"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 kelemahan subsidi bersasar RON95 - Rafizi

Malaysiakini 

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menggariskan lima kelemahan dalam mekanisme subsidi bersasar yang diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pagi tadi.

Rafizi berkata, mekanisme itu mungkin tidak akan menjimatkan jumlah subsidi RON95 yang dianggarkannya sekitar RM10 ke RM15 bilion setahun bagi 2025 dan 2026.

“Oleh kerana kuota diberikan kepada setiap orang tidak kira kedudukan kewangan, kemungkinan besar jumlah penggunaan minyak tidak akan turun mendadak.

“Kerajaan juga perlu menambah subsidi untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.99 seliter, jadi kiraan kasar saya bil subsidi kerajaan akan tetap berlegar sekitar RM10 ke 15 bilion setahun bagi 2025 dan 2026.

“Oleh itu, kesan kepada pengukuhan kedudukan fiskal tidaklah sebesar yang diunjurkan oleh penganalisis pasaran seperti sebelum ini,” kata Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR.

Selain itu, Rafizi juga berkata kaedah pengagihan baru subsidi tidak akan lebih adil berbanding sebelum ini.

“Adakah ini akan mengagihkan subsidi secara lebih adil iaitu golongan kurang berada mendapat bantuan yang lebih banyak dari golongan lebih berada?

“Tidak. 

“Oleh kerana golongan lebih berada mempunyai lebih banyak kenderaan dan setiap orang dewasa dalam isi rumah itu kemungkinan mempunyai lesen dan kenderaan sendiri, jumlah subsidi yang pergi kepada kumpulan berada adalah lebih besar dari jumlah subsidi kepada kumpulan kurang berada.

“Dari perspektif menyasarkan semula subsidi, pendekatan yang diambil ini bukanlah menyasarkan semula subsidi, tetapi menghadkan subsidi,” katanya.

Berikut kenyataan penuh Rafizi:

KUOTA 300L SEBULAN RON95

Kerajaan umum hari ini bahawa penyasaran subsidi RON95 tidak akan menggunakan ukuran pendapatan, sebaliknya semua warganegara yang mempunyai lesen memandu yang sah layak mendapat 300 liter RON95 bersubsidi berharga RM1.99 seliter bermula 30 September ini.

Saya dapat banyak mesej yang meminta komen saya, terutamanya dari pihak media.

Sebelum kita ulas mendalam, kita wajar mengetahui fakta keseluruhan mengenai penggunaan petrol dan subsidi RON95.

 Anggaran jumlah penggunaan RON95 setiap bulan - ~1.3 ke 1.4 bilion liter

 Berdasarkan harga semasa minyak mentah USD67 setong dan kadar tukaran AS$1 = RM4.21, anggaran subsidi setiap liter ialah ~60 sen bagi harga RM1.99 seliter

 Tanpa penyasaran semula subsidi, anggaran jumlah subsidi tahunan RON95 adalah RM10-12 bilion setahun, berbanding perbelanjaan 2023 dan 2024 yang melebihi RM20 bilion setahun akibat harga minyak mentah yang lebih rendah (lingkungan AS$70 berbanding AS$80 tahun 2024)

Sebelum saya ulas mengenai pendekatan yang diambil kerajaan, isu pertama yang perlu kita sentuh ialah sama ada keputusan menyasarkan semula subsidi RON95 ini perlu?

Jawapan saya adalah konsisten iaitu ia baik untuk negara kerana ia memperbetulkan sasaran bantuan kerajaan, dari kumpulan yang lebih berada kepada kumpulan yang lebih memerlukan.

Jika penyasaran semula subsidi RON95 tidak dibuat, bagi setiap RM1 subsidi RON95 yang dibelanjakan oleh kerajaan, keluarga T20 akan mendapat 75 peratus lebih banyak subsidi berbanding keluarga B40.

Negara juga terdedah kepada kesan turun naik harga minyak mentah dunia yang tidak menentu. Bila harga minyak mentah naik melebihi USD80 setong, kos subsidi RON95 mencecah RM20 bilion setahun. Bila jatuh ke paras sekarang, kos turun kepada RM12 bilion. Setiap kali ada lonjakan harga minyak mentah, kewangan negara terdedah.

Jadi saya rasa majoriti ahli ekonomi bersetuju bahawa penyasaran semula subsidi RON95 adalah satu keperluan dalam reformasi ekonomi negara.

