"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Budak empat tahun parah dirempuh MPV agensi penyelamat

MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

KOTA BHARU – Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang parah selepas dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) milik agensi penyelamat semasa sambutan hari keluarga di Bachok dekat sini pada 3 Januari lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, pihaknya sudah merakam percakapan pemandu MPV tersebut untuk membantu siasatan kes tersebut.

Menurutnya, beliau memberi jaminan bahawa siasatan telus sedang dijalankan selepas polis menerima sebanyak tiga laporan berkaitan kemalangan tersebut.

“Buat masa ini, mangsa dilaporkan masih belum sedarkan diri. Kertas siasatan sudah dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi pada 3 Januari lalu itu, Nurul Afia Raisha Muhamad Shamsul, 4, parah pada bahagian abdomen selain patah bahu kanan, tulang selangka dan tulang rusuk selepas dirempuh sebuah MPV milik agensi penyelamat.

Ibu mangsa, Nurul Afzan Che Ramlee, 33, berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu masih memerlukan bantuan pernafasan dan sedang menerima rawatan di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM), Kubang Kerian di sini.

Katanya, setakat ini, Nurul Afia sudah menjalani tiga pembedahan kecil pada bahagian dada dan menunjukkan perkembangan positif walaupun masih kritikal.

“Semasa hari kejadian, anak saya sedang bermain di kawasan padang iaitu tempat berlangsungnya acara sukan rakyat sebelum dirempuh MPV tersebut yang sedang dalam keadaan mengundur.

“Beberapa kanak-kanak lain juga bermain di situ kerana ia berkenaan bukan di atas jalan sebaliknya tapak sukaneka,” ujarnya.

Nurul Afzan memberitahu, anaknya dibawa menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan ke Hospital Bachok untuk rawatan awal sebelum dipindahkan ke HPUSM selepas disahkan kritikal. – KOSMO! ONLINE

Sindiket Iqbal kaut untung RM1.5 juta seludup migran tumpas

FMT Reporters

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata sebuah 'rumah penampungan' di lokasi terpencil kawasan kampung dijadikan markas transit untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
Sebelas warga Bangladesh yang ditahan dalam operasi khas semalam. (Gambar Facebook Jabatan Imigresen)
PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menumpaskan sindiket Iqbal didalangi warga Bangladesh yang menyeludup migran dan dipercayai mengaut keuntungan dianggarkan berjumlah RM1.5 juta dalam operasi khas semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata 11 lelaki dan seorang wanita dari Bangladesh berusia 18 hingga 54 tahun serta seorang lelaki etnik Rohingya berusia 27 tahun dipercayai penjaga rumah migran itu ditahan.

Katanya, sebuah “rumah penampungan” di lokasi terpencil kawasan kampung dijadikan markas transit bagi menempatkan migran dibawa masuk ke negara ini untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Menurutnya, semua migran itu memasuki negara ini melalui laluan darat tidak diwartakan di sekitar sempadan Malaysia-Thailand.

“Mereka ditempatkan di premis tersebut sementara menunggu baki bayaran kemasukan dilunaskan sebelum dihantar ke lokasi destinasi seterusnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, sindiket itu bergiat aktif sejak awal 2024 dan mempunyai rangkaian ejen pengatur di negara asal dengan dalang utama ialah warga Bangladesh dipercayai beroperasi dari Thailand.

Jelasnya, sindiket itu mengenakan bayaran RM10,000 hingga RM15,000 bagi setiap individu dan mengaut keuntungan dianggarkan mencecah RM1.5 juta hasil aktiviti haram itu.

Zakaria berkata, pihaknya giat mengesan pemilik premis warga tempatan dipercayai bersekongkol dengan sindiket itu yang menyewa dan membenarkan hartanahnya digunakan sebagai pusat transit aktiviti penyeludupan migran.

Katanya, operasi itu turut menggunakan pendekatan pengenalpastian mangsa pemerdagangan orang dalam kalangan golongan rentan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators 2.0.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi meneliti kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Tindakan undang-undang tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu, sindiket, majikan atau pemilik premis menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan pendatang asing tanpa izin.”

Beliau meminta orang ramai melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan jenayah penyeludupan migran dan pemerdagangan orang melalui saluran aduan rasmi imigresen bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara.

Pesawat Indonesia Air Transport terbang rendah sebelum terhempas

KOSMO
Pesawat ATR 42-500 itu terputus hubungan ketika dalam perjalanan ke Makassar dari Yogyakarta. - Indonesia Air Transport
JAKARTA – Sebuah pesawat yang hilang di Pulau Sulawesi dipercayai terhempas selepas terbang rendah ketika menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Hasanuddin, Makassar, lapor portal berita Jakarta Globe. 

Pesawat jenis turboprop ATR 42-500 yang dikendalikan oleh Indonesia Air Transport itu terputus hubungan semasa dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Adi Sucipto di Jogjakarta ke Makassar malam tadi. 

Pesawat yang membawa 10 orang termasuk tiga penumpang itu dikendalikan oleh seorang juruterbang, Kapten Andy Dahananto. 

Berdasarkan kronologi penerbangan dan kedudukan terakhir pesawat, pihak berkuasa percaya insiden itu berlaku semasa fasa pendekatan kritikal. 

Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Lukman Laisa berkata, pengawal trafik udara Makassar telah mengarahkan pesawat itu untuk melakukan pendekatan ke Landasan 21 di Lapangan Terbang Sultan Hasanuddin.

“Pesawat itu dikesan tidak berada di laluan pendekatan yang ditetapkan,” kata Lukman dalam satu kenyataan.

Kawalan trafik udara mengeluarkan arahan untuk membimbing pesawat kembali ke trajektori pendaratan yang betul. Arahan tambahan turut disampaikan sebelum kapal terbang itu terputus hubungan. 

Pasukan mencari dan menyelamat dikerahkan ke Gunung Bulu Sarung di kabupaten Maros, berhampiran lokasi terakhir pesawat. – AGENSI