"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Terengganu: Penduduk Paka kecewa bekalan air payau, berkarat

Bernama

Penduduk di Paka di Dungun kecewa dengan masalah bekalan air yang didakwa payau serta berkarat sehingga menjejaskan rutin kehidupan seharian mereka sejak Mac lepas.

Berikutan masalah itu, kebanyakan penduduk mendakwa terpaksa membeli air mineral kerana tidak selesa menggunakan bekalan air berkenaan untuk minum dan memasak.

Seorang penduduk, Aishah Ramli, 45, dari Kuala Paka berkata masalah bekalan air itu mula serius berlaku seminggu sebelum Aidilfitri dan berlarutan sehingga kini.

“Masalah bekalan air payau bukan perkara baharu di kawasan ini, sebaliknya kerap berulang sejak beberapa tahun lepas.

"Malah, penduduk juga sering menerima bekalan air berkarat terutama ketika berlaku tekanan air rendah," katanya kepada pemberita hari ini.

Seorang pengusaha restoran di Tebing Tembah, Nurul Miezan Qamaliena Mazidi, 23, berkata dia terpaksa membeli air mineral untuk menyediakan minuman kepada pelanggan berikutan masalah itu.

Malah, dia juga mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membeli ais kerana tidak dapat memproses sendiri air batu kerana masalah bekalan air berkenaan.

“Saya terpaksa berbelanja hampir RM300 untuk membeli air mineral dan air batu bagi kegunaan di restoran dalam tempoh dua hingga tiga hari ini, berikutan masalah bekalan air yang diterima tidak memuaskan,” katanya.

Seorang penduduk di Taman Mulia Perdana, Tengku Harith Sufri Tengku Amran, 36, berkata penduduk tertekan apabila masalah bekalan air payau dan berkarat berlaku secara serentak sehingga membebankan kehidupan seharian.

Walaupun dia telah memasang penapis air di luar rumah, namun air yang diterima masih payau serta berkarat, dan pengguna yang tidak memasang penapis air akan berdepan keadaan yang lebih teruk.

“Saya telah melaporkan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk kepada Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) baru-baru ini untuk tindakan susulan bagi memastikan bekalan air yang diterima sentiasa berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu Datuk Hanafiah Mat ketika dihubungi berkata bekalan air menjadi payau apabila muka sauk di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Bauk menerima kemasukan air masin susulan musim kering serta fenomena air pasang.

"Pihak SATU telah meningkatkan kapasiti bekalan di LRA Bukit Bauk bagi mengurangkan kesan air payau dengan menambah bekalan dari LRA Kemudi," katanya.

Beliau berkata bekalan air berkenaan menjejaskan sebanyak 26,883 akaun pengguna SATU di Paka sejak Mac lepas.

Jumlah akaun pengguna itu melibatkan 11,675 akaun di Zon Paka, 10,552 akaun di Zon Dungun serta 4,167 akaun di Kerteh 2, Kerteh 3 dan Ketengah Jaya.

“Masalah bekalan air payau itu dijangka berlarutan di kawasan berkenaan hingga September ini, iaitu sepanjang tempoh Monsun Barat Daya,” katanya.

- Bernama

Lelaki warga asing ditahan disyaki cabul wanita di stesen MRT

Bernama

Seorang lelaki warga asing ditahan kerana disyaki mencabul seorang wanita di kaki lima stesen MRT Kuchai Lama, selepas mengekori mangsa yang sedang berjalan menuju ke tandas, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Hoo Chang Hook berkata tangkapan ke atas suspek yang merupakan seorang penganggur warga China berumur 20 tahun itu, dilakukan pada kira-kira 8.10 malam hari yang sama.

“Pihak polis telah menerima satu laporan insiden itu daripada mangsa yang mengatakan telah didatangi dari arah belakang oleh seorang lelaki yang tidak dikenali, sebelum memeluk pengadu tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hoo berkata mangsa merupakan warga tempatan berumur 22 tahun yang berkhidmat sebagai terapis kecantikan di Sunway Velocity, di Kuala Lumpur.

Beliau berkata suspek kini direman sehingga 24 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

Terdahulu, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam kenyataan memaklumkan suspek yang ditahan Polis Bantuan Prasarana, dipercayai terlibat juga dalam satu lagi kes gangguan seksual di dalam tren laluan Kelana Jaya.

“Suspek telah dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan selanjutnya. Rapid Rail akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail juga menyeru semua pengguna agar segera membuat laporan kepada pegawai stesen atau anggota Polis Bantuan Prasarana yang bertugas, sekiranya melihat atau menjadi mangsa sebarang gangguan agar tindakan sewajarnya dapat diambil.

- Bernama

13 budak sekolah merusuh direman

FMT Reporters

Punca gaduh dipercayai akibat tidak puas hati apabila seorang daripada suspek ditampar.
gaduh sekolah
Tangkap layar memaparkan sekumpulan pelajar bergaduh di hadapan sebuah sekolah di Skudai, semalam.
PETALING JAYA: Seramai 13 kanak-kanak antara 15 individu ditahan bagi membantu siasatan kes merusuh di hadapan sebuah sekolah menengah di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai, semalam.

Ketua Polis Iskandar Puteri M Kumarasan, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 12.45 tengah hari semalam, dan mereka ditahan terdiri turut terdiri dua wanita tempatan berusia antara 12 hingga 37 tahun.

Mereka ditahan antara 3 petang hingga 11.11 malam tadi di kawasan Nusa Bestari serta Iskandar Puteri.

“Punca pergaduhan dipercayai akibat tidak puas hati apabila seorang daripada suspek telah ditampar hingga membawa pergaduhan selepas waktu persekolahan,” katanya menurut Bernama.

Kumarasan berkata, permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas dua wanita terbabit dibenarkan selama tiga hari bermula hari ini, manakala semua kanak-kanak lelaki direman sehingga 14 April.

Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 323 kanun sama iaitu sengaja mendatangkan kecederaan.

Terdahulu, video berdurasi 29 saat yang memaparkan pergaduhan itu tular di Facebook.