"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

10 pendatang haram Indonesia ditangkap ketika mahu pulang kampung

Hasrat 10 PATI ‘balik kampung’ lalu jalan tikus terbantut
MASTURAH SURADI
SEKUMPULAN migran Indonesia yang ditahan di kawasan semak Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi petang semalam ketika cuba balik ke negara mereka melalui jalan tikus. Foto POLIS
KOTA TINGGI – Hasrat sekumpulan migran warga Indonesia untuk balik ke negara mereka melalui jalan tikus terbantut apabila diberkas ketika sedang menyorok di kawasan semak Tanjung Balau, Bandar Penawar di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, bertindak atas maklumat pada pukul 6.45 petang sepasukan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Tinggi telah membuat pemerhatian selama beberapa minit dan telah ternampak sebuah kereta yang mencurigakan masuk ke dalam kawasan semak.

Katanya, pihak polis telah menghampiri kereta tersebut dan semasa pemeriksaan dijalankan, pemandu bertindak memecut laju cuba melarikan diri.

“Pihak polis kemudiannya berjaya menahan pemandu dan hasil pemeriksaan telah menjumpai seorang migran yang dirancang untuk dihantar pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan.

“Susulan tangkapan tersebut, pihak polis membuat pemeriksaan lanjut di kawasan semak dan berjaya menemui sekumpulan warganegara Indonesia yang terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita sedang bersembunyi.

“Hasil soal siasat, kesemua migran mengaku ingin pulang ke Indonesia melalui jalan yang tidak diwartakan dengan diuruskan oleh dua orang penjaga rumah penampungan yang turut ditahan semasa kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yusof berkata, kesemua tangkapan bukan warganegara berusia diantara 18 hingga 54 tahun dan rampasan telah dibawa balik ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Lelaki maut ditikam dalam pergaduhan jual beli vape ‘mushroom’

Bernama

JASIN: Seorang lelaki maut selepas ditikam dalam pergaduhan yang dipercayai berpunca daripada urusan jual beli perisa rokok elektronik (vape) berperisa “mushroom” di kawasan taman permainan di Taman Muhibbah, Merlimau, di sini, semalam.

Ketua Polis Jasin Lee Robert berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa berusia 30 tahun mengalami tikaman di bahagian belakang kanan badan hingga menembusi paru-paru kanan, selain kecederaan pendarahan di kepala.

Beliau berkata mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada 1.26 tengah hari tadi.

“Seorang lagi mangsa berusia 26 tahun mengalami kecederaan termasuk luka hirisan pada tangan kanan dan rusuk kanan serta calar pada muka. Polis menerima laporan berhubung kejadian itu malam tadi sebelum berjaya menahan empat suspek lelaki berusia antara 20 hingga 35 tahun,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Lee berkata siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham ketika urusan jual beli perisa vape berkenaan sehingga menyebabkan suspek tidak berpuas hati sebelum bertindak menyerang mangsa menggunakan pisau.

Beliau berkata pergaduhan tercetus selepas salah seorang mangsa dipercayai menegur dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap suspek.

“Suspek kemudian bertindak mengejar kedua-dua mangsa sebelum mencederakan mereka menggunakan pisau, manakala dua lagi suspek dipercayai memukul mangsa dengan tangan.

“Kedua-dua mangsa sempat melarikan diri dengan menaiki kereta sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Merlimau dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Melaka,” katanya.

Beliau berkata polis turut merampas beberapa barangan termasuk pakaian, telefon bimbit, sepasang selipar dan sebilah pisau patah yang mempunyai kesan disyaki darah bagi membantu siasatan.

Katanya semakan mendapati semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan narkotik, manakala ujian saringan air kencing mendapati tiga daripada mereka positif methamphetamine.

“Bedah siasat akan dijalankan di Hospital Melaka esok bagi mengenal pasti punca kematian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Dulu memfitnah lawan politik, kini Pas menghina para sahabat Nabi SAW

Harapandaily

DR SHAHNOR BASRI

Semakin hari, semakin sukar untuk menafikan bahawa sebahagian budaya politik Pas hari ini bukan lagi bergerak atas amanah ilmu, fakta dan data, akhlak Islam atau integriti politik, tetapi semakin tenggelam dalam budaya fitnah, tuduhan liar dan manipulasi sentimen agama.

Apa yang paling ironik, parti yang paling lantang bercakap soal dosa, pahala dan syurga inilah yang berkali-kali terseret ke mahkamah kerana fitnah dan membawa kepada masyarakat kenyataan tidak bertanggungjawab.

Ini bukan persepsi. Ini fakta yang direkodkan dalam banyak prosiding mahkamah dan laporan media.

Ahli Parlimen Pas Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad yang mendapat didikan universiti tersohor Al-Azhar dalam bidang syariah pula sudah tentulah dididik dengan amanah dan adab keilmuan, telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi kerana memfitnah pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok dengan mengaitkan mereka dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew tanpa bukti sahih.

Mahkamah bukan sahaja menolak hujah beliau, malah memutuskan kenyataan itu bersifat fitnah dan dibuat dengan niat jahat.