Tetapi bagaimana kita dapat manfaat penuh bergantung kepada kaedah pelaksanaan.

Ada beberapa cara yang dibincangkan sebelum ini, terutamanya pilihan sama ada membuat pindahan tunai atau menggunakan harga berbeza mengikut kelayakan bila membeli minyak.

Kerajaan memilih untuk menggunakan kaedah kedua, iaitu harga berbeza (harga subsidi RM1.99 atau harga pasaran sekitar RM2.60 seliter) sehingga kuota 300 liter sebulan setiap seorang yang ada lesen memandu yang sah.

Oleh itu, keberkesanan kaedah ini bergantung kepada matlamat-matlamat berikut:

Pertama:

Adakah ini akan menjimatkan jumlah subsidi RON95 yang dibelanjakan negara dan mengurangkan keperluan berhutang?

Oleh kerana kuota diberikan kepada setiap orang tidak kira kedudukan kewangan, kemungkinan besar jumlah penggunaan minyak tidak akan turun mendadak. Kerajaan juga perlu menambah subsidi untuk menurunkan harga minyak kepada RM1.99 seliter, jadi kiraan kasar saya bil subsidi kerajaan akan tetap berlegar sekitar RM10 ke 15 bilion setahun bagi 2025 dan 2026.

Oleh itu, kesan kepada pengukuhan kedudukan fiskal tidaklah sebesar yang diunjurkan oleh penganalisis pasaran seperti sebelum ini.

Kedua:

Adakah ini akan mengagihkan subsidi secara lebih adil iaitu golongan kurang berada mendapat bantuan yang lebih banyak dari golongan lebih berada?

Tidak. Oleh kerana golongan lebih berada mempunyai lebih banyak kenderaan dan setiap orang dewasa dalam isi rumah itu kemungkinan mempunyai lesen dan kenderaan sendiri, jumlah subsidi yang pergi kepada kumpulan berada adalah lebih besar dari jumlah subsidi kepada kumpulan kurang berada.

Dari perspektif menyasarkan semula subsidi, pendekatan yang diambil ini bukanlah menyasarkan semula subsidi, tetapi menghadkan subsidi.

Ketiga:

Adakah ini akan membebankan lagi rakyat?

Bergantung kepada di mana anda berada dan dalam kategori mana.

Bagi penduduk di luar kawasan bandar (sama ada golongan berada atau kurang berada), ia sepatutnya menjimatkan sedikit kos petrol kerana ada penurunan harga sebanyak 6 sen, sementara pola penggunaan tidak berubah.

Kesannya ialah kepada penduduk kawasan bandar yang menggunakan jumlah petrol yang lebih untuk berulang alik. Bagi sebuah keluarga M40 yang suami isteri bekerja dan menggunakan kenderaan sendiri, sekiranya jumlah penggunaan petrol melebihi 300 liter sebulan sebelum ini, pendekatan ini akan menyebabkan ada peningkatan kos bulanan.

Kepada penduduk bandar dalam kelas berada, juga akan berlaku kenaikan tetapi kesannya kepada kewangan isi rumah tidaklah seperti kesan kepada kelas menengah M40.

Keempat:

Apa trade-off yang berlaku?

Setiap pelaksanaan dasar akan ada apa yang dipanggil trade-off, iaitu ada kebaikan seperti yang dirancang, tetapi ada juga perkara baru yang merumitkan.

Trade-off utama ialah user experience semasa membeli petrol. Besar kemungkinan proses membeli petrol menjadi lebih panjang kerana perlu beratur di kaunter, kecualilah pada satu ketika stesen minyak membenarkan penggunaan kad pengenalan di pam.

Kelima:

Adakah ini akan menghentikan ketirisan?

Ada kemungkinan wujud pula ketirisan baru. Mereka yang tidak memerlukan kuota bulanan 300 liter boleh membeli pada harga subsidi dan dijual balik.

Mereka yang diberikan kemudahan petrol bersubsidi tanpa had, seperti pemandu e-hailing juga boleh membuka risiko ketirisan petrol bersubsidi dibeli pada jumlah yang banyak untuk dijual di pasaran gelap.

Keputusan telah dibuat dan saya pasti perkara-perkara yang saya sebutkan tadi diketahui oleh Kementerian Kewangan yang memilih kaedah ini.

