"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pesawat pejuang TUDM iringi Air Force One

Buletin TV3 

KUALA LUMPUR: Pesawat Air Force One yang membawa Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump diiringi pesawat pejuang F/A-18 Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari 18 Skuadron ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di Sepang, hari ini.

Pesawat pejuang itu dikendalikan oleh Mejar Ahmad Nur Ikhwan Ahmad Tridi bersama Pegawai Jurusensor Senjata (WSO), Kapten Ahmad Nazhan Ahmad Nazrin.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Trump tiba di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara, menandakan lawatan pertama Presiden AS ke negara ini dalam tempoh sedekad.

Air Force One, pesawat rasmi Presiden AS, mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada jam 9.54 pagi dan disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang turun dari Air Force One berwarna biru putih, Boeing 747-200B, dilihat tersenyum ketika disambut.

Kelantan: Bapa tiri didakwa tiga pertuduhan amang seksual

Hidayatidayu Razali

KOTA BHARU: Seorang bapa tiri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas tiga pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tiri di bawah umur, pada 2023 dan 11 April lalu.

Tertuduh berusia 54 tahun dan bekerja sebagai buruh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicara terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Merkang, dekat Pasir Puteh pada 2023 dan jam 9 pagi, 11 April 2025.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 14 (b), Seksyen 14 (d), Seksyen 14 (c) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta yang sama dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan boleh disebat.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Mazlan dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Siti Hajar tidak mencadangkan jaminan kepada tertuduh kerana kes itu serius.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 25 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Trak pikap bawa PATI terbalik, pemandu cabut lari

KOSMO
Pegawai polis memeriksa trak pikap yang terbabas dan terjatuh ke dalam gaung di Sak Yoi semalam. - Piyarach Chongcharoen
BANGKOK – Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh, manakala 31 lagi cedera selepas sebuah trak pikap yang membawa pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabas lalu terbalik di Thailand, lapor akhbar Bangkok Post. 

Polis menerima laporan sekitar pukul 9 pagi (waktu tempatan) mengenai kemalangan membabitkan trak pikap jenama Nissan di Sak Yoi semalam. 

“Kenderaan itu dipandu laju dari Thong Pha Phum ke pusat bandar Kanchanaburi sebelum hilang kawalan di satu selekoh Lebuhraya 323 berhampiran perkampungan Moo 9. 

“Tayar belakang tercabut, menyebabkan ia terbabas ke lorong berlawanan sebelum terjatuh ke dalam gaung,” kata polis.

Tiga orang ditemukan mati di tempat kejadian, manakala 32 lagi termasuk 22 lelaki dan 20 wanita cedera. 

Kesemua mangsa dikenal pasti sebagai pekerja asing. Mereka dibawa ke hospital tempatan untuk rawatan lanjut. 

Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia ketika menuju ke hospital, menjadikan jumlah kematian seramai empat orang. 

Beberapa saksi memberitahu polis bahawa ramai pekerja asing terselamat selepas melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran lokasi nahas. 

Ketua Polis Sai Yok, Pol Kol Natthawut Kantayot berkata, pemandu trak pikap turut melarikan diri. 

“Kami sedang berusaha untuk mengenal pasti dan menangkap pemandu itu. Masih belum jelas sama ada dia ialah warga Thailand atau warga asing,” kata Natthawut. – AGENSI