"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Teresa Kok Saman Syed Hamid Bersama 3 Lagi

 
Laporan Bernama menyebut anggota Parlimen Seputeh Teresa Kok Suh Sim hari ini mengemukakan saman terhadap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar dan tiga yang lain kerana mendakwa beliau ditangkap dan ditahan secara salah di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tahun lepas.

Kok memfailkan saman dan pernyataan tuntutan itu melalui Tetuan S.N. Nair & Partners di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada kira-kira pukul 8.40 pagi.

Selain Syed Hamid sebagai defendan pertama, Kok, selaku plaintif, turut menamakan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, DSP E Kim Tien dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua, ketiga dan keempat.

Dalam tuntutan itu, Kok mendakwa pada pukul 11.15 malam, 12 Sept, 2008, defendan-defendan telah menangkapnya di pintu masuk kediaman beliau di Pearl Tower OG Heights di sini, secara paksa dan merbahaya, sebelum dibawa ke Balai Polis Wangsa Maju di mana beliau ditahan selama lebih dua jam tanpa diberi kebenaran untuk menghubungi saudara terdekat atau peguamnya.

Kok mendakwa pada pukul 2 pagi, 13 Sept, 2008, di Balai Polis Wangsa Maju, beliau telah dimaklumkan oleh defendan ketiga bahawa beliau ditahan di bawah seksyen 73(1) ISA 1960 atas alasan telah melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum.

Selanjutnya Kok mendakwa beliau telah dihantar ke sebuah tempat penahanan rahsia dan ditahan di situ sehingga 19 Sept, 2008, tanpa dibicarakan.

Kok mendakwa alasan penangkapan dan penahanannya adalah tidak benar dan tidak berasas.

"Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Ismail Omar telah membuat kenyataan rasmi akhbar pada 19 Sept, 2008 yang diterbitkan di media bahawa plaintif telah dilepaskan tanpa syarat kerana 'the police was satisfied that she was not a threat to public order and security'.

"Disebabkan oleh kecuaian, sewenang-wenangnya dan secara semberono defendan-defendan dalam membuat tangkapan dan penahanan yang tidak sah, plaintif telah diletakkan di bawah tekanan mental yang teruk, kesakitan dan kesengsaraan akibat keracunan makanan, penafian yang tidak sah terhadap hak berperlembagaan," kata Kok dalam tuntutan itu.

Kok memohon mendapatkan gantirugi untuk tangkapan salah dan penahanan tidak sah, gantirugi kesakitan dan kesengsaraan, gantirugi untuk tekanan mental, gantirugi am dan khas dan relif-relif lain daripada mahkamah.

PPSMI:Gara-gara Pengkhianat Bangsa dan Bahasa


Ramai juga Melayu yang sokong bahasa Melayu dihapuskan perlahan-lahan melalui projek PPSMI, dengan memberi alasan bahasa Inggeris adalah bahasa dunia yang akan memberi pekerjaan kepada anak-anak kita nanti. Mereka berhujah seperti tabiat katak puru bahawa tanpa kefasihan berbahasa Inggeris, siswazah tidak akan dapat kerja dalam semua organisasi swasta yang mengutamakan bahasa Inggeris dan Mandarin. Mereka bercakap seolah-olah tiap organisasi yang hendakkan bahasa Inggeris itu perlukan 30-40,00 pekerja yang semuanya mesti fasih berbahasa Inggeris. Mengapa mereka tidak sebut para ahli Dewan Rakyat bercakap Melayu seperti orang kelemasan, tidak saja tidak fasih, tetapi biadab pula hingga terpaksa ditegur oleh Agong.

Tapi kita perhatikan 
Dewan Rakyat sekarang sudah mula menggunakan bahasa Inggeris, hatta oleh Speaker sendiri. Tak perlu sebut “dengan izin” lagi. Sudah bebas betul. Adakah ini gara-gara projek PPSMI? Kata mereka, dengan mengukuhkan PPSMI di sekolah-sekolah, bahasa Melayu tidak diketepikan, hanya tidak dijadikan bahasa matematik dan sains. Bahasa Melayu terus diajar dan terus dipertuturkan di rumah dan di sekolah, oleh itu tidak ada sebab PPSMI mesti dihapuskan. Pandangan cetek dan bodoh begini begitu yakin diucapkan, begitu membanggakan, walaupun setelah 51 tahun lebih merdeka, membuktikan betapa kuatnya pengaruh kolonial dalam cara berfikir. 

