"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nik Zawawi Salleh menyulitkan PAS

PAS dengan Nik Zawawi

Mohsin Abdullah

Apa yang dilakukan Nik Zawawi Salleh menyulitkan PAS.

Terus-terang saya katakan apa yang dilakukan Nik Zawawi Salleh menyulitkan PAS, dan istilah ‘menyulitkan’ sekadar perkataan lembut untuk menggambarkan keadaan PAS sekarang ini akibat tindakan beliau tempoh hari. Apa yang dilakukan Nik Zawawi? Tidak tergamak saya mengulangi apa yang beliau kata mengenai dua sahabat Nabi Muhammad — Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.

Umum pun sudah tahu. Namun saya ingin memperingatkan semua bahawa Nik Zawawi itu Ahli Parlimen Pasir Putih dan juga setiausaha majlis syura ulama PAS — maksudnya beliau orang besar dalam parti.

Menurut Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa, kontroversi membabitkan Nik Zawawi wajar dibincangkan secara dalaman melibatkan dewan ulama. Beliau merupakan pemimpin PAS paling kanan yang memberi reaksi tentang isu itu Selasa lalu. Ketika artikel ini dikarang, top 5 kepimpinan PAS belum beri sebarang reaksi meskipun tindakan Nik Zawawi hebat diperkatakan dalam kalangan orang Melayu dan Islam.

Selain Annuar, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar tampil di Facebook untuk menegaskan kemuliaan para sahabat: “Jangan biarkan lidah kita menghina generasi pilihan Allah”. Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama Nik Zawawi. Perlu dinyatakan Dewan Ulama PAS Pusat (DUPP) menerbitkan kenyataan enam perenggan pada Selasa menerusi Ketua Penerangan Mohd Nor Hamzah:

“Setelah meneliti sedutan rakaman ceramah serta mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan, DUPP mengakui bahawa terdapat beberapa kenyataan yang tidak tepat dari sudut fakta sejarah berkaitan latar kehidupan para Sabahat Rasulullah khususnya Saidina Abu Bakar, Saidina Umar dan Saidina Uthman sebelum Islam.”

Perhatikan pada perenggan itu DUPP tidak menyebut nama Nik Zawawi, sebaliknya ‘pihak berkaitan’.

Hanya pada perenggan 4 nama beliau disebut, apabila DUPP menegaskan ia “telah menyampaikan teguran dan peringatan secara dalaman kepada Nik Zawawi Salleh agar lebih cermat dan berhati-hati dalam menyampaikan fakta sejarah Islam khususnya dalam perkara yang melibatkan kedudukan serta kemuliaan para sahabat Rasulullah”.

Pada hemat saya, Nik Zawawi telah membuat kesalahan atau kesilapan. Factually historically wrong meskipun DUPP melembutkan kenyataan sendiri apabila berkata “terdapat beberapa kenyataan tidak tepat dari sudut fakta sejarah”. Apa perbezaan antara pandangan saya dengan kenyataan DUPP hanya pemilihan kata-kata. Different words same meaning. Lagi pula DUPP mahu Nik Zawawi lebih cermat dan berhati-hati apabila bercakap mengenai sejarah Islam terutama para sahabat Nabi Muhammad.

Namun menerusi video penjelasan yang disiarkan pada Selasa, Nik Zawawi mempertahankan apa yang telah dikatakan bahkan mendakwa apa yang disampaikan hanya untuk memudahkan masyarakat memahami konteks sejarah. Kata-kata begitu bagai mengetepikan nasihat DUPP and is not helping matters for PAS. Apa lagi kenyataan DUPP boleh juga dilihat sebagai damage control, walaupun saya akui dibuat atas keinsafan, kerana tindakan Nik Zawawi mencetuskan kemarahan orang Melayu-Islam malah ada juga yang menasihati beliau supaya bertaubat, sekali gus PAS tercalar.

Pun begitu, hari ini, Nik Zawawi tampil sekali lagi dengan kenyataan mengakui bahawa “saya kurang cermat dalam mengolah makluman serta penyampaian ketika memberikan kenyataan tersebut”. Di media sosial ada banyak komen pedas yang pasti memerahkan telinga PAS. Ada juga sarcasm.

Saya pilih satu komen yang dibuat oleh Yusri Ibrahim, ketua penyelidik ilham Centre, yang saya percaya seorang yang nonpartisan — tidak memihak PAS mahupun parti lawan PAS. Saya tidak terperanjat jika penyokong tegar PAS tidak setuju dengan pandangan itu. Yusri tanya: “Dah berapa orang buat laporan polis dan cadang nak buat demonstrasi kes pemimpin politik hina sahabat Nabi?”

Lazimnya golongan ‘terpaling Islam’ termasuk ahli PAS akan buat laporan polis dan berdemo apabila sesuatu isu timbul — isu yang boleh menguntungkan PAS khususnya atau the self-proclaimed defenders of Islam. Kali ini setahu saya tidak ada. Yang ada diberitakan Pemuda PAS Selangor mahu adakan Sabtu ini demomnstrasi anti-DAP membantah pendirian pemimpin parti itu mahu penggunaan sistem moden penternakan babi dipertimbangkan di Selangor.

