"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Siapakah tokoh penggerak pemulihan Yapeim?

Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (YaPEIM) sedang dalam fasa pemulihan yang aktif sejak 6 bulan yang lalu walaupun masyarakat umum hanya menyedarinya seminggu dua ini sahaja.

Pelbagai tindakan dalaman di sudut pentadbiran dan pengurusan telah pun dilaksanakan dan kemuncaknya ialah penggantungan Ketua Pengarah YaPEIM itu sendiri.

Itulah yang didedahkan oleh Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM yang dilantik oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof, sebermula era Malaysia Baru. Nama susuk tubuh yang sederhana tapi sangat cemerlang ini ialah Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Beliau merupakan seorang yang sangat terkenal di dalam dunia ekonomi Islam. Beliau adalah anak Malaysia yang mendapat penghormatan tertinggi di dalam dunia kewangan Islam.

Bekas Professor di Kulliyah Undang-Undang UIAM dan bekas Timbalan Reaktor UIAM ini merupakan seorang ulama’, penasihat Syariah dan pakar dalam kewangan Islam di peringkat antarabangsa.

Semua orang yang terlibat dalam dunia kewangan Islam secara profesional akan mengenali beliau.

Bukan mudah bagi seorang yang berbangsa bukan arab mendapat penghormatan dari bangsa Arab, tetapi beliau sangat dihormati di kalangan syarikat-syarikat Arab malah di kalangan penasihat syariah berbangsa Arab sendiri. Nama beliau adalah setaraf dengan nama besar seperti Sheikh Nizam Yakubi, Dr Mohamed Ali El-Gari dan Dr Abdul Sattar Abu Ghuddah.

Selepas bersara dari UIAM, Beliau menjadi Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Amanie Group.

Sekarang ini beliau merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, Lembaga Penyeliaan Syariah International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM), Labuan serta penyandang Kursi Akademik Yayasan Tun Ismail (YTI) – USIM.

Dr Mohd Daud Bakar juga adalah Ahli Lembaga Syariah the Dow Jones Islamic market Index (New York), Muzn Islamic Bank (Oman), BNP Paribas (Bahrain), Morgan Stanley (Dubai), Bank of London and Middle East (London) dan boleh di simpulkan sebagai Tokoh Syariah Global atau Pakar Penasihatan Syariah Global.

Memenangi pelbagai anugerah, antaranya Anugerah “The Asset Triple A Industry Leadership Award” oleh The Asset magazine, “Tokoh Perdana – Maulidur Rasul” tahun 2014, dan “Shariah Scholar of the Year-2015” oleh London Sukuk Summit dan yang terkini Syarikat penasihatan beliau Amanie Advisors dianugerahkan Best Syariah Advisory Firm 2016 oleh Global Islamic Finance Award (GIFA).

Beliau juga merupakan ahli lembaga Accounting and Auditing Organisation for Islamic Financial Institutions (AAOIFI) (Bahrain), Morgan Stanley (Dubai), Bank of London and Middle East (London), Noor Islamic Bank (Dubai), Jadwa-Russell Islamic Fund (Saudi Arabia) dan Salama Islamic Insurance.

Beliau berkelulusan Doktor Falsafah dari St. Andrews University, Scotland; Ijazah Sarjana Muda (Fiqh dan Usul) dari Universiti Kuwait dan (second degree) Ijazah Sarjana Muda Perundangan (external), Universiti Malaya.

Beliau seorang yang aktif dalam pembentangan penasihatan Syariah dalam industri Perbankan dan Kewangan Islam merata dunia, penulis prolifik berdasarkan perkongsian pengalaman beliau yang luas di bidang penasihatan syariah.

Sebagaimana pemilihan Datuk Seri Zukri Samat, individu yang telah menyelamatkan Bank Islam yang kemudiannya menjadi individu penting dalam penyelamatan Tabung Haji, pemilihan Dr Daud Bakar sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM oleh Dr Mujahid ini diharapkan akan memberikan kecemerlangan kepada YaPIEM dan membolehkan YaPIEM kembali menyumbang kepada rakyat.

Rosmah perlu isytihar perolehan hartanya

Bernama
Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor perlu mengisytiharkan harta yang diperolehinya dari 1 Januari 2009 hingga 31 Disember 2017 selepas gagal mengetepikan notis pihak pendakwaan yang mewajibkannya berbuat demikian.

Dalam menolak permohonan Rosmah, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan berkata, beliau menerima hujahan pendakwaan mengikut Seksyen 48(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Dari[pada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Beliau berkata tujuan seksyen berkenaan adalah untuk membantu pendakwa dalam mengenal pasti harta milik seseorang yang disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram.

”Oleh itu, ia tidak akan memprejudiskan pihak pembelaan atau menyebabkan kebimbangan maklumat itu akan digunakan untuk menentangnya terhadap dakwaan yang dihadapinya.

