"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis digesa siasat Razlan ciap: 'Elok tembak puak-puak DAP ni'

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman menggesa pihak polis menyiasat bekas ketua pemuda Umno Razlan Rafii berkenaan ciapannya di Twitter.

"Mohon PDRM siasat. Tidak melambangkan seorang pemimpin Umno.

"Perbezaan pendapat itu biasa, jangan sampai keterlaluan," kata MP Muar.

Syed Saddiq

@SyedSaddiq
Mohon PDRM siasat.
Tidak melambangkan seorang pemimpin UMNO.

Perbezaan pendapat itu biasa, jangan sampai keterlaluan.

Razlan
@razlanrafii
.. elok tembak puak2 DAP ni !!! https://twitter.com/drasyrafwajdi/status/1106527932309221376 …

354
8:20 PM - Mar 16, 2019
Twitter Ads info and privacy
211 people are talking about this
Bekas ketua pemuda Umno Razlan Rafii menuntut supaya "puak-puak DAP" ditembak susulan kenyataan Adun Mengkibol Chew Chong Sin mengenai serangan pengganas di Christchurch, New Zealand semalam.

"Elok tembak puak-puak DAP ni," ciapnya di Twitter semalam sebagai memberi maklum balas terhadap bidasan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki kepada Chew.

Sekadar sindiran, kecaman

Semalam, Chew berkata pembunuhan beramai-ramai di New Zealand yang mengorbankan 49 nyawa itu perlu menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia mengenai perlunya mengekang ekstremisme, memetik contoh kerjasama Umno-PAS dan naratif mereka.

Chew kemudiannya menarik balik kenyataannya, berkata ia telah membawa kepada salah faham.

DAP juga telah memberi amaran keras terhadapnya kerana membuat kenyataan itu.

Ketika dihubungi, Razlan mempertahan hantarannya di Twitter berkata ciapan yang dibuatnya itu bukan ancaman tetapi sekadar "sindiran".

"Ramai masih tidak faham pakai Twitter, saya hanya memberi komen berkenaan Adun DAP yang amat kurang ajar terhadap kejadian di Christchurch.

"Dan memang sepanjang bulan ini, DAP terus menerus mengeluarkan kenyataan membenci terhadap elekmen yang mengaitkan orang Islam.

"Mereka tuduh kita Taliban dan macam-macam, sehingga Lim Guan Eng nak membayangkan perang dengan elemen yang berkaitan dengan Islam.

"Jadi, perkara asas di sini adalah kecaman harus diberi kepada Adun DAP," katanya.

Razlan memetik kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan timbalannya Nga Kor Ming sebagai contoh.

Pada 6 Mac lalu, Lim mengeluarkan kenyataan dalam bahasa Cina menggesa MCA segera meninggalkan BN kerana Umno dan PAS kini "mengisytiharkan perang" terhadap orang bukan Islam.

Beliau kemudian membuat pindaan beberapa jam kemudian, menggantikan ungkapan "mengisytiharkan perang" dengan "menyasarkan."

Sementara itu, ketika berceramah di Taiping minggu lalu, Nga berkata Malaysia berisiko menjadi seperti Afghanistan di bawah pemerintahan Taliban dengan wujudnya kesatuan Umno-PAS.

"Jadi pokok persoalannya (Chew) perlu ditegur," kata Razlan.

Remaja Malaysia lari 1.5km elak ditembak pengganas di masjid NZ

Bernama
KUALA LUMPUR: Seorang remaja Malaysia terpaksa memanjat tembok masjid dan berlari sejauh hampir 1.5km untuk menyelamatkan diri dalam serangan pengganas di Christchurch, New Zealand, semalam.

Idris Khairudin, 14, pergi ke Masjid Al Noor untuk menunaikan solat Jumaat dan tidak seperti selalu, remaja itu sering bersolat di bahagian dalam masjid tetapi hari ini memilih solat di ruang belakang.

Dalam tempoh menunggu untuk berjemaah sebelum solat Jumaat, tiba-tiba dia terdengar bunyi tembakan dan cermin pecah serta jeritan menyuruh jemaah lari.

“Tanpa berfikir panjang, Idris pantas meluru keluar, memanjat tembok masjid, berselindung seketika sebelum berlari menyelamatkan diri,” kata kakaknya Nur Balqis Khairudin, 20, yang menceritakan pengalaman adiknya itu.

