"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Usaha Memulihkan Umno Kurang Diyakini! / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Mohd Sayuti Omar

BILA diminta pandangan umum - rakan-rakan Facebook mengenai nawaitu Umno hendak memperbaiki parti berkenaan dengan meminda perlembagaanya hari ini, ramai kawan-kawan FB saya memberi pandangan yang hampir sama.

Soalan yang saya lontarkan berbunyi; Sejauh mana keyakinan anda pindaan perlembagaan Umno yang dibuat hari ini dapat menaikkan martabat parti berkenaan? Apakah pindaan itu mampu menghapuskan politik wang dan akhirnya mengukuhkan Umno? Ataupun pindaan itu tak ubah seperti seribu janji yang pernah ditabur sebelum ini untuk memperkukuhkan parti tersebut yang mana akhirnya kosong belaka.

Jawaban dan ulasan yang diberikan hampir sama saja nadanya. Rata-rata tidak yakin atau kurang percaya dengan langkah itu boleh merubahkan Umno. Ada setengah beranggapan isu itu hanya gimik saja tanpa membawa kesan yang diharapkan.

Ada seorang dua bersikap lebih tasamuh untuk melihat perubahan itu dalam tempoh setahun dua. Mereka mahu diberikan masa untuk melihat perubahan yang diharapkan itu.

Pandangan rakan FB adalah pandangan bebas dan agak jujur. Kebanyakan mereka bukan menjadi pengikut parti yang totok ataupun berfikir hanya satu juring saja. Pandangan mereka boleh digunapakai sebagai pandangan yang sihat dari generasi muda.

Sekiranya pandangan ini boleh dianggap mewakili generasi muda dan cerdik pandai, ini bermakna usaha Umno meminda perlembagaan itu tidak membawa banyak perubahan. Politik wang tetap juga akan berlaku di dalam parti itu yang sudah berakar umbi. Kegagalan ini akan membawa natijh kehancuran kepada Umno.

Selain itu ada juga yang bersetuju dan memberi cadangan kalau Umno ingin menghapuskan rasuah politik dalam parti itu dan juga dalam kerajaan bukan dengan cara meminda perlembagaan yang memberi kuasa luas kepada pemilihan tetapi mesti harus ada penekanan pembangunan keagamaan dalam setiap hari ahli Umno dan rakyat.

Maksudnya ahli Umno harus ditunjungi dengan keimanan yang tinggi, di mana mendidik mereka mengenali dan yakin kepada soal dosa dan pahala. Mereka yang sedia melaku dan menerima rasuah ialah kerana tidak percaya kepada soal dosa dan pahala. Kalau mereka yakin pasti mereka tidak akan melakukannya.

Rasuah tidak dapat dicegah dengan undang-undang melainkan dengan iman yang tebal. Semoga pendapat rakan FB saya ini tidak akan diketepikan oleh pihak Umno khususnya dan juga golongan politik di negara ini.

Persoalan rasuah politik bukan saja berlaku dalam Umno dewasa ini. Tetapi ia juga turut mula bercambah dan membibit dalam parti-parti lain yang dulunya dilihat kontras dengan perbutan syaitan yang menjijikkan itu. Cuma parti lain itu bernasib baik kerana rasuahnya masih lagi tersembunyi dan dilindung dengan kitab-kitab tertentu. Hakikinya rasuah sudah berleluasa dalam benua politik Malaysia.

Pindaan perlembagaan oleh Umno kerana hendak menghapuskan rasuah ini diharap bukan saja dilihat penting oleh ahli Umno tetapi biarlah ia juga dijadikan renungan oleh semua golongan politik di negara ini.
[wm.kl. 8:45 pm 15/10/09]

http://msomelayu.blogspot.com/

GANESAN SPEAKER HARAM NEGERI PERAK / Nizar vs Zambry

Dato' R Ganesan a/l Retasam yang mengisytiharkan diri sebagai Tuan Yang Di Pertua Dewan Negeri Perak bercakap bohong dan beliau tidak layak menjadi Speaker mengikut Peruntukan Perlembagaan Negeri Perak.