Mereka yang berpandangan begini hanya mementingkan keperluan jangka pendek diri sendiri (misalnya alasan untuk senang dapat kerja), tetapi langsung tidak memberi perhatian kepada akibat jangka panjang apabila bahasa Melayu diketepikan sebagai bahasa ilmu. Mengapa bahasa Melayu diperlekehkan begitu rupa? Sebab pertama ialah tidak ada kepercayaan kepada kemampuan bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Ini pandangan orang yang agak fasih berbahasa Inggeris, tetapi bukan golongan berilmu. Silapnya ialah merekalah yang diberi kuasa dan yang membuat dasar. Sebab kedua, pakar-pakar yang telah dihasilkan melalui bahasa Melayu selama 40-50 tahun ini dianggap sangat lekeh, masih bergantung pada bahasa Inggeris dan akan lumpuh sebagai ahli matematik dan ahli sains jika tidak kerana bahasa Inggeris.

Penghinaan ini dilakukan oleh golongan pertama tadi, yang berasa sudah ketinggalan kerana bahasa ilmu dalam bahasa Melayu berada di luar kemampuan mereka untuk difahami. Ketiga, dan paling penting, ahli politik yang berkuasa lebih 51 tahun di kalangan UMNO/BN melihat lubuk kekayaan yang melimpah ruah jika bahasa Inggeris dijadikan bahasa pendidikan moden. Mereka memperdagangkan bahasa Inggeris, dan sekali gus mengetepikan bahasa Melayu. Yang perlu diberi perhatian di sini ialah hakikat bahawa mereka memang mengetepikan bahasa Melayu yang dianggap menghalang mereka daripada mendapat kekayaan melalui perdagangan pendidikan itu.

Siapa mahu belajar bahasa Melayu di Malaysia? Tetapi pelajar seluruh dunia akan tertumpu ke Malaysia jika bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar. Sekarang 
orang Melayu harus faham bahawa mereka telah ditipu oleh para pemimpin mereka, ahli-ahli politik yang seronok bercakap tentang masa depan bangsa dan bahasa Melayu, tetapi perbuatan mereka menuju kepada terhapusnya bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ini satu pengkhianatan, dan ini mesti difahami oleh orang Melayu/Malaysia. Kita harus memanggil mereka pengkhianat kerana pada dasarnya mereka adalah berjiwa pengkhianat. Tidak saja mereka pengkhianat, tetapi cara mereka mengaut keuntungan daripada perdagangan bahasa Inggeris itu terlalu kasar dan biadab.

Jika tujuan mereka untuk mencerdikkan bangsa Melayu, mengapa tidak boleh dibuat dengan meningkatkan mutu bahasa itu sebagai bahasa ilmu? Mengapa mesti digantikan dengan bahasa Inggeris? 
Jika mereka ingin menjadikan matematik dan sains sebagai asas pembinaan tamadun Malaysia, mengapa mesti melalui bahasa Inggeris, tidak bahasa Melayu? Inilah kekeliruan mereka yang lahir dari jiwa mereka yang memang memperlekehkan bahasa Melayu. Inilah bukti bahawa mereka sebenarnya hanya berminat mendapat kekayaan kebendaan, bukan membina tamadun. Sebab itulah mereka mesti disebut dan dianggap sebagai pengkhianat.

Sekarang pengkhianat ini melemparkan semua jenis kejahatan kepada pejuang bahasa, dengan tuduhan paling keji bahawa para pejuang itu tak lebih daripada alat pembangkang untuk mencapai cita-cita politik mereka. Satu lagi jenis perlekehan para pengkhianat ini terhadap sesiapa juga yang tidak bersetuju dengan mereka dan menentang mereka. Mengapa orang Melayu melahirkan dan membiarkan hidup pemimpin seperti ini? Semuanya kerana kekeliruan mereka terhadap peranan sebenar UMNO. Orang Melayu tidak diajar untuk membezakan antara “perunding” kemerdekaan, iaitu peranan UMNO dan para pemimpinnya yang ditaja oleh Inggeris (tegasnya: UMNO adalah tajaan penjajah Inggeris), dengan “pejuang” kemerdekaan yang sebenarnya.

