"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Papagomo ditahan lagi, disiasat atas dakwaan menghasut

SITI NUR ZAWANI

Blogger kontroversi, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo ditahan polis awal pagi tadi.

Menurut pemakluman peguamnya, Rafique Rashid, Papagomo telah ditahan kira-kira jam 12.30 tengah malam dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

Dia disakwa disiasat di bawah Akta Hasutan 1948.

“Pempengaruh dan pengkritik Kerajaan, Wan Muhammad Azri @Papagomo @Sir Azri telah ditahan PDRM jam lebih kurang 12.30 awal pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan ringkas.

Beliau berkata, permohonan reman dijangka akan dibuat di mahkamah pagi ini.

“Telah tiba di IPD Dang Wangi dan dijangka reman pagi ini jam 9.30 pagi,” katanya lagi.

Papagomo sebelum ini pernah ditahan pada April tahun lalu selepas didakwa mengeluarkan kenyataan hasutan terhadap Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong dalam satu video yang tular.

Selain itu, pada 27 Ogos 2025, beliau dijatuhi hukuman 30 hari penjara oleh Mahkamah Tinggi kerana menghina dan mengabaikan injunksi mahkamah berkaitan kes saman fitnah yang difailkan oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pemandu treler diikat, ditutup mata dan dilarikan sejauh 34 km sebelum ditinggal di tepi jalan

Khirrul Nirwan Bahaudin
am@hmetro.com.my
PEMANDU lori ditemui dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup dengan pita pelekat di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub. FOTO Ihsan PDRM.
PEMANDU lori ditemui dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup dengan pita pelekat di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub. FOTO Ihsan PDRM.
Raub: Pemandu treler berdepan detik cemas apabila dilarikan tiga lelaki sejauh 34 kilometer dari Bentong ke Raub sebelum ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan tangan terikat dan mata ditutup, semalam.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Mohd Shahril Abdul Rahman berkata, kejadian kira-kira 11.30 malam itu disedari seorang lelaki yang menemui mangsa dalam keadaan terikat dan meminta tolong di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan, Raub.

"Sepasukan anggota peronda polis kemudian membawa mangsa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 37 tahun bekerja sebagai pemandu treler membawa muatan besi dari Balakong, Selangor ke Gua Musang, Kelantan.

Katanya, mangsa singgah berehat di sebuah warung makan di sempadan Bentong-Raub untuk mandi dan menukar pakaian sebelum diserang.

"Selepas mandi, mangsa didatangi tiga lelaki yang mengikat tangannya menggunakan cable tie sebelum dibawa masuk ke dalam sebuah kereta.

"Selepas sejam di dalam kereta, mangsa diturunkan di tepi jalan berhampiran Taman Sri Wawasan dalam keadaan mata ditutup dengan pita pelekat hitam," katanya.

Menurutnya, siasatan mendapati motif utama kumpulan adalah melarikan treler yang membawa muatan besi berkenaan.

"Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan kini dalam keadaan stabil.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan," katanya.

Mohd Shahril menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan peka terhadap keadaan sekeliling, terutama ketika berhenti di kawasan terpencil pada waktu malam.

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian atau individu mencurigakan boleh disalurkan terus ke Bilik Gerakan IPD Raub di talian 09-355 2222," katanya.

Kelantan: Dendam isu tanah pusaka, video tular anak disunting punca lelaki dibunuh

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA
Lokasi kejadian mangsa maut ditetak sepupu isterinya dalam kejadian di Kampung Kok Bedullah, Tumpat semalam. - Foto IHSAN POLIS
TUMPAT – Dendam berkaitan isu tanah pusaka dipercayai menjadi salah satu punca seorang pemandu jengkaut maut ditetak sepupu isterinya dengan parang dalam kejadian di Kampung Kok Bedullah, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd. Khairi Shafie berkata, siasatan mendapati, video tular melibatkan anak suspek yang disunting dalam keadaan tidak senonoh turut menjadi motif pembunuhan mangsa berusia 46 tahun tersebut.

Katanya, siasatan di lokasi kejadian mendapati, mangsa mengalami kecederaan parah pada kepala, kaki kanan dan tangan kirinya putus akibat ditetak dengan parang panjang. “Motif pembunuhan dipercayai berpunca akibat dendam lama berkaitan isu tanah pusaka dan video tular melibatkan anak suspek yang disunting dalam keadaan tidak senonoh.

“Suspek yang berusia 45 tahun ditahan di rumahnya bersama sebilah parang panjang yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang pemandu jengkaut maut selepas ditetak bertubi-tubi dengan parang dipercayai angkara perbuatan sepupunya di sebuah rumah di Kampung Kok Bedullah.

Dalam kejadian pada pukul 11.15 malam itu, mangsa, Mohd. Suhairi Hashim, 46, meninggal dunia di lokasi disebabkan cedera parah termasuk putus lengan kiri.

Ujian saringan air kencing mendapati, suspek positif dadah jenis methamphetamine. Lelaki itu direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.– KOSMO! ONLINE