Majlis Peguam Malaysia pada 24/8/2009 melalui Setiausahanya, George Varughes mengesahkan bahawa Ganesan hanya mengemukakan surat akuan sumpah meletakkan jawatan pada 17/8/2009. Tarikh tersebut telahpun melepasi tempoh 3 bulan sebagaimana yang ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh kerajaan Negeri Perak.

Perkara 36A(5) Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyebut bahawa sesiapa yang menjawat jawatan Speaker mesti melucutkan atau meletakkan jawatan profession dalam tempoh 3 bulan dari tarikh memegang jawatan. Ganesan mendakwa beliau dipilih sebagai Speaker dalam persidangan Dewan pada 7/5/2009. Berdasarkan peruntukan undang-undang tersebut, beliau wajib meletakan jawatan pada atau sebelum 7/8/2009.

Dalam rekod rasmi Majlis Peguam Malaysia pada 11/8/2009 menunjukkan Ganesan telah gagal meletakkan jawatan dan masih aktif sebagai pengamal undang-undang.

Ganesan pula telah cuba menyembunyikan fakta tersebut dengan menghantar notis kepada Majlis Peguam hanya pada 13/8/2009 dan mendakwa telah letak jawatan sebagai peguam pada 6/8/2009, iaitu sehari sebelum habis tempoh 3 bulan yang ditetapkan oleh Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri. Persoalannya bagaimana seorang boleh letak jawatan pada 13/8/2009 tetapi berkesan mulai 6/8/2009.

Selain itu, tatacara perlantikan beliau juga tidak sah. Perlu diingat bahawa Ganesan bukan seorang Ahli Dewan Negeri, beliu didapati menceroboh masuk ke dalam bangunan Dewan Negeri pada 7/5/2009. Sebelum DYTM Raja Muda Perak merasmikan persidangan Dewan Negeri pada hari tersebut, beliau telah mengisytiharkan diri sebagai Tuan Yang Dipertua Dewan menggantikan Tuan Yang Dipertua Dewan yang sah, YB Sivakumar yang ketika itu masih berada di tempat duduk Speaker dalam Dewan.

Pada hari dan waktu yang sama, YB Sivakumar selaku Speaker yang sah telah diheret keluar dengan kasar dan biadab oleh segerombolan lelaki yang dipercayai anggota polis, sebahagiannya didapati bersenjata pistol. Sivakumar diseret keluar dan dikurung dalam stor lebih dari satu jam. Ketika itulah Ganesan mengisytiharkan dirinya sebagai Speaker Dewan.

Berdasarkan ini, Ganesan tetap bukan Spesker yang sah dan beliau tidak layak memanggil sidang DUN Perak pada 28/10/2009 ini. Kalau sidang tersebut tetap dijalankan menjadikan sidang tersebut juga tidak sah.

Kenyataan ini dikeluarkan oleh semua adun-adun PR negeri Perak yang tidak mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker Dewan Negeri Perak yang sah.

Amaran buat Pakatan Rakyat / UBN Najib Altantuya / PKFZ

Mohd Rashidi Hassan

Keputusan Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang, Teluk Kemang, Negeri Sembilan seharusnya diberikan perhatian yang sangat serius di kalangan pemimpin dan ahli-ahli Pakatan Rakyat.

Penelitian yang serius harus dibuat, bukan kerana calon Pakatan Rakyat 'tewas' atau calon Barisan Nasional menang di situ.

Pakatan Rakyat sudah menang tujuh kali pilihan raya kecil di semenanjung. BN baru menang satu. Dari segi nisbahnya amat jauh. Keputusan Bagan Pinang bukan kayu pengukur untuk mengatakan Pakatan Rakyat semakin lemah atau BN semakin kuat.

Walau apa pun keputusannya, post-mortem harus dibuat bagi mengenalpasti apakah wujud kelemahan untuk diperhalusi dan diatasi.

Namun, Pakatan Rakyat harus membuat pemerhatian yang serius, kerana kebarangkalian besar pendekatan 'ala Bagan Pinang' akan diadaptasikan BN pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Sudah tentu hasil pemerhatian tujuh kali kalah dalam PRK, menjadikan BN cukup matang dan cukup bersedia menghadapi Pakatan Rakyat dengan segala taktik yang terancang.

Justeru, BN selaku parti pemerintah yang sudah berkuasa selama lebih 50 tahun, sudah tentu tidak akan sewenang-wenangnya, mahu 'menyerahkan tengkuknya' untuk disembelih Pakatan Rakyat.

