"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Sarang warga asing ‘Kampung Madura’ diserbu, PATI beranak pinak dicekup

RAJA JAAFAR ALI
Sebahagian dari PATI ditahan di penempatan haram disekitar Larkin kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau tinggal lebih masa dalam operasi di Johor Bahru disini. Foto oleh RAJA JAAFAR ALI/KOSMO!
JOHOR BAHRU – Suasana hening di kawasan setinggan sekitar Larkin, di sini awal pagi tadi bertukar kecoh apabila ‘Perkampungan Madura’ yang dihuni pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor.

Dalam operasi besar-besaran bermula pukul 2 pagi itu, seramai 104 PATI termasuk sembilan bayi dan kanak-kanak berusia dua bulan hingga 63 tahun diberkas.

Pengarah JIM Negeri Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi dijalankan di kawasan penempatan haram di Jalan Tawakal, Jalan Dato’ Onn Jaafar dan Jalan Pujaan.

Jelasnya, operasi khas dilaksanakan selepas risikan serta maklumat awam mendedahkan kawasan berkenaan menjadi sarang ‘permastautin’ warga asing.

“Dalam operasi yang kita jalankan ini, seramai 231 individu diperiksa, namun hanya 104 ditahan kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah atau tinggal lebih masa.

“Kesemua yang ditahan terdiri daripada 50 lelaki, 40 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan. Kebanyakan mereka berasal dari Madura, Indonesia, selain seorang wanita warga Filipina,” katanya ketika ditemui dalam operasi berkenaan.

Mohd Rusdi berkata, ketika serbuan dilakukan, rata-rata PATI sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan oleh kehadiran 123 anggota JIM Johor bersama empat pegawai Jabatan Pendaftaran Negeri Johor (JPN).

“Kesemua PATI yang ditahan telah dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Kompleks KDN Setia Tropika untuk tindakan lanjut,”katanya.- KOSMO! ONLINE

Warga emas didakwa hantar bungkusan daging babi ke masjid

Agensi
WARGA emas didakwa di mahkamah atas tuduhan menghantar bungkusan mengandungi daging babi ke Masjid Al-Istiqamah di Serangoon. FOTO Agensi.

WARGA emas didakwa di mahkamah atas tuduhan menghantar bungkusan mengandungi daging babi ke Masjid Al-Istiqamah di Serangoon. FOTO Agensi.
Singapura: Seorang warga emas berusia 61 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan menghantar bungkusan yang mengandungi daging babi ke Masjid Al-Istiqamah di Serangoon, lapor MustShareNews.

Suspek, Bill Tan Keng Hwee, didakwa dengan niat sengaja untuk melukakan perasaan kaum, sehari selepas ditahan polis pada Khamis lalu.

Menurut laporan The Straits Times, dokumen mahkamah menyatakan bungkusan itu turut mengandungi sekeping nota provokasi.

Polis berjaya mengenal pasti suspek hasil siasatan di lapangan dan bantuan rakaman kamera polis.

Siasatan awal juga mendedahkan lelaki itu berkemungkinan terbabit dalam beberapa kes serupa di masjid-masjid lain di Singapura.

Di mahkamah pada Sabtu (semalam), Tan direman selama seminggu bagi membantu siasatan lanjut.

Dalam insiden pada 24 September lalu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dan pakar HazMat dikejarkan ke lokasi selepas dimaklumkan mengenai bungkusan tidak dikenali manakala masjid dikosongkan sebagai langkah berjaga-jaga.

Walaupun tiada bahan berbahaya ditemukan, seorang individu terpaksa dihantar ke hospital selepas mengalami sesak nafas.

Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, K. Shanmugam, menyifatkan perbuatan itu sebagai provokatif dan memberi amaran ia "seperti bermain dengan api."

"Kami memandang serius perkara ini dan akan berurusan dengan tegas dengan sesiapa sahaja yang didapati bertanggungjawab," katanya.

Jika sabit kesalahan, Tan berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Ketua Bersatu Pahang dikatakan mahu sertai PAS

Ketua Bersatu Pahang nafi mahu sertai PAS
NS Ramli

Ketua Bersatu Pahang, Abdul Khalib Abdullah menafikan khabar angin mendakwa dia akan meninggalkan parti itu dan menyertai PAS. 

Abdul Khalib yang juga ahli parlimen Rompin berkata dakwaan itu sengaja ditimbulkan untuk mencetuskan persepsi tidak baik dan mahu merosakkan hubungan rapat antara Bersatu dan PAS Pahang. 

Menurutnya, khabar angin itu berpunca daripada ucapannya yang telah disalah petik dan kemudian disensasikan.

"Dari situ mereka buat andaian saya nak tinggalkan Bersatu dan masuk PAS, sedangkan nada saya gunakan hanyalah secara berseloroh," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

“Tak ada isu saya nak tinggalkan parti. Bersatu Pahang berada dalam keadaan aman dan damai,” katanya lagi.

Abdul Khalib mengulas berkaitan hantaran dibuat akaun Facebook Pahangku Media yang merujuk kepada petikan ucapan Abdul Khalib ketika program ceramah sambutan ulang tahun 40 tahun PAS Rompin pada Jumaat lalu. 

Dalam hantaran itu, Abdul Khalib didakwa sedang mencari jalan selamat selepas Bersatu Pahang semakin lemah, dengan berdepan masalah kewangan, ketiadaan jentera dan sokongan akar umbi.

Halaman itu turut menyiarkan petikan ucapan Abdul Khalib, yang antaranya berkata: “Biasalah mesyuarat Bersatu kadang-kadang begini, mesyuarat PAS (pula) macam ni. Tetapi tiada masalah datuk (berpaling ke arah Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah)...Saya kalau susah sangat, saya masuk PAS.”

Mengulas lanjut, Abdul Khalib berkata PAS dan Bersatu kini sibuk mengatur strategi untuk menang di negeri itu pada PRU akan datang.

"Kita (PN Pahang) sudah empat kali bermesyuarat dan sekarang fokus untuk bersama PAS menjayakan program Hogoh Jelai 30K.

“Kalau saya nak tinggalkan parti, mungkin saya kata nak masuk Umno, itu barulah betul. 

"Tapi kita kekal setia bersama PAS dalam komponen PN, tak patut timbul pun soal lompat parti,” katanya lagi.