“Hujahan pemohon bahawa beliau akan dihalang daripada hak perbicaraan yang adil adalah spekulatif,” katanya.

Hakim berkata notis pihak pendakwaan itu dalam proses siasatan tiada kaitan dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram dan gagal membuat penyataan pendapatan yang dihadapi oleh Rosmah, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

”Saya juga bersetuju dengan hujahan pendakwaan bahawa hak berdiam diri dan keistimewaan daripada menjawab notis itu, bukan hak dijamin Perlembagaan,” katanya.

Peguam Rosmah, Mohamed Reza Rahim memohon mahkamah menangguhkan keputusan kerana mereka akan memfailkan rayuan.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini memerintahkan pihak pembelaan memfailkan permohonan rasmi.

Pihak pendakwaan diketuai oleh Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala pasukan pembelaan terdiri daripada Mohamed Rez, Manjeet Singh Dhilion, N. Rajivan dan Datuk K. Kumaraendran.

Rosmah, 67, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Rosmah memfailkan notis pada 24 Feb lalu bagi mengetepikan notis pendakwaan tersebut.

Pada 4 Okt, 2018, Rosmah mengaku tidak bersalah terhadap 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan RM7,097,750 dan lima tuduhan gagal mengisytiharkan penyata pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Tingkat Bawah, 148, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini, antara 1 Mei 2014 dan 1 Mei 2018.

Tuduhan pengubahan wang haram mengikut Seksyen 4(1)(a) dan dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai kegiatan haram atau RM5 juta, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan/

Bagi tuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Husam ajak kerajaan Pas Kelantan terlibat dalam perkongsian bestari

NASUHA RAHMANMay
Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) Datuk Husam Musa mengajak kerajaan Kelantan untuk sama-sama terlibat di dalam perkongsian bestari bagi membangunkan ekonomi, sosial dan pertanian rakyat negeri itu.

Katanya, kerajaan Kelantan merupakan ‘stakeholder’ penting untuk pembangunan rakyatnya diminta mengurangkan perkara-perkara berkaitan politik sebaliknya fokus kepada perkongsian bestari.

“Kami harap kerajaan negeri bersama-sama dengan perkongsian bestari ini untuk membangunkan rakyat negeri Kelantan, kita kurangkan politiknya.

“Hasrat saya kemakmuran rakyat adalah perkara utama, perkara politik boleh berkembang sendiri terpulang kepada rakyat,” katanya dalam segmen BicaraPolitikEkonomi fokus kepada Kemakmuran Ekonomi Industri Pertanian di RTM semalam.

Menurut Husam, tugas KADA menjadi lebih besar dan berperanan utama melalui perkongsian bestari ini dengan 20 agensi yang berperanan dalam pembangunan pertanian dan juga institusi.

Misalnya, kata beliau, rancangan dan kajian daripada Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk menggunakan bahan tempatan yang diolah menjadi produk bio organik dan bakteria berguna untuk pertanian.

“Dalam cadangan mereka menggunakan daun laksamana yang diikisar dan diletak dalam sawah, ubah fungsi KADA yang memggunakan bahan kimia yang boleh ancam keselamatan dan ekosistem termasuk belut, siput yang kita boleh manfaatkan.

“Sebelum ini, skop digunakan tanpa kira masalah yang timbul, kerjasama dengan UMK ini menggagalkan penggunakan baja kimia, ia wajar dibanggakan,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar satu majlis pertanian di peringkat negeri di bawah Kementerian Pertanian atau mana-mana kementerian diwujudkan bagi memberi impak lebih besar kepada pembangunan pertanian.

Antaranya, kata beliau mengadakan kerjasama dengan MARDI yang mempunyai ramai saintis dan memiliki makmal yang canggih dapat menghasilkan pelbagai produk inovasi.

“Bagaimana hendak kaitkan MARDI lebih dekat dengan rakyat, kita ada UPM, agensi banyak seperti Kementerian Luar Bandar, dan Kementerian Pelancongan.

“Tetapi agensi-agensi yang begitu berterabur selama ini boleh dijadikan rakan kongsi bestari, dengan itu impak pembangunan pertanian dapat dilihat.

“Pada hari ini saya lihat agensi ini berpisah-pisah, masing-masing jabatan ada program sendiri dan tidak ada majlis yang dapat satukan mereka,” katanya.

Justeru katanya, KADA boleh menjadi peneraju sekali gus dapat menggerakan perubahan pemikiran petani-petani.

“Transformasi pertanian bermula dari kepimpinan tidak semestinya Perdana Menteri tetapi dari petani sendiri kita bagi pendedahan, mereka boleh jadi peneraju pada peringkat mereka.

“Pegawai KADA boleh jadi pemikiran peneraju, saya kira perkongsian bestari ini akan beri impak lebih nyata dari segi petani dan negara,”tambah beliau.