"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

PAS dapat lonjakan politik di Kerdau

Harakahdaily
TEMERLOH, 5 Mac: PAS terus mendapat lonjakan politik dengan penyertaan ahli-ahli Umno dari kawasan Felda Jengka 22 dan Jengka 23.

Dalam satu majlis bersama Persatuan Anak Peneroka Feda Kebangsaan (Anak) di Jengka 23, PAS menerima kemasukan 18 orang keahlian baru yang kebanyakannya ahli Umno yang kecewa dengan pretasi Barisan Nasional selama ini.

Dalam majlis tersebut, borang keahlian PAS mereka diserahkan kepada Pengarah Pilihanraya PAS PRK Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu, PAS terus mendapat sokongan daripada penghuni di Jengka 22 apabila 30 ahli baru yang kebanyakannya bekas ahli Umno juga mengambil keputusan menyertai perjuangan PAS.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hasan Tantawi dalam satu mesej di Twitter mengumumkan bahawa Anak menerima 176 penyertaan ahli baru dari Felda Jengka 23, 22, 25, 16 dan 18 semasa Majlis Pelancaran Anak di Felda Jengka 23, malam tadi.

Perkembangan terbaru ini menggambarkan harapan baik bagi PAS untuk pilihan raya kecil Kerdau kali ini.

Hari ini, dijangkakan akan berlaku lebih ramai kemasukan ahli baru di beberapa peti undi lagi.

Namun, Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden PAS mengingatkan para petugas PAS untuk PRK Kerdau untuk berwaspada dengan strategi akhir yang digunakan oleh BN bagi mengugut pengundi dengan pelbagai tawaran kewangan yang telah dan akan diumumkan.

MTUC Kata Cadangannya Untuk Atasi Kekurangan Tenaga Kerja Tidak Dilaksanakan


PETALING JAYA,  5 MAC: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa kerajaan melaksanakan cadangannya, yang dikemukakan empat tahun lepas, bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di negara ini.

Presidennya Mohd Khalid Atan berkata cadangan berkenaan "praktikal dan konkrit" tetapi hakikatnya cadangan itu masih kekal di atas kertas sahaja.

Beliau mengulas gesaan Menteri Sumber Manusia  Datuk Dr S. Subramaniam semalam supaya kongres itu membantu kerajaan dalam menyelesaikan kekurangan tenaga kerja dan tidak membantah usaha kerajaan untuk menangani masalah itu.

Mohd Khalid memberitahu Bernama bahawa MTUC sentiasa memainkan peranan proaktif dalam meminimumkan kesan buruk tenaga kerja asing dalam industri tempatan demi kebaikan dan kesejahteraan ekonomi negara.

Badan itu juga sentiasa memperjuangkan masalah pekerja tempatan yang dipinggirkan majikan yang lebih cenderung menggaji pekerja asing, selain keadaan tempat kerja tidak selesa dan gaji rendah, katanya.

Mohd Khalid berkata antara syor dalam cadangan 2007 itu ialah: mengurangkan jumlah syarikat penyumberan pekerja asing, menambah baik keadaan tempat kerja dan gaji, memperkenalkan gaji minimum, penguatkuasaan lebih tegas undang-undang sedia ada dengan menambah jumlah staf di Jabatan Tenaga Kerja, menjadikan Kementerian Sumber Manusia sebagai pihak berkuasa tunggal untuk meluluskan penggajian pekerja asing dan menjalankan kajian di seluruh negara bagi menentukan jumlah kekurangan buruh dan juga dalam industri.

Katanya tiada kajian dilakukan untuk menentukan jumlah sebenar pekerja asing yang diperlukan oleh industri dan oleh yang demikian semua angka yang diberikan ketika ini hanya sekadar anggaran.

Beliau menggesa kerajaan segera melakukan kajian peringkat kebangsaan untuk mendapatkan angka sebenar. Pada masa yang sama, katanya kerajaan perlu menangguhkan cadangan untuk mengimport  45,000 pekerja dari India, menyatakan MTUC membantah cadangan itu.

Subramaniam baru-baru ini mengumumkan kerajaan memutuskan untuk membawa masuk pekerja berkenaan untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja di 13 sektor,termasuk restoran dan tekstil. 
-tvsnews-

PRK Kerdau Dan Merlimau : Solat Hajat Malam Ini


KUALA LUMPUR, 5 MAC:  Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali mengarahkan ahli-ahli dan para penyokong parti mengadakan solat hajat pada malam ini.

Beliau yang mewakili Mursyidul Am dan Presiden PAS berkata, solat hajat tersebut adalah untuk keselamatan dan kemenangan calon PAS yang mewakili Pakatan Rakyat pada PRK Merlimau dan Kerdau, esok.

Calon PAS di Kerdau ialah Hassanuddin Salim sementara Yuhaizad Abdullah di Merlimau.

Sementara itu, di Temerloh, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang turut membuat gesaan itu berharap hari pengundian esok berlangsung dalam suasana harmoni.

Beliau yang Pengarah Pilihan raya PAS PRK Kerdau turut mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang telah membuat liputan sepanjang kempen PAS.

"Saya selaku Pengarah Jentera Induk PAS di PRK Kerdau, ingin menyeru seluruh pengundi dan para penyokong supaya mengekalkan keharmonian sepanjang tempoh pengundian berjalan," katanya pada sidang medai di Markas Induk PAS, Kerdau di sini hari ini.
-tvsnews-