Gadai tunang langsai hutang
Lebih mengaibkan perbuatan terkutuk yang menimpa gadis berusia 21 tahun itu berlaku di rumah nenek lelaki terbabit di Lempaung di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa terlebih dulu dipelawa tunangnya untuk bermalam di rumah neneknya, namun lelaki terbabit mula mengatur helah dengan memberi alasan dia terpaksa keluar kononnya untuk berjumpa seseorang dan meninggalkan mangsa bersama neneknya.
Tidak lama kemudian, tiba-tiba seorang lelaki berusia 19 tahun dipercayai kenalan tunangnya datang dari belakang sebelum menolak pintu bilik dan mengarahkan gadis berkenaan mengunci pintu sebelum merogolnya.
Difahamkan, sepanjang kejadian, mangsa merintih meminta tolong daripada nenek tunangnya, namun wanita berusia 60-an itu tidak mampu berbuat apa-apa berikutan pintu bilik dikunci dari dalam.
Ketua Polis Daerah Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek melarikan diri sejurus selesai melampiaskan nafsunya, namun polis tidak memerlukan masa lama untuk menjejakinya.
“Dengan bantuan orang kampung, polis menahan suspek kira-kira jam 2.30 petang keesokan hari. Mengikut keterangan awal daripada suspek, dia melakukan perbuatan itu selepas membuat perjanjian dengan tunang mangsa.
“Suspek turut mendedahkan, tunang mangsa berusia 19 tahun ketika itu kehabisan wang berjanji akan menyerahkan gadis berkenaan jika dia gagal membayar hutang akibat kalah judi,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan reman suspek selama tujuh hari bermula kelmarin bagi membantu siasatan dan tunang mangsa bakal dipanggil memberi keterangan berikutan pengakuan suspek itu.
Polis menyiasat kes ini mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, manakala gadis berkenaan dihantar ke Hospital Betong untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
Naib Presiden PAS: Tidak salah MP DAP Serdang berada di surau
“Tidak menjadi satu kesalahan atau masalah bagi wakil rakyat bukan Islam mengunjungi masjid atau surau untuk memberi bantuan,” kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar ketika ditemui The Malaysian Insider di sini hari ini.
Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, jika hendak mempertikaikan wakil rakyat itu tidak memakai tudung, tindakan tidak mengenakan tudung, “ia tidak mengharamkan seseorang daripada datang ke masjid.”
“Cuma ia menjadi adap, bukan syarat (mengenakan tudung) apabila masuk ke masjid, surau... bukan syarat tetapi adap,” kata beliau.
Terdahulu beliau menyampaikan takzirah di masjlid bandar Kinrara selepas solat Jumaat.
“Ketika di masjid Kinrara, saya ada menimbulkan contoh, bagaimana masjid ini kemungkinan dibina oleh seorang Cina walaupun projeknya diperoleh oleh seorang Bumiputera, dan pekerja-pekerjanya mungkin dari Myanmar, yang bukan beragama Islam.
“Adakah kita melarang dia daripada memasuki masjid dan surau ketika sedang dibina?” kata Mahfuz sambil menambah, dalam kes Teo beliau sebenarnya dibenarkan oleh pengurusan surau.
“Dari hukum tidak menjadi masalah... sama seperti isu doa, membaca doa untuk bukan Islam, bukan satu kesalahan, kita minta hidayah, tetapi isu itu dipolitikkan,” kata beliau lagi.
Teo dipetik sebagai berkata beliau tidak faham sebab kunjungannya ke surau itu menjadi kontroversi dan “dipermainkan-mainkan” kerana hanya berniat ikhlas.
“Kunjungan ke surau Al-Huda, Kajang adalah satu lawatan yang mesra, (dan) ikhlas untuk berjumpa dengan penduduk di situ. Mereka menerima kehadiran saya,” kata wakil rakyat penggal pertama ini.
Utusan Malaysia dalam laporan muka depan hari ini memetik Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, perkara tersebut tidak harus berlaku kerana orang bukan Islam tidak dibenarkan memasuki masjid dan surau, apatah lagi ruang solat utama kerana mereka dikategorikan seperti wanita yang didatangi haid.
Teo menjelaskan beliau hanya mahu menyampaikan sumbangannya bagi memperbaiki pagar seperti yang diminta oleh pihak pengurusan surau tersebut.