Lalu ada satu komen di Facebook berbunyi: “Isu babi di Selangor yang sudah dinoktahkan lebih serius gamaknya berbanding ulama parti politik sebar hadis palsu dan cerca akhlak sahabat Nabi yang dijamin masuk syurga”. Hantaran dibuat kawan lama saya, Nazri Kahar, wartawan Astro Awani.

Terengganu: Pasangan suami-isteri dihukum tiga kali sebatan dan denda RM3,000 atas kesalahan khalwat berulang

MOHD AZLI ADLAN
Muhammad Shazmel Aqimie (kanan) da Tengku Nur Faresha Ulani (dua dari kanan) dihukum tiga kali sebatan dan denda RM3,000 atas kesalahan khalwat berulang di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini.
KUALA TERENGGANU – Pasangan suami isteri yang ditangkap khalwat buat kali kedua sewaktu dalam tempoh bertunang pada awal tahun ini masing-masing dijatuhi hukuman tiga kali sebatan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril Mat Yusof memerintahkan hukuman demikian selepas kedua-dua tertuduh, Muhammad Shazmel Aqimie Razalee, 26, dan pasangannya, Tengku Nur Faresha Ulani Tengku Ahmad Farek, 24, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Beliau memerintahkan hukuman sebat terhadap kedua-dua tertuduh yang masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai makan dan barista atau pembuat kopi dilaksanakan di dalam Penjara Marang pada pukul 10 pagi, 7 Jun depan selepas tempoh 14 hari rayuan berakhir.

Sebelum ini, Muhammad Shazmel Aqimie dan Tengku Nur Faresha Ulani yang baru melangsungkan pernikahan pada 26 April lalu masing-masing pernah dijatuhi hukuman denda RM2,600 dan RM2,500 atas kesalahan khalwat buat kali pertama di Mahkamah Rendah Syariah Kemaman pada 13 Mei tahun lalu.

Hakim Syarie Nik Mohd. Shahril dalam penghakimannya berkata, hukuman berat perlu dikenakan memandangkan kedua-dua tertuduh seolah-olah tidak serik melakukan maksiat dalam tempoh bertunang biar pun telah dihukum atas kesalahan khalwat buat kali pertama sebelum ini.

“Kamu berdua tidak ambil peluang untuk insaf dengan berkahwin sewaktu ditangkap pada kesalahan (khalwat) pertama dengan alasan tidak cukup duit tetapi tetap melakukan melakukan perkara sama,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan, Muhammad Shazmel Aqimie dan Tengku Nur Faresha Ulani didakwa bersama pasangan bukan mahram di dalam sebuah rumah di Kerteh, Kemaman pada pukul 3.15 pagi, 15 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31
Enakmen Kesalahan Jenazah Takzir
Terengganu 2001 (Pindaan 2022) yang memperuntukkan hukuman maksimum enam sebatan atau penjara sehingga tiga tahun dan denda maksimum RM5,000 jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Rafizi, Nik Nazmi umum hala tuju politik baru Ahad ini

Malaysiakini

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli bersama Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengumumkan hala tuju politik baru pada 17 Mei, selepas kedua-duanya meletakkan jawatan dalam kabinet sebelum ini.

Rafizi memaklumkan keputusan itu dibuat selepas tempoh setahun bagi meneliti pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor sebelum menetapkan langkah politik seterusnya.

“Tempoh setahun yang lalu telah memberi ruang kepada kami berdua mengambil kira pelbagai pandangan, pertimbangan dan faktor untuk memutuskan hala tuju politik kami yang seterusnya,” katanya.

Rafizi sebelum ini melepaskan jawatan sebagai menteri ekonomi, manakala Nik Nazmi turut mengundur diri daripada jawatan menteri sumber asli, alam sekitar dan perubahan iklim, tahun lalu.

Majlis pengumuman tersebut akan diadakan di PJ Performing Arts Centre (PJPAC) di Petaling Jaya.

Pogram berkenaan terbuka kepada orang ramai pelbagai latar belakang, khususnya “mereka yang mahu menyuburkan aliran politik progresif”.

“Majlis pengumuman ini terbuka kepada orang ramai. Saya menjemput rakyat Malaysia dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang yang mahu menyuburkan aliran politik progresif untuk sama-sama hadir ke majlis ini,” katanya.

Febuari lalu, Rafizi yang juga bekas timbalan presiden PKR yang lantang mengkritik kerajaan dilaporkan berkata dia akan mengumumkan hala tuju politiknya pada Jun ini.

Rafizi berkata hala tuju politiknya akan berpegang kepada prinsip "empat tidak", termasuk tidak menyertai mana-mana parti politik sedia ada.

Memetik laporan Sin Chew Daily, Rafizi yang juga bekas menteri ekonomi itu turut berkata dia tidak akan menyertai 'kuasa ketiga', tidak akan menubuhkan parti baru dan tidak akan bekerjasama dengan bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin. 

Bagaimanapun, Rafizi berkata dia tetap akan mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada pilihan raya umum  (PRU) ke-a16, namun enggan mengesahkan sama ada akan bertanding sebagai calon Bebas.