"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Adun Pitas, keluarga peluk Islam

Bernama

Ruddy Awah bersama isteri dan anak bongsunya lafaz syahadah dibimbing Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar.
ruddy awah
Majlis pengislaman Adun Pitas Ruddy Awah bersama isteri dan anak bongsunya disiarkan secara langsung menerusi Facebook. (Gambar Facebook)
PITAS: Adun Pitas Ruddy Awah bersama isteri, Asiah Udin, dan anak bongsu mereka secara rasmi memeluk Islam di kediaman mereka di Kampung Salimpodon Laut hari ini.

Majlis pengislaman Ruddy, 58, yang juga pembantu menteri kerja raya dan utiliti Sabah, bersama Asiah, 56, serta anak bongsu mereka, Aswady, 26, disiarkan secara langsung menerusi Facebook.

Majlis yang dimulakan dengan lafaz syahadah secara bersama dan bergilir-gilir beserta bacaan pengertian dalam bahasa Melayu itu diteruskan dengan laungan azan, bacaan ayat suci al-Quran, selawat serta kenduri kesyukuran.

Lafaz dua kalimah syahadah itu dibimbing Mufti Sabah Bungsu @ Aziz Jaafar dengan disaksikan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Arifin Arif serta Setiausaha Kerajaan Negeri Zainudin Aman.

“Pada hari ini adalah hari bersejarah buat saya, isteri dan anak saya kerana kami selamat melafazkan dua kalimah syahadah dan saya amat gembira dengan hidayah ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu.

Ruddy yang mempunyai enam cahaya mata berkata, empat daripada anaknya telah terlebih dahulu memeluk Islam, sekali gus menjadi pendorong utama perjalanan hidayah keluarganya.

Katanya, keputusan itu diambil atas keikhlasan hati tanpa sebarang paksaan serta bukan batu loncatan untuk mengejar pangkat atau kedudukan selepas merasakan tiada lagi kepentingan duniawi yang mahu dikejarnya.

Ruddy menjelaskan, beliau bersama isterinya yang sebelum ini berpegang kepada kepercayaan pagan telah mendalami ajaran Islam selama lebih 10 tahun bagi mencari pegangan hidup yang sebenar.

“Ramai antara rakan-rakan yang sudah mengerjakan umrah, saya bagi sedekah dan minta mereka sebut nama saya serta doakan supaya saya menjadi sebahagian daripada keluarga Islam,” katanya mengenai hasratnya yang telah lama terpendam.

Majlis penuh bermakna itu turut dihadiri oleh barisan menteri dan pembantu menteri Sabah serta masyarakat setempat.

Tutup lebuh raya untuk lumba haram, 8 ditahan

FMT Reporters

Kesemua suspek akan direman di Mahkamah Majistret Kulai esok, kata polis.
Polis kesan video kejadian yang tular di FB pada petang Sabtu, papar perlumbaan haram di Lebuhraya Linkedua.
PETALING JAYA: Polis menahan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung kejadian laluan di Lebuhraya Linkedua ditutup bagi memberi laluan kepada perlumbaan haram.

Ketua Polis Kulai Tan Seng Lee berkata, kesemua suspek berusia 26 hingga 45 tahun itu akan direman di Mahkamah Majistret Kulai esok mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah, lapor Sinar Harian.

Terdahulu, polis mengesan video kejadian berkenaan yang tular di Facebook pada petang Sabtu.

Video itu memaparkan dua motosikal yang nombor pendaftaran dan jenisnya tidak dapat dikenal pasti, bersaing sesama sendiri dari KM33, susur Tol Senai Utara hingga KM31, susur Johor Premium Outlet (JPO).

Mengulas lanjut, Tan berkata, pihaknya turut cuba mengesan individu lain yang berada di lokasi kejadian dan menyaksikan perbuatan tersebut.

Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti semua individu terbabit, tambahnya.

Pukul jiran dengan besi, seorang lelaki ditahan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang warga emas ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan yang menyebabkan seorang lelaki berusia 80 tahun cedera parah akibat dipukul dengan batang besi.

Ketua Polis Timur Laut Abdul Rozak Muhammad berkata, siasatan mendapati pergaduhan membabitkan suspek lelaki berusia 62 tahun itu dan mangsa, yang juga jirannya, berlaku pada 9.30 pagi di depan sebuah rumah di Jalan Perak, George Town.

“Siasatan awal mendapati insiden tersebut dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mereka,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Akibat insiden tersebut, mangsa yang cedera parah pada bahagian tangan dan kaki kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Abdul Rozak berkata, polis telah menahan lelaki tersebut serta merampas sebatang besi yang dipercayai digunakan untuk memukul jirannya.

Tambahnya, lelaki itu akan direman esok bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

Terdahulu, tular video berdurasi 15 saat memaparkan seorang lelaki terbaring di depan sebuah rumah dipercayai cedera parah selepas dipukul jirannya