maut selepas seminggu hilang

Buletin TV3 
Foto JBPM
KAPIT: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak seminggu lalu terungkai apabila dia ditemukan meninggal dunia selepas kenderaan dipandunya jatuh gaung sedalam 100 meter di Jalan Baleh Dam, sebelum Rumah Biduk Nanga Sebetung di sini, petang tadi.

Mangsa dikenali sebagai Pika Rangga, 53, ditemui kira-kira 50 meter dari lokasi penemuan kereta Perodua Bezza yang dipandunya.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan itu pada jam 3.06 petang sebelum mengarahkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit ke lokasi.

“Setibanya di tempat kejadian, didapati kemalangan kendiri membabitkan sebuah kereta yang terjatuh kira-kira 100 meter ke dalam gaung.
Foto JBPM
“Seorang mangsa ditemukan dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan operasi menggunakan sistem takal dan pengusung khas untuk mengangkat jasad mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, mangsa dilaporkan hilang sejak seminggu lalu dan kehilangannya telah dibuat laporan oleh ahli keluarga kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 4.35 petang.