Kita hanya akan dapat mengesahkan kesan keseluruhan kepada kedudukan fiskal negara, matlamat penyasaran dan risiko ketirisan dalam tempoh 6 hingga 12 bulan dari sekarang.

Kelar mentua kerana bekas isteri mahu kahwin lain

Agensi

Pacitan, Indonesia: Didakwa sakit hati selepas mengetahui bekas isterinya merancang untuk berkahwin lain, seorang lelaki tergamak menyerang keluarga mentuanya sehingga menyebabkan seorang maut, lapor Kompas.

Dalam kejadian di Pacitan, Jawa Timur pada Sabtu lalu, bekas bapa mentua suspek maut di lokasi kejadian.

Mangsa, Timi, maut akibat luka kelar di leher selepas diserang menggunakan senjata tajam berupa sebilah sabit.

Serangan itu turut menyebabkan empat lagi ahli keluarga termasuk bekas ibu mentua dan iparnya parah.

Kesemua mangsa yang cedera segera dikejarkan ke Hospital Besar Daerah Dr Darsono Pacitan untuk menerima rawatan rapi.

Suspek yang dikenali dengan nama AS dipercayai menyerang keluarga itu empat bulan selepas bercerai dengan isterinya, M.

Ketua Desa Temon, Jamiatin, mengesahkan kejadian itu dan menyatakan bahawa penduduk kampung masih dalam keadaan terkejut.

Menurut Jamiatin, penduduk tidak menyangka kejadian sekejam itu akan berlaku kerana mangsa yang maut dikenali sebagai seorang yang baik dan ramah.

Susulan kejadian itu, pihak berkuasa keselamatan dengan bantuan penduduk kampung melancarkan gerakan memburu suspek.

"Sejak malam tadi, anggota tentera dan polis bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan hutan sekitar desa," katanya.

Pihak berkuasa menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak bertindak sendiri sebaliknya segera melaporkan jika mempunyai maklumat.

Sehingga kini, suspek masih bebas dan giat diburu polis.
-Hmetro 

Menjelang PRU16: PAS ‘naik taraf’ tabung tin Milo kepada tong drum

Malaysiakini 

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata partinya sudah menggerakkan kutipan derma sebagai persediaan menjelang pilihan raya umum (PRU) ke 16 akan datang.

Idris yang juga pesuruhjaya PAS Perak dan bekas menteri berkata, jentera PN digerakkan lebih awal dengan “bendera dibasuh semula, bilik gerakan dibuka, ceramah rancak bermula”.

“Tin Milo sudah digerakkan, tin milo pun mampu menumbangkan empat negeri, kali ini kita keluar pula tong drum untuk PRU16. 

“Jentera sudah digerakkan, bendera lama dibasuh semula, bilik gerakan dibuka, ceramah rancak bermula. Insya-Allah, tong drum akan menggegarkan lebih banyak kerusi,” katanya.

DAP semalam mencadangkan negeri-negeri Pakatan Harapan (PH) mengadakan pilihan raya parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya persiapan lebih tersusun, selain menjimatkan kos.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata prinsip DAP jelas iaitu mana-mana kerusi dimenangi oleh sesebuah parti perlu dikekalkan kepada parti tersebut.

Katanya, walaupun tempoh parlimen boleh dilanjutkan sehingga akhir 2027, beberapa negeri seperti Melaka, Johor dan Sarawak akan mencapai tempoh tamat lebih awal (2026), yang perlu diambil kira.

DUN Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu dijangka tamat tempoh pada 2028.

‘Kesianlah Umno’

Dalam kenyataan di media sosial hari ini, Idris menegaskan bahawa PAS dan PN tetap akan bertanding sama ada PRU diadakan secara serentak atau tidak, dengan semangat “lawan tetap lawan”.

Katanya, Umno kini hanya layak bertanding di kerusi yang “dijamin menang”, hasil kompromi yang berpihak kepada DAP.

“Nampak sungguh hebat DAP, cadang PRU ke-16 mesti serentak dan beri pula jaminan Umno hanya bertanding di kerusi yang menang. 

“Kesianlah Umno, dulu parti gergasi, kini sekadar layak rebut 26 kerusi, itu pun hasil order kopi dapat DAP,” katanya.

Idris mengingatkan bahawa rakyat menolak Umno di negeri-negeri majoriti Melayu seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, yang digelarnya sebagai “tanah kubur Umno”.