UMNO telah berjaya menghapuskan nama-nama penting pejuang kemerdekaan dalam sejarah Malaysia, dengan 
mendakwa merekalah “pejuang” sebenar yang telah pun berjaya mendapatkan “kemerdekaan” daripada Inggeris tanpa tumpah setitik darah. Satu kejayaan besar dan satu keistimewaan, kata mereka. Mereka lupa pembunuhan terjadi selepas merdeka, hasil hasutan mereka setelah diketepikan dalam pilihan raya 1969. Sekarang mereka menunggu 13 Mei II untuk membuang dasar PPSMI ke Lautan China yang mereka harap akan terjadi untuk memastikan mereka terus berkuasa.

Segala ucapan mereka pada waktu ini semuanya 
terarah untuk menimbulkan huru-hara, penuh amaran dan fitnah untuk menyediakan suasana yang membolehkan mereka mencetuskan huru-hara. Ada yang sampai melanggar Dewan Rakyat untuk menunjukkan kehebatan mereka. Sanggupkah orang Melayu berbunuhan kerana PPSMI? Nampaknya mereka disediakan oleh para pengkhianat ini untuk menuju ke arah itu. (9/3/2009)

Mohd Affandi Hassan

(* Mohd Affandi Hassan ialah sasterawan, pengkritik sastera dan pemikir budaya yang banyak menghasilkan novel, cerpen dan artikel yang berkaitan budaya dan sastera Melayu. Beliau juga pesara PTD dan bekas pegawai tinggi dalam beberapa kementerian yang lantang menyuarakan pandangan dari kritikan yang bernas.) 

prima                                             http://greenboc.blogspot.com/

Gaji Pengerusi Syabas RM425,000 sebulan, mampu tampung bil air rakyat

Azamin Amin 
KUALA LUMPUR, 13 Mac (Hrkh)
 - Dewan Rakyat kelmarin menjadi sedikit 'riuh' apabila diberitahu bahawa gaji Pengerusi Syabas Tan Sri Razali Ismail sejumlah RM5.1 juta setahun.

Perkara ini diungkap kembali oleh Ahli Parlimen Permatang Pauh Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan tambahan 2009 yang dalam masa yang sama menjawab soalan Ahli Parlimen Titiwangsa Dr. Lo' Lo' Ghazali berhubung gaji dan elaun pengurus atau pengarah GLC.

"Apa dan mengapa nak dirahsiakan gaji GLC ini? Gaji syarikat boleh dibuka. Oleh sebab itu seperti mana yang saya sebutkan tadi, keadaan di Syarikat Bekalan Air Selangor bila tanggungan begitu bila sudah naikkan beban bagi rakyat, baru kita tahu rupa-rupanya pengurusnya RM5.1 juta.

"Itu basic belum lagi elaun-elaun tambahan. Ini keterlaluan kalau dibiarkan keadaan begitu," kata Anwar.

Sementara itu turut menarik perhatian ahli-ahli dewan ialah Zulkifli Noordin(KeADILan -Kulim Bandar Baharu) yang membuat pecahan kiraan gaji pengerusi syarikat air itu yang boleh dimanfaatkan oleh rakyat.

"Saya buat 'simple calculation' ini. Pada gaji RM5.1 juta setahun, bermakna gaji beliau RM425,000 sebulan. Satu hari, gaji dia RM14,166... Satu jam gaji dia RM1,770. Satu minit, dia dibayar RM29.51...

Kata Zulkifli gaji beliau itu boleh membayar gaji 34 Ahli Parlimen sebulan ataupun boleh membayar 425 anggota polis dengan gaji RM1,000 sebulan.

"Bermakna lima unit FRU boleh ditanggung dengan gaji beliau... ataupun kalau bil air... RM100 sebulan, boleh membayar 4,250 rumah atau kalau bil air itu RM50, boleh bayar 8,500 sebulan," katanya yang menyebabkan ramai ahli parlimen ketawa dan cuba mencelah.