"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Exco Perak dituduh cuba minta komisyen untuk permohonan tanah

Seorang exco kerajaan negeri dituduh cuba meminta "komisyen" daripada dua syarikat berkenaan permohonan untuk tanah milik kerajaan berkeluasan 93 ekar.

Bekas pegawai khas itu, Beh Yong Kean membuat laporan polis berkenaan perkara itu pagi ini.

Dia mendakwa exco itu berniat memberi sokongan kepada permohonan dua syarikat itu dengan komisyen sebagai pertukaran.

Dakwanya lagi, exco itu membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri kepadanya agar dia dapat memulakan proses rundingan dengan dua syarikat itu.

"Pada 4 Oktober 2018, lebih kurang 9.30 malam di pejabat pusat khidmat adun, dia membocorkan kertas minit mesyuarat majlis mesyuarat kerajaan negeri Perak kepada saya supaya memulakan rundingan dengan (dua syarikat itu) untuk permohonan milikan tanah kerajaan seluas 63 ekar di Bagan Tiang dan 30 ekar di Kuala Kurau.

"Dia mengarahkan saya supaya meminta komisyen daripada kedua-dua syarikat itu untuk sokongannya dalam mesyuarat masjlis mesyuarat negeri," dakwanya dalam laporan polis yang dilihat Malaysiakini, hari ini.

Beh juga mendakwa seorang lagi bekas pegawai khas exco itu turut menyaksikan kejadian itu.

Dalam satu kenyataan media, Beh berkata tindakan membocorkan minit mesyuarat kerajaan negeri melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 dan menggesa polis agar menyiasat perkara itu.

"Sebagai wakil rakyat dan exco, dia tidak harus membocorkan rahsia kerajaan dan menggunakan kedudukan untuk meminta rasuah.

"Saya harap polis menyiasat secara adil tanpa melihat kedudukannya dalam kerajaan," katanya lagi.

Malaysiakini telah beberapa kali cuba menghubungi exco itu menerusi panggilan telefon, pesanan teks dan Whatsapp, untuk mengulas perkara ini tetapi dia belum memberikan maklum balas setakat ini.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata kerajaan negeri memandang serius dakwaan itu dan akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan pihak berkuasa.

"Seperti laporan polis lain, kita perlu dan akan beri kerjasama penuh dalam siasatan. Ini dakwaan serius dan kita tidak pandang ringan," katanya menerusi Whatsapp kepada Malaysiakini.

Husam saran Muhyiddin jadi TPM untuk Anwar

Andai tiba masa Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri, anggota parlimen Port Dickson itu wajar membalas budi Bersatu dengan melantik tokoh bukan dari PKR sebagai timbalannya.

Naib Presiden Amanah, Husam Musa, menyarankan Anwar memilih Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menduduki jawatan timbalan perdana menteri.

Kata Husam, langkah itu adalah sebagai tanda menghargai kesudian Dr Mahathir Mohamad menjadikan Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalannya sebelum ini.

Untuk rekod ketika pelantikan itu dibuat Wan Azizah ialah presiden PKR.

"Saya mencadangkan, ambil timbalan perdana menteri daripada Bersatu iaitu Muhyiddin," kata Husam seperti dipetik Sinar Online hari ini.

Husam yang juga pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menambah ketika ini ada dua tokoh paling kanan dalam PH, iaitu Anwar dan Muhyiddin.

Katanya apabila tiba waktu yang ditentukan peralihan kuasa akan berlaku apabila ada tokoh lain menggantikan Mahathir sebagai perdana menteri.

Proses itu, kata Husam, mesti berjalan secara teratur dan diserahkan kepada pemimpin paling berpengalaman dan senior.

Dalam keadaan sekarang, katanya, dua pemimpin paling senior dalam PH ialah Anwar dan Muhyiddin.

"Jika Muhyiddin (jadi pilihan Anwar), pasti ia akan menjadi satu kombinasi yang boleh mengamankan peralihan kuasa.

"Dari segi senioriti jawatan, Muhyiddin sangat layak. Malah beliau juga berpengalaman," katanya.

Pada era Malaysia ditadbir BN, kedua-dua tokoh terbabit pernah diberi kepercayaan menjadi timbalan perdana menteri, masing-masing di bawah Mahathir dan Najib Razak.

Mengenai barisan pelapis pula, Husam menyebut dua nama - juga dari PKR dan Bersatu - iaitu Nurul Izzah Anwar dan Mukhriz Mahathir.

Kata Husam semua pihak perlu menjaga agar tiada lagi pertembungan berlaku di antara keluarga Anwar dan Mahathir seperti pernah berlaku sebelum ini.

"Sinergi antara keluarga Anwar dan Mahathir juga mesti dijaga. Kita tidak boleh biarkan dua keluarga ini berperang semula," katanya yang menambah, jika keadaan tersebut belaku, ia akan merugikan negara.

Heboh abang kandung nikahi adik sendiri

SULAWESI - Seorang lelaki didakwa menikahi adik bongsunya di daerah Bulukumba, Sulawesi Selatan, Indonesia minggu lalu.

Lelaki berusia 32 tahun itu didakwa telah menjalin hubungan intim dengan adiknya itu sehingga hamil empat bulan.

Pasangan itu kemudiannya melangsungkan pernikahan di tanah perantauan di Provinsi Kalimantan Timur.

Kes itu terbongkar apabila isteri lelaki berkenaan, menonton video pernikahan suaminya itu selain memperolehi dokumen sah pernikahan suami dan adik iparnya dari keluarga mentua.

Dia kemudiannya bertindak membuat laporan polis.

"Saya harapkan keadilan dan meminta hukuman berat dikenakan dan menangkapnya" katanya.

Memetik Radar Pagi, berdasarkan laporan polis, sumbang mahram membabitkan dua adik-beradik itu berlaku sejak beberapa bulan lalu.

“Setelah selesai proses undang-undang (berhubung kes suaminya berkahwin dengan adik sendiri) saya akan meminta cerai," katanya.

Sementara itu, abang kepada lelaki berkenaan mahu tindakan tegas diambil kepada kedua-dua adiknya itu.

"Kami tujuh adik-beradik, dia adalah adik ketiga menikahi adik kandung yang paling bongsu.

"Saya menegaskan perkara ini amat dilarang dan berharap tindakan tegas dikenakan kepada mereka," katanya.
-sinarharian