"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cahaya misteri berasap di langit Kelantan cetus tanda tanya penduduk

KOSMO!
Satu rakaman video memaparkan kemunculan cahaya kecil disertai kepulan seperti asap di ruang langit mencetuskan tanda tanya.
PETALING JAYA – Satu rakaman video memaparkan kemunculan cahaya kecil diikuti kepulan asap di ruang langit mencetuskan tanda tanya dalam kalangan orang ramai.

Menerusi satu perkongsian video di Facebook Rantau Panjang Post, seorang pengguna sempat merakam kejadian kepulan asap keluar di langit di kawasan Lubok Gong, namun tidak dapat dipastikan punca sebenar fenomena tersebut.

Rakaman itu memperlihatkan satu titik cahaya bergerak perlahan sebelum meninggalkan jejak asap nipis, sekali gus mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

“Katanya ada asap keluar atas langit…Pandangan dari Lubok Gong tak pasti asap apa. Kot-kot ada yang tahu fenomena atau benda apa,” tulisnya menerusi kapsyen di video tersebut.

Tinjauan di ruang komen mendapati rata-rata pengguna meninggalkan pelbagai reaksi selain ada yang mendakwa turut melihat kejadian sama.

“Maghrib tadi ada tengok, ingatkan kapal terbang. Sebab ada juga sebuah kapal terbang lalu,” kongsi Ct Asmiza.

“Saya pun ada tengok masa lepas maghrib tadi, macam asap ada cahaya. Tengok lama-lama jadi gelap,” kata Ashikin.

“Fenomena oni orang panggil ‘rocket plume’ atau ‘space jellyfish’,” kata Fatyhah.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak berhubung kejadian tersebut. – KOSMO! ONLINE

Kelantan: Bekas pemain bola sepak Kelantan, rakan didakwa larikan pemilik kedai emas

FMT Reporters

Cik Hisammudin Hassan dan Saufi Ariffin mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.
mahkamah pasir mas
Tertuduh, Cik Hisammudin Hassan, 51, dan Saufi Ariffin, 24, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini terhadap pertuduhan melarikan pemilik kedai emas. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Bekas pemain bola sepak Kelantan dan rakannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini terhadap pertuduhan melarikan pemilik kedai emas di Tumpat, dalam kejadian Mei tahun lalu.

Kedua-dua tertuduh, Cik Hisammudin Hassan, 51, dan Saufi Ariffin, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah, menurut Berita Harian.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka didakwa melarikan Marzuki Mustapha secara paksa dengan niat menyebabkan mangsa dikurung dengan sulit dan salah, di tepi jalan di Kampung Palekbang, Tumpat pada 7.20 pagi, 20 Mei.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na’ilah Harizan mengendalikan pendakwaan manakala peguam Heather Marie Anthony mewakili C ik Hisammudin dan Saufi tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 bagi setiap tertuduh, namun mahkamah kemudian menawarkan jaminan RM12,000 setiap seorang.

Mahkamah turut menetapkan 18 Mei sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berebut-rebut penduduk tangkap ikan muncul di jalan raya

KOSMO
Tangkap layar video menunjukkan penduduk tempatan menangkap ikan di tepi jalan yang sibuk semalam. - TikTok
JAKARTA – Penduduk di Sleman, wilayah Daerah Istimewa Yogyakarta mengundang perhatian orang ramai apabila dirakam berebut-rebut menangkap sejumlah ikan yang tiba-tiba muncul di jalan raya, lapor portal berita Lambe Turah. 

Kejadian berlaku sekitar pukul 5.01 petang (waktu tempatan) di persimpangan Demok Ijo, Jalan Lingkaran Barat semalam. 

Rakaman video dimuat naik di platform TikTok oleh akaun @maskuri685 menunjukkan orang ramai berpusu-pusu menangkap ikan di tepi jalan yang sibuk dan ditenggelami air. 

Difahamkan, hujan lebat semalaman menyebabkan ikan-ikan itu terlepas daripada sebuah kolam ternakan milik penduduk. 

Ada antara mereka berjaya menangkap ikan bawal dan beberapa lagi ikan yang besar. 

Rakaman itu mencatatkan lebih 91,400 tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi. 

“Banjir yang membawa rezeki,” kata seorang netizen. 

“Jalan sesak sebab orang tangkap ikan,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI