"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Subsidi RON95 hingga 300 liter sebulan untuk semua rakyat, tiada had pendapatan

Malaysiakini 

Kerajaan tidak akan mengenakan had pendapatan bagi penerima subsidi RON95 apabila mekanisme subsidi bersasar mula dilaksanakan pada 30 Sept ini.

Sebaliknya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan semua rakyat Malaysia yang memiliki lesen memandu sah boleh membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.

Kementerian Kewangan kemudian menjelaskan had subsidi tersebut ditetapkan pada 300 liter sebulan, namun pemandu e-hailing dikecualikan daripadanya.

Warga asing yang memandu kenderaan yang berdaftar di sini pula akan membayar harga pasaran, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.

Kenderaan berdaftar di luar negara pula kekal hanya dibenarkan menggunakan RON97.

Sebelum ini, Anwar berkata golongan “mahakaya” juga tidak akan layak menerima subsidi tersebut.

Ketika membentangkan Belanjawan 2025, dia menganggarkan kos subsidi RON95 untuk 15 peratus rakyat Malaysia terkaya serta warga asing mencecah RM8 bilion.

Anwar tidak menyatakan anggaran baru bagi penjimatan subsidi ekoran tiada had pendapatan ditetapkan.

Dalam ucapannya, dia berkata pelaksanaan subsidi bersasar akan dijalankan secara berperingkat.

Angkatan tentera dan polis akan menjadi kumpulan pertama yang menerima subsidi mulai 27 Sept.

Ia disusuli penerima Sumbangan Tunai Rahmah pada 28 Sept, sebelum pelaksanaan penuh pada 30 Sept.

Katanya, langkah itu dibuat untuk menguji keupayaan sistem.

Dia sempat berseloroh dengan berkata penjawat awam tidak perlu terburu-buru membeli petrol bersubsidi, sebaliknya boleh berbuat demikian pada awal Oktober.

Walaupun lesen memandu sah ditetapkan sebagai syarat untuk menerimanya, difahamkan bahawa hanya MyKad perlu digunakan untuk mendapatkan RON95 bersubsidi.

Anwar berkata rakyat juga mempunyai pilihan membayar petrol melalui aplikasi seperti Touch ‘n Go dan Setel milik Petronas tanpa memerlukan MyKad fizikal.

Aplikasi tersebut mempunyai eKYC (electronic Know-Your-Customer) iaitu pengesahan identiti digital, yang memerlukan gambar MyKad dimuat naik.

Kedah: Lelaki cedera kaki, tangan ditetak individu tidak dikenali

Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Seorang lelaki cedera di tangan dan kaki akibat ditetak individu tidak dikenalinya ketika sedang menunggu abangnya di bawah blok Flat Paya Nahu, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, mangsa berusia 30-an dikatakan pergi ke rumah abangnya di Blok A5 di flat itu jam 3 petang.

Beliau berkata, ketika sampai di rumah abangnya, mangsa dimaklumkan oleh kakak iparnya bahawa abangnya tiada di rumah.

"Berikutan itu mangsa turun untuk menunggu abangnya di bawah blok itu namun secara tiba-tiba suspek iaitu lelaki berusia 20-an datang dan terus menetak mangsa.

"Hasil siasatan mendapati, mangsa tidak mengenali suspek dan berdasarkan keterangan saksi kejadian, suspek dalam keadaan mabuk sejak dari awal pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hanyan berkata, anggotanya di Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat pada jam 3.55 petang berhubung kejadian itu daripada orang awam memaklumkan ada pergaduhan di bawah flat berkenaan.

Beliau berkata, mangsa kini sedang menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

"Siasatan lanjut akan dilakukan selepas permohonan reman terhadap suspek esok.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya.

Kelantan: Polis K’tan cadang gadis kes rogol statutori turut didakwa

Malaysiakini 

Ketua Polis Kelantan, Mohd Yusoff Mamat  mencadangkan supaya gadis yang terlibat dalam kes rogol statutori turut didakwa bersama lelaki dewasa yang menjadi pelaku.

Dia berhujah agar cadangannya dipertimbangkan dengan menyatakan hampir 90 peratus kes rogol statutori berlaku secara suka sama suka berdasarkan hasil siasatan.

“Sekarang ini undang-undang sedia ada lebih menjurus kepada pendakwaan terhadap lelaki sahaja, sedangkan siasatan mendapati banyak kes kedua-dua pihak sama-sama rela.

“Apabila laporan dibuat, kita tetap kena buka kertas siasatan dan mengenakan pertuduhan terhadap lelaki mengikut Kanun Keseksaan atau Akta Kanak-Kanak, walaupun ada pengakuan ia dilakukan suka sama suka,” lapor Sinar Harian memetik kenyataannya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini.

Yusoff mengulas mengenai peningkatan kes rogol dan jenayah seksual lain di negeri tersebut.

Tahun lalu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan (gambar atas) berkata peningkatan kes rogol statutori dipercayai berpunca daripada kegiatan grooming (pengantunan seksual) di media sosial.

Pengantunan seksual kanak-kanak berlaku apabila seorang dewasa memperoleh kepercayaan kanak-kanak yang terdedah bagi membuka ruang kepada hubungan seksual.

Siti dipetik Bernama berkata majoriti mangsa rogol statutori memaklumkan kepada pegawai penyiasat bahawa mereka mengenali pelaku melalui media sosial sebelum berjumpa secara bersemuka.

"Sebenarnya kes suka sama suka ini, dia memang bermula dengan grooming sebab grooming ini...ia satu proses di mana dia mungkin cepat dan mungkin makan masa.

"Ia sebuah proses di mana kanak-kanak itu daripada tak tahu tentang satu perlakuan seksual itu...dia dipupuk rasa suka, rasa seronok hingga dia ingin explore (meneroka),” katanya.

“Sebahagian besar gadis bawah umur yang menjadi mangsa rogol ini memberitahu pegawai penyiasat mereka mengenali individu yang merogol melalui laman sembang dan media sosial terlebih dahulu sebelum berjumpa.

“Ini menunjukkan gadis ini telah melalui fasa grooming terlebih dahulu dengan hantaran mesej yang bermula dengan ‘hai’ dan kata-kata pujian yang lain, kemudian membawa kepada penghantaran gambar bogel oleh gadis berkenaan, dan ke fasa berjumpa yang kemudian membawa kepada kejadian rogol atau rogol secara berkumpulan,” kata Siti lagi.

Sementara itu, Yusoff berkata dia akan membincangkan cadangan itu bersama Jabatan Peguam Negara, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan serta pihak berkaitan untuk memastikan tindakan lebih adil dapat diambil.

“Kita bukan nak melakukan pendakwaan sewenang-wenangnya, sebaliknya mahu mencari jalan pencegahan yang lebih berkesan.

“Jika undang-undang membenarkan tindakan boleh dikenakan ke atas kedua-dua pihak, kes-kes seperti ini dapat dibendung,” katanya.

Pada masa ini, katanya, kesalahan seksual bawah umur disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana rogol dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan gadis biasanya dilindungi sebagai mangsa.

Tegasnya, cadangan itu bertujuan memberikan mesej jelas kepada remaja agar mereka tidak terjebak dalam perbuatan tersebut.