"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pemandu e-hailing ditahan langgar lampu merah, nyaris rempuh pejalan kaki

Buletin TV3 
Tangkap layar video tular
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu e-hailing ditahan susulan satu video tular di media sosial, yang memaparkan sebuah kereta hampir melanggar seorang wanita yang sedang melintas jalan.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad, berkata lelaki berusia 42 tahun itu ditahan susulan kejadian yang berlaku di kawasan lampu isyarat di Jalan Hishamudin itu.

Mengulas lanjut, katanya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menerima video tular itu dan bertindak atas maklumat, tangkapan dilakukan pada jam 8.15 pagi hari ini terhadap pemandu kenderaan terbabit.

“Siasatan mendapati pemandu Perodua Bezza itu melanggar lampu isyarat merah di jalan Hishamudin dari arah jalan Kinabalu menghala Jalan Raja berdekatan Dataran Merdeka.

“Akibat perbuatan itu, pemandu kereta itu hampir melanggar seorang pejalan kaki yang sedang melintasi jalan di laluan lintasan jalan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata,m pemandu kereta itu ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu satu video rakaman kamera papan pemuka yang tular sejak semalam, menunjukkan kereta Perodua Bezza dipandu laju ketika menghampiri lintasan pejalan kaki sebelum tiba-tiba membrek selepas menyedari terdapat seorang wanita sedang melintas.

Ketika itu kelihatan lampu isyarat merah untuk kenderaan yang melalui jalan terbabit berhampiran Dataran Merdeka.

Pejalan kaki berkenaan kelihatan terkejut dan sempat bertindak pantas mengelak daripada dilanggar.

Mayat terbakar dalam Perodua Myvi masih belum dikenali

ADNAN IBRAHIM
Keadaan kereta yang terbakar sebelum satu mayat ditemui rentung dalam kejadian di Jalan Kampung Sungai Lurus, Pantai Sungai Lurus, Batu Pahat hari ini.
BATU PAHAT – Satu mayat ditemui rentung di dalam sebuah kereta dipercayai jenis Perodua Myvi yang terbakar di Jalan Kampung Sungai Lurus, Pantai Sungai Lurus di sini, petang tadi.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rengit, Pegawai Bomba Kanan I Fadzil Salleh berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.51 petang.

Katanya, sebuah jentera FRT dikejarkan ke lokasi kejadian bersama lapan anggota.

“Sejurus Pasukan Keluar Operasi (PKO) tiba di tempat kejadian, jentera tidak dapat memasuki laluan ke persisir pantai kerana laluan sempit.

“Anggota menggunakan motosikal orang awam untuk meneruskan operasi penyelamatan sejauh kira-kira dua kilometer.

“Setelah tiba, anggota mendapati benar terdapat sebuah kereta sedang terbakar dengan seorang mangsa terperangkap di dalam kereta berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadzil berkata, anggota melakukan operasi pemadaman dengan menggunakan baldi mengambil air sungai berhampiran.

Jelasnya, pasukan polis kemudiannya mengambil alih operasi untuk melakukan siasatan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani mengesahkan kejadian itu.

Katanya, identiti mangsa belum dikenal pasti dan siasatan lanjut masih dijalankan.-KOSMO! ONLINE

Pengkhianat lahanat: 7 penguat kuasa di terminal feri direman terlibat ‘counter setting’

FMT Reporters

Mereka antara 12 suspek disyaki terlibat aktiviti itu di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka.
Semua 12 suspek termasuk tujuh pegawai penguat kuasa dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
PETALING JAYA: Seramai 12 individu termasuk tujuh pegawai penguat kuasa yang berkhidmat di Pusat Pemeriksaan Pintu Keluar/Masuk Laut di Terminal Feri Pasir Gudang, Terminal Feri Muar dan Terminal Feri Melaka ditahan reman kerana disyaki terlibat rasuah.

Sumber berkata, semua suspek ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor kerana disyaki terlibat aktiviti rasuah membabitkan sindiket ‘counter setting’ untuk memudahkan urusan kemasukan warganegara Indonesia ke negara ini.

Majistret Suhaili Sapun membenarkan dua suspek direman enam hari sehingga 29 Sept ini manakala 10 suspek lagi direman lima hari sehingga 28 Sept selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pagi tadi.

Kata sumber, suspek yang terdiri daripada 10 lelaki dan dua wanita berusia 20 hingga 50-an itu ditahan di sekitar Johor dan Pulau Pinang, semalam.

“Berdasarkan siasatan awal, semua pegawai penguat kuasa berkenaan dipercayai menerima bayaran rasuah lebih RM490,000 daripada ejen serta runner yang turut ditahan dalam operasi ini.

“Mereka dipercayai terlibat dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi modus operandi counter setting di pintu masuk laut dari 2024 hingga awal 2025,” katanya.

Susulan tangkapan, SPRM merampas dan menyita pelbagai barangan seperti wang tunai kira-kira RM50,000, mata wang asing IDR71,000,000, kereta Toyota Vellfire bernilai kira-kira RM115,000 serta motosikal jenis Italjet Dragster bernilai kira-kira RM30,000.

Katanya, SPRM juga membuat permohonan bagi membekukan 25 akaun perbankan milik 13 individu melibatkan nilai RM1.2 juta.

Semalam, SPRM Johor dengan kerjasama Bahagian Perisikan SPRM menjalankan operasi di Johor dan Pulau Pinang menerusi Op Setting.

Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Hairuzam Mohmad Amin@Hamim, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

Tambah beliau, dua lagi suspek dibebaskan dengan jaminan SPRM.