Beliau diarahkan membayar ratusan ribu ringgit sebagai ganti rugi. Inilah gambaran pimpinan yang tidak mempunyai suatu nilai yang tinggi untuk menggambarkan parti yang diwakilinya yang sering menggunakan imej Islam!

Bayangkan betapa rendahnya mutu politik apabila tuduhan sebesar hubungan dengan komunis dibuat hanya untuk membakar kebencian rakyat.

Lebih memalukan, pembelaan mereka akhirnya bergantung kepada “buku hantu” dan bahan tidak disahkan. Ini bukan politik Islam. Ini propaganda murahan yang berselindung di sebalik serban agama.

Namun, politik murahan Pas ini tidak berhenti setakat memfitnah lawan politik. Kini, ia melarat sehingga mencemarkan nama para sahabat Nabi SAW sendiri. Sahabat yang telah dijamin syurga pula dengan ketinggian darjat di sisi Allah dan Rasul-Nya!

Kes terbaharu melibatkan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh sungguh mengejutkan umat Islam dan amat menjengkel serta kenyataan jijik.

Dalam ceramah politiknya, beliau didakwa menggambarkan Abu Bakr al-Siddiq sebagai “bapa ceti” dan Umar ibn al-Khattab sebagai lelaki zalim dan kaki zina sebelum Islam.

Kenyataan itu bukan sahaja mencetuskan kemarahan umat Islam, malah turut mendapat perhatian pihak polis dan kerajaan. Pihak berwajib seperti pihak pentadbiran agama harus bertindak dan begitu juga pihak polis.

Walaupun beliau kemudian tampil diminta memohon maaf oleh kepimpinan Pas dan digambarkan sebagai “kurang cermat” ketika mengolah maklumat, kerosakan terhadap maruah para sahabat telah pun berlaku.

Namun, kedudukan sebagai Setiausahan Dewan Ulama’ Pas Pusat seharusnya membawa seruan keamanan, rahmah dan kemurnian Islam. Namun masih lagi membawa semagat fitnah.

Inilah masalah besar apabila agama diperalatkan untuk politik populis. Ceramah tidak lagi menjadi medan ilmu, tetapi pentas mencari sorakan dan viral media sosial.

Fakta sejarah dicabut daripada disiplin ulama. Riwayat dipermudahkan. Tokoh-tokoh Islam dibicarakan tanpa adab dan tanpa kehati-hatian ilmu.

Lebih memalukan, perkara ini datang daripada seorang pemimpin yang berada dalam struktur ulama PAS sendiri. Maka rakyat berhak dan wajib bertanya: apakah ini piawai (standard) ilmu yang PAS mahu wariskan kepada masyarakat Islam Malaysia?

Hakikatnya, pola ini semakin jelas. Fitnah dahulu. Main sentimen agama dahulu. Tuduh dahulu. Viralkan dahulu. Kemudian meminta pula rakyat mencari daripada sumber mana rujukan muktabar diambil!

Kemudian apabila disaman, dipanggil polis atau dikecam masyarakat — barulah keluar kenyataan “mohon maaf jika tersalah”. Tetapi kerosakan sosial dan pemikiran sudah pun berlaku.

Budaya beginilah yang sedang menjadi bawah yang bakal merosakkan generasi muda Islam di Malaysia.

Anak muda dibesarkan dengan mentaliti bahawa politik mesti dibina atas kebencian. Lawan politik dianggap musuh agama.

Ceramah agama dijadikan medan menghina dan mempersenda pihak lain. Semakan fakta dianggap melawan ustaz. Kritikan dianggap ancaman terhadap Islam.

Akhirnya lahirlah masyarakat yang malas berfikir tetapi rajin membenci. Lebih berbahaya, apabila budaya fitnah dinormalisasikan oleh pemimpin agama-politik, masyarakat akan mula menganggap bahawa berbohong demi parti adalah halal selagi dibungkus dengan ayat agama.

Ini racun yang menghancurkan tamadun.

Negara tidak akan maju dengan politik yang hidup atas teori konspirasi dan sentimen kebencian. Umat Islam tidak akan dihormati jika pemimpinnya sendiri gagal menjaga amanah ilmu dan adab terhadap para sahabat Rasulullah SAW.

Pas selama ini suka menjual imej “parti paling Islam”. Tetapi semakin banyak insiden menunjukkan bahawa sebahagian politik mereka lebih dekat kepada budaya menghukum, memfitnah dan memperalatkan agama daripada membina masyarakat berilmu dan matang.

Topeng kesucian boleh dipakai di pentas ceramah. Tetapi fakta mahkamah, rakaman video dan kenyataan terbuka tidak boleh dipadam.

Rakyat kini perlu memilih dengan jujur: adakah Malaysia mahu dipimpin oleh budaya politik yang membina masa depan negara dengan ilmu, ekonomi dan perpaduan — atau oleh politik yang hidup dengan fitnah, ketakutan dan lakonan suci setiap kali mikrofon dihidupkan?

Inilah gaya kepimpinan Pas terkini berbanding pendekatan kekukuhan ilmu, Islam yang syumul dan rahmah yang dibawa oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abul Aziz Nik Mat. Kina PAS jauh daripada agenda Rahmah dan Keadilan Untuk Semua!

*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Akademi Sains Islam, Jordan.