Nur Balqis, penuntut Hagley College di Christchurch, berkata demikian kepada Bernama ketika dihubungi di sana.

“Idris hubungi saya sambil berlari tetapi dia tidak tahu ke mana arah hendak dituju. Lalu saya suruh dia lari ke Hagley College.

“Memang panik dan risau sangat fikirkan dia. Ketika itu saya dan seorang lagi adik Nur Zahirah berada di rumah dan tak ada pengangkutan. Saya terpaksa meminta bantuan orang awam tumpangkan kami ke kolej untuk mengambil Idris. Lepas tu kami terus bawa Idris pulang dan hubungi mama,” kata Nur Balqis.

Menurut Nur Balqis, beliau dan 2 adiknya kini berada dalam keadaan selamat, terkawal dan berada di rumah mereka yang terletak kira-kira 3km dari tempat kejadian.

Idris merupakan pelajar di Hilmorton High School di Christchurch manakala Nur Zahirah belajar di kolej yang sama dengan kakaknya.

Sementara itu, ibu mereka, Zarita Abdul Razak, 49 yang berada di Nibong Tebal, Pulau Pinang, bersyukur sebaik dihubungi 3 anaknya menerusi panggilan video.

Menurut Zarita, beliau berasa tidak sedap hati sebaik mendapat mesej menerusi aplikasi Whatsapp daripada Nur Balqis bertulis “Ma, can I call you” (Boleh saya panggil anda).

Zarita, seorang suri rumah, menarik nafas lega dan bersyukur sebaik sahaja selesai mendapat panggilan video tersebut dan bertambah tenang apabila mengetahui ketiga-tiga anaknya itu dalam keadaan selamat di dalam rumah mereka.

“Tuhan saja yang tahu perasaan saya ketika itu, 3 anak saya ada di sana sedangkan kita di sini. Lemah lutut rasanya. Syukur mereka selamat namun kami tetap bimbang dan bersedih apabila mengetahui ada rakyat Malaysia yang tercedera,” katanya.

Zarita berkata suaminya, Khairudin Mohamed, 52, pensyarah di Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik di Universiti Sains Malaysia Nibong Tebal, baru sahaja pulang ke Malaysia hujung bulan lepas sebaik selesai urusan kerja serta menguruskan pengajian anak-anak mereka.

Sekurang-kurang 49 orang terbunuh dan berpuluh lagi cedera dalam serangan keganasan di 2 masjid di bandaraya Christchurch.

8 wakil rakyat Sabah sah sertai Bersatu

Malaysia Dateline
AKMAL MANAF
Empat ahli Parlimen, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan dua senator masing-masing dari Sabah secara rasminya telah diterima menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkuatkuasa hari ini.

Mereka adalah Adun Sulaman, Datuk Hajiji Mohd Noor, Adun Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun dan empat ahli Parlimen iaitu Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat).

Dua lagi ahli baharu Bersatu yang memegang jawatan senator adalah, Senator Datuk Abd Ghani Mohamad Yassin dan Datuk John Ambrose.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir memaklumkan, beliau akan pergi ke Sabah pada 6 April depan sebagai majlis pelancaran Bersatu di sana.

“Sebelum kita pergi ke Sabah pun, sudah ada permintaan untuk menyertai Bersatu di negeri di bawah bayu itu.

“Bersatu di Sabah adalah satu daripada anggota dalam parti Pakatan Harapan (PH), dan PH adalah kerajaan bagi negara.

“Kita juga memberi tempat kepada Parti Warisan Sabah.. walaupun Warisan bukan ahli PH, tetapi parti itu diberi tempat dalam kerajaan sebagai menteri (tiga orang) dan timbalan menteri (dua orang),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kad Keahlian Bersatu, di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), di Putrajaya, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mahathir berkata, walaupun Warisan bukan menjadi ahli dalam PH, pihaknya tetap menerima anggota Warisan dalam kerajaan.

“Pada masa yang sama, kita juga menyokong kerajaan yang ditubuhkan oleh Warisan di Sabah.. itu adalah pendirian keempat empat buah parti dalam PH termasuklah parti Bersatu.

“Ini bermakna, bahawa ahli Bersatu di Sabah akan menyokong kerajaan Warisan yang ada sekarang ini dan kami tiada niat hendak menggantikan mana-mana pihak,” katanya.