Sudah tentu mereka akan bertungkus lumus bagi menghadapi kemaraan Pakatan Rakyat setelah kehilangan kuasa di lima negeri dan hilang dua pertiga majoriti di Parlimen.

Pendekatan di Bagan Pinang akan dijadikan model utama memanipulasi sokongan rakyat dengan memaksimumkan penyalahgunaan kuasa, memanipulasi media, menyalahgunakan jentera kerajaan, berkempen secara peras ugut dan merasuah rakyat sebagai usaha untuk mengekalkan kuasa pemerintahan BN.

Bagi Umno, keputusan PRK Bagan Pinang amat menggembirakan. Ia seolah-olah memberi signal kepada Umno bahawa, rakyat masih termakan janji dan umpan mereka.

Umno kini merasakan bahawa mereka boleh kekal dan akan kekal ditampuk kuasa kerana rakyat, khususnya kaum Melayu dan India memang boleh dibeli.

Umno-BN harus membiarkan Melayu, India dan sebagainya berada dalam keadaan miskin. Dengan kemiskinan inilah menyebabkan mereka mudah diumpan. Beri sahaja dua tiga ratus, mereka akan menjual undi kepada BN.

Akibat kemiskinan dan kehidupan yang melarat, menyebabkan rasuah berleluasa. Umno-BN merasuah kerana hendak mengekalkan kuasa, manakala rakyat yang menerima rasuah, mengambilnya atas kepentingan tertentu.

Rasuah sudah menjadi amalan yang sebati dalam Umno. Bagi mereka rasuah tidak haram kerana 'yang memberi' dan 'yang menerima', sama-sama melakukannya di atas kerelaan sendiri.

Masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat, bukan sekadar rasuah wang ringgit. Menyalahgunakan kuasa juga satu rasuah. Secara tradisinya pemimpin-pemimpin Umno, nampaknya sudah mangli melakukan 'rasuah salahgunakuasa'.

Mengunakan kuasa Umno-BN, selaku penguatkuasa undang-undang dengan mengerahkan polis dan tentera undi mengundi BN. Mengerahkan segala inteligen bekerja keras membuat risikan untuk memenangkan calon BN.

Lebih buruk daripada itu, dengan kuasa kerajaan dan kewangan yang ada, Umno-BN mula melakukan siri kempen yang ganas, dengan mengupah samseng-samseng jalanan mengkasari, memukul dan mencederakan petugas Pakatan Rakyat.

Selain itu, Pakatan Rakyat menghadapi masalah besar akibat ketidaktelusan Suruhanjaya Pilihan Raya mengendalikan pilihan raya secara adil, saksama dan bebas.

Oleh kerana perlantikan peneraju SPR terdiri daripada orang yang dicadang dan disokong oleh Umno, atas jawatan Perdana Menteri dan sebagainya, SPR dilihat tidak bebas kerana berkhidmat untuk kepentingan Umno-BN.

SPR membuat persempadanan semula kawasan pilihan raya di atas kehendak Umno, SPR dikatakan pernah mengunakan khidmat Puteri Umno untuk membantu tugasnya, SPR menguatkuasakan peraturan-peraturan yang mengawal perjalanan kempen di atas tekanan Umno. SPR sering mengeluarkan senarai pengundi yang berbeza dan meragukan.

Tidak mustahil SPR akan digemblengkan dengan lebih dahsyat lagi pada PRU ke-13, demi untuk melindungi kepentingan Umno.

Semua 'trend' yang dicatatkan di atas, amat merbahaya sebenarnya. Ianya adalah loceng amaran buat Pakatan Rakyat, bahawa demi mempertahankan kuasa Umno-BN sama sekali tidak akan mempedulikan tata etika, peraturan, undang-undang dan kesaksamaan.

Jelas, dengan apa cara sekalipun, Umno-BN mahu terus merajai pentadbiran negara. Maka kepimpinan Pakatan Rakyat tidak harus berdiam diri. Pakatan Rakyat harus segera memperhalusi strategi dan mencari jalan keluar.

Kebobrokan dan keegoan Umno-BN ini, harus dihentikan serta merta.