"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Jatuh, 2 hari dalam telaga, dipatuk ular pula!

KOSMO!
QIN yang jatuh di dalam sebuah telaga diselamatkan oleh pasukan penyelamat. - Foto NetEase
BEIJING – Seorang wanita berusia 48 tahun dari Fujian, China berdepan detik cemas selama 54 jam apabila terjatuh ke dalam sebuah perigi terbiar yang dalam, lapor portal berita MSNews semalam. 

Dia yang dikenali sebagai Qin terpaksa bertahan dalam kesejukan melampau, digigit ular dan kelaparan sebelum akhirnya diselamatkan.

Pada Sabtu minggu lalu, wanita itu keluar bersiar-siar apabila dia tergelincir dan jatuh ke dalam perigi yang tersembunyi di sebalik rumput tinggi.

Beberapa tulang rusuknya patah dan dia terperangkap dalam air yang sangat sejuk.

Apabila mangsa gagal pulang ke rumah, keluarganya mula bimbang dan melancarkan pencarian pada 14 September lalu, namun tidak menemui sebarang petunjuk.

Keadaan bertambah genting sehingga akhirnya pada pagi 15 September lalu, keluarga meminta bantuan pusat penyelamat tempatan.

Pasukan mencari menyisir kawasan hutan tebal sambil memanggil namanya. 

Pada pukul 1.45  petang (waktu tempatan), mereka akhirnya terdengar jeritan lemah meminta tolong.

Berpandukan  arah suara itu, pasukan penyelamat menemui Qin yang  di dalam perigi dan menyelamatkan mangsa. 

Bercakap dari katil hospital Qin berkata: “Saya terus berpaut pada batu, tidak berani lepaskan. Bahagian paling sukar ialah apabila beberapa ekor ular merayap di atas tubuh saya.”

Dia bertahan dengan meminum air perigi dan menggunakan kemahiran berenang untuk memastikan kepalanya tidak tenggelam. – AGENSI

Masa depan Shukri, Razman goyah selepas rombakan PAS?

Lynelle Tham

Mereka berkata tempoh Shukri Ramli sebagai menteri besar Perlis mungkin tidak lama, manakala peluang Razman Zakaria bergantung sama ada PAS akan terlepas pandang kontroversinya.
Shukri Ramli and Razman Zakaria
Shukri Ramli (kiri) dan Razman Zakaria gagal memenangi kerusi dalam kepimpinan pusat 2025-2027, selain turut digugurkan sebagai pesuruhjaya PAS Perlis serta Perak.
PETALING JAYA: Dua penganalisis berpendapat masa depan politik Menteri Besar Perlis, Shukri Ramli dan ketua pembangkang Perak, Razman Zakaria tidak menentu selepas kedua-duanya digantikan sebagai pesuruhjaya PAS negeri .

Mohammad Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya dan Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, Shukri mungkin menjadi menteri besar selama satu penggal, walaupun beliau dijangka menamatkan penggal semasa.

Tawfik berkata, kekalahan Shukri dalam pemilihan kepimpinan pusat parti baru-baru ini dan penyingkirannya sebagai pesuruhjaya PAS Perlis menunjukkan penolakan terhadap kepimpinannya di peringkat nasional.

“Beliau kalah dua pertandingan tahun ini: sebagai yang dipertua PAS Arau dan ahli Jawatankuasa Pusat. Penolakan itu jelas dan mengekalkannya sebagai menteri besar akan membawa risiko kepada PAS menjelang PRU akan datang,” katanya kepada FMT.

Mazlan berkata, tidak seperti rakan sejawatannya Nasruddin Daud (Kelantan), Ahmad Samsuri Mokhtar (Terengganu) dan Sanusi Nor (Kedah), Shukri gagal menyerlah sebagai pesuruhjaya PAS negeri.

“Perlis nampaknya ketinggalan. PAS mungkin lihat rekod prestasinya kurang memberangsangkan, jadi selepas satu penggal, mereka mungkin mahu memberi peluang kepada orang lain.”

Bagi Razman pula, dua penganalisis itu berpendapat siri kenyataan kontroversinya yang sering diikuti penarikan balik dan permohonan maaf, memalukan PAS serta menjejaskan kredibiliti parti itu di Perak.

“Beliau mungkin masih mempunyai peluang memandangkan PAS di negeri lain lazimnya memisahkan peranan pesuruhjaya dan menteri besar. Tetapi sikapnya, kelantangan dan sering mencetuskan kontroversi, pada pandangan saya, menjadikannya terlalu berisiko untuk PAS,” kata Tawfik.

Mazlan berkata, penyingkiran Razman boleh mencerminkan hasrat parti mahu menamatkan tempoh panjang perkhidmatannya dan memperkenalkan wajah baharu.

“Razman terlalu senior, jadi tiba masanya memberi peluang kepada pemimpin muda di Perak untuk bangkit,” katanya sambil menolak peluang Razman dicalonkan sebagai calon menteri besar.

Baru sekarang Pas faham isu istilah ‘kafir’ – Ustaz Ahmad Awang

SITI NUR ZAWANI

Penasihat Umum AMANAH, Ustaz Datuk Seri Ahmad Awang menyinggung sikap Pas yang baru kini bersetuju supaya istilah “kafir” tidak digunakan untuk menghina, sedangkan sebelum ini mereka lantang mempertahankan penggunaan istilah itu.

Beliau berkata, kenyataan terbaharu Pas baru-baru ini sebenarnya mengulangi teguran yang pernah dibuat Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengenai adab bahasa.

Namun ketika itu pemimpin dan penyokong Pas marah kononnya istilah “kafir” ada dalam al-Quran.

“Inilah yang Menteri Pendidikan cakap dulu-dulu tetapi walaun Pas dan pemimpin mereka marah buka main konon perkataan kafir ada dalam al-Quran. 

“Hari ini baru mereka faham bab ini. Itu pun setelah kafir tegur dalam muktamar. 

“Maknanya apa tuan-tuan. Maknanya mereka ini tak adalah hebat sangat dalam beragama. Menteri Pendidikan tahu lama lagi bab ini. Itu dia berani cakap bab ni,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Dewan Himpunan Penyokong Pas mengingatkan ahli parti supaya mengelak daripada menggunakan perkataan yang boleh menyinggung perasaan bukan Islam, khususnya istilah “kafir” dan “pendatang”.

Fadhlina pada Mac lalu berkata beliau tidak membenarkan anak-anaknya menggunakan istilah “kafir” di rumah jika ia bermaksud dengan konotasi kebencian terhadap bukan Islam. Namun kenyataan itu telah disalahtafsir segelintir pihak