Mengenai tindakan memasuki ruang solat utama di surau itu, Teo berkata, beliau hanya memenuhi jemputan.
“Pada hari tersebut mereka menjemput saya masuk,” katanya.
Ditanya kenapa beliau tidak memakai tudung ketika memasuki surau, Teo yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP menjelaskan:
“Saya tidak dinasihatkan oleh (pengurusan) surau untuk memakai tudung. Saya (pun pada mulanya) tidak menyangka saya boleh masuk surau itu.
“Pada kebiasaannya saya hanya berada di luar surau sahaja. Ini bukan kali pertama saya ke surau itu. Sebelum ini saya berada di luar,” katanya yang sudah mengunjungi beberapa surau sepanjang Ramadan yang bermula 11 Ogos lalu.
Dalam laman webnya Teo berkata:
“Beliau yang hadir berbaju kebaya disambut oleh Pengerusi Surau Ustaz Azemi Ahmad dan ahli dan kariah surau sebaik sahaja selesai ibadah solat sunat tarawih dikerjakan.”
Teo berharap dengan kunjungan beliau kali ini akan menambah lagi kemesraan dan persahabatan di antara masyarakat berbilang kaum.
“Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan negeri Selangor ada membuat penawaran bantuan pinjaman pelajaran kepada lepasan-lepasan SPM di mana pinjaman yang terbuka kepada permohonan anak-anak negeri Selangor ini akan berubah menjadi biasiswa jika keputusan peperiksaan peminjam di universiti adalah cemerlang.
“Beliau menyeru kepada semua agar mengambil peluang tersebut supaya tiada anak-anak yang tercicir untuk memasuki ke universiti semata-mata disebabkan masalah kewangan,” kata laman web itu.
Ibrahim Ali: Ahli Umno akan gembira jika Khairy keluar
“Saya rasa ramai ahli Umno gembira kalau dia letak jawatan atau tinggalkan Umno kerana semasa bapa mertuanya jadi perdana menteri, menyebabkan antara punca BN dan Umno kalah teruk pilihan raya umum ke-12,” kata beliau.
Kata Ibrahim, sekiranya majoriti ahli Umno menyokong Perkasa ia adalah satu tanggapan melucukan.
“Apa penyakit KJ?... mungkin tidak dilantik sebagai timbalan menteri, maka kecewanya sudah klimaks dan jadi Perkasa sebagai alasan,” katanya.
“Pada saya, tanpanya mungkin rakyat lagi senang hati pada Umno... apa pun kesian dia.
“Dulu besar kepala... sekarang bila bapa mertua tak jadi PM, maka taring dah hilang, merapu tak tentu pasal,” kata Ibrahim mengulas kenyataan terbaru Khairy terhadap Perkasa kelmarin.
Dalam kenyataan yang dilihat menyindir pendirian Perkasa dalam isu-isu tertentu, Khairy memberi amaran beliau akan meninggalkan parti itu jika majoriti ahlinya menyokong pertubuhan bukan kerajaan Melayu, Perkasa yang ditubuhkan selepas pilihan raya umum 2008.
Menyangkal tanggapan Ahli Parlimen Shah Alam dari PAS Khalid Samad bahawa Umno kini ‘tenggelam’ di sebalik aktiviti Perkasa yang dipimpin Ibrahim, Khairy berkata, bukan setiap ahli parti dominan Barisan Nasional itu menyokong pertubuhan tersebut.
“Jika wujud situasi di mana mereka (ahli Umno) memilih Perkasa berbanding saya, saya akan keluar,” kata Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau.
Kedua-dua wakil rakyat itu mengambil bahagian dalam Forum Ramadan 2010 anjuran majalah The Leaders di sini malam tadi.
Dipetik New Straits Times, Khairy sekali lagi melahirkan pendirian menentang isu-isu yang dibawa oleh Perkasa sejak kebelakangan ini.
Jun lalu kedua-dua Khairy dan Ibrahim terlibat dalam perang kenyataan dengan ketua Perkasa itu mempertikaikan kepimpinan Khairy sambil menegaskan beliau sebenarnya “bangga dengan label jaguh politik kampung” yang diberikan oleh Ketua Pemuda Umno itu berhubung isu membela Ketua Pemuda MCA dalam isu biasiswa.