"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Malam Krismas di KL jadi pesta sampah

HARRITH HISHAM
Keadaan pusat bandar yang kotor dan dipenuhi sampah semalam
PETALING JAYA – Keadaan di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara didapati kotor dengan dipenuhi sampah susulan sambutan perayaan Krismas malam tadi.

Menurut Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kerja-kerja pembersihan telah dilaksanakan di kawasan pusat bandar bagi memastikan keadaan persekitaran sentiasa bersih, teratur dan selesa untuk semua.

“Namun begitu, masih terdapat segelintir pihak yang membuang sampah merata-rata sehingga menjejaskan kebersihan dan imej bandar raya.

“Walaupun orang ramai meraikan suasana malam perayaan, tanggungjawab menjaga kebersihan tetap perlu diutamakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, DBKL menasihatkan agar elakkan membuang sampah sesuka hati dan gunakan tong sampah yang disediakan bagi memelihara ruang awam bersama.

“Sikap bertanggungjawab setiap individu akan memberi kesan besar kepada kebersihan bandar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Presiden Pas pecat tiga Adun Perlis demi selamatkan besan?

Harapandaily
Abdul Hadi dan Mohd Shukri
Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang didakwa memecat tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari parti itu bagi menyelamatkan Menteri Besar Perlis yang juga besan beliau.

Ini berikutan keputusan Pas Pusat menggugurkan Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Keputusan itu berkuat kuasa serta-merta selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang bersidang malam tadi.

Abdul Hadi menerusi kenyataannya berkata, tindakan tersebut dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

“Pas akan memaklumkan ketetapan berkenaan secara rasmi kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Perlis bagi memenuhi Perkara 50A(1)(a)(ii) Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis (Pindaan) 2022,” katanya.

Abdul Hadi dan Mohd Shukri
Untuk rekod, Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli merupakan besan Abdul Hadi.

Anak Mohd Shukri yang bernama Syafeeq ialah menantu kepada Ahli Parlimen Marang berkenaan.

Syafeeq berkahwin dengan Ummu Kalthom, yang merupakan anak kepada Abdul Hadi.

Tahun lalu, menantu kepada Presiden Pas itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama lima individu lain bagi siasatan berkaitan pertuduhan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM600,000.

Sebelum ini, heboh dikatakan bahawa Mohd Shukri didakwa hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Isu itu muncul susulan dakwaan beberapa ADUN daripada Pas dan Bersatu menyerahkan akuan berkanun (SD) kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.

Tindakan itu sekali gus mencetuskan kemelut kepemimpinan kerajaan negeri blok pembangkang tersebut.

Penganalisis Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berpendapat keretakan hubungan Pas dan Bersatu di Perlis boleh mengundang ‘penceraian’ PN pada skala mega.

DUN Perlis mohon adakan PRK untuk kekosongan luar jangka

Aizat Sharif
Speaker DUN Perlis, Rus’ele Eizan.
KANGAR: Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi tiga kawasan DUN di negeri itu.

Ia berikutan kekosongan luar jangka akibat kemelut politik dalaman Perikatan Nasional (PN) yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.

Speaker DUN Perlis, Rus’sele Eizan berkata, kekosongan itu membabitkan DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji selepas tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Binting) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti serta-merta keahlian mereka dalam PAS bermula semalam.

“Pemakluman mengenai perkara itu diterima secara rasmi daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.

“Setelah membuat semakan dan meneliti perkembangan berkaitan, saya berpuas hati bahawa sudah berlakunya kekosongan luar jangka yang memenuhi kehendak Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi ketiga-tiga DUN berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat Speaker DUN Perlis di Kompleks Seri Putra, di sini hari ini.

Katanya, notis bertulis berhubung kekosongan luar jangka itu diterima daripada seorang ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun selaras dengan Perkara 50A(3) undang-undang tubuh negeri.

Mengulas lanjut, Rus’sele berkata secara kebiasaan, PRK tidak perlu diadakan sekiranya usia DUN sudah melebihi tiga tahun.

“Memandangkan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama DUN Perlis bermula pada 19 Disember 2022 dan tempoh tiga tahun berakhir pada 18 Disember lalu.

“Saya berpuas hati bahawa kekosongan tiga kerusi itu menjejaskan bilangan majoriti semua Ahli Dewan Negeri Perlis dan menimbulkan keadaan ‘terjejas’ dari segi kestabilan kerajaan negeri.

“Demi kepentingan kestabilan kerajaan dan memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kekosongan ini wajar diisi semula,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan menggunakan budi bicara di bawah Proviso Perkara 55(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan secara bertulis kepada SPR serta memohon supaya pilihan raya diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka berkenaan.