"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Cai' Amanah boleh bawa musibah

Anne Muhammad
Walaupun dibenarkan mengikut undang-undang, penggunaan cai dalam Pemilihan Amanah 2019 dilihat boleh membawa musibah jangka panjang buat parti yang masih muda itu, kata salah seorang pemimpinnya.

Naib Pengerusi Amanah Perak Muhaimin Sulam berkata hal itu diburukkan lagi dengan psikologi orang Melayu yang suka memendam dendam sehingga menimbulkan permusuhan jangka masa panjang.

“(Kesannya) psikologi orang Melayu, memendam dendam, kita tak boleh kata meraikan demokrasi, tapi masyarakat kita tak macam barat yang agak terbuka berbanding orang kita.

“Orang kita kalau gaduh sampai satu generasi baru habis permusuhan antara mereka, jadi saya rasa tak berapa manis amalan (cai) dari segi amalan orang Melayu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Muhaimin berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan parti itu yang memperkenalkan sistem cai dalam pemilihan mereka kali ini.

Pada 31 Julai lalu, Setiausaha Pemuda Amanah Fadzil Ahmad dilaporkan berkata terdapat perbezaan yang jelas antaranya 'cai' semasa di zaman PAS dahulu dibuat secara sembunyi-sembunyi dan tertutup.

Muhaimin bagaimanapun berkata walaupun sistem 'cai' telah dilaksanakan dalam pelbagai organisasi parti namun katanya Amanah perlu memberi ruang seluasnya kepada ahli mereka untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak.

“Cai seperti mengikat, memaksa dan ada unsur arahan yg hilang kebijaksaan pemilih untuk memilih pemimpin yang seharusnya jadi pemimpin,” katanya.

Amanah dijangka mengadakan pemilihan parti tahun ini, yang dimulakan dengan Mesyuarat Agung Tahunan peringkat kawasan bermula 1 Julai lalu sehingga 31 Ogos depan.

Buat masa ini, sayap pemuda Amanah dilihat berpecah kepada tiga kem iaitu Pemuda Bangkit, Pemuda Bekerja dan Pemuda Wibawa yang mempunyai pemimpinnya sendiri.

Untuk rekod, pasukan Pemuda Bekerja diketuai oleh Ketua Pemuda Amanah Perak, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim, Ketua Pemuda Amanah Selangor, Abbas Azmi menerajui kumpulan Pemuda Bangkit.

Manakala Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional, Wan Anwar Wan Ibrahim pula mengetuai kem Pemuda Wibawa.

Ditanya adakah sistem cai merupakan langkah kebelakang memandangkan Amanah yang lahir daripada perpecahan PAS yang mengamalkan konsep berkenaan, Muhaimin berkata perkara itu perlu dikawal supaya “pisang tidak berbuah dua kali”.

Pensyarah universiti itu juga berkata Amanah masih terlalu muda dan perlu mengukuhkan partinya dahulu.

Beliau juga mencadangkan supaya pemimpin Amanah duduk sama-sama berbincang mengenai isu ini dan mencari jalan penyelesaian.

“Saya rasa begitulah (duduk berbincang). saya rasa pemimpin jangan diatur oleh pengikut, pemimpin mesti mengatur pengikut tapi saya takut cai ini bukan kehendak pimpinan tapi segelintir orang-orang yang nak caturkan pemimpin, seharusnya pemimpin caturkan masyarakat, orang bawah,” katanya.

Malaysiakini

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah jawab Haji Hadi

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Zolkharnain Abidin menjawab istilah 'peluru getah' yang digunakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang ketika menggambarkan kritikan pemimpin Amanah terhadap PAS.

Jelas Zolkharnain, pemimpin Amanah sekadar menggunakan 'peluru getah' dalam politik kerana masih lagi menganggap seteru politik termasuk pemimpin PAS sebagai rakyat Malaysia dan saudara yang haram ditumpahkan darahnya.

"Dalam politik, kami guna peluru getah. Tak ada sesiapa yang cedera parah apatah lagi terkorban.

"Bagi kami, semua rakyat Malaysia, haram darah mereka ditumpahkan.

"[...] Kami gunakan peluru getah terhadap kamu kerana kamu adalah saudara kami," katanya dalam kenyataan di Facebook.

Abdul Hadi sebelum ini berkata PAS tidak terkesan dengan serangan pemimpin parti Amanah dan menyifatkan kritikan mereka sebagai "peluru getah".

"Sekarang ini peluru Amanah itu peluru getah saja, dia tembak PAS tak jadi apa (tiada kesan), jadi saya buat diam saja lah.

"Peluru tendang balik, kena dia (Amanah) balik," kata Abdul Hadi dalam sidang media di Rusila, Terengganu, hari ini.

Mengulas lanjut, Zolkharnain yang juga merupakan timbalan Yang diPertua Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) berkata pemimpin Amanah juga tidak mengkafirkan pihak yang berbeza pendirian politik.

"Tak ada sesiapa yang jadi kafir atau kafir harbi yang halal darah kerana berbeza pendirian politik dengan kami.

"Kami berbeza dengan kamu yang menganggap orang yang keluar daripada parti kamu seperti keluar agama. Bahkan ada dalam kalangan kamu yang pernah menghalalkan darah kami.

"Betul, kami hanya guna peluru getah dalam politik. Kami bukan seperti kamu yang sanggup guna peluru hidup kerana kamu menganggap halal darah orang yang tidak bersama kamu," katanya.

Syukur saya dah keluar PAS, kata Mariah

B Nantha Kumar

"Syukur saya keluar daripada PAS."

Demikian kata Ketua Wanita Amanah Dr Siti Mariah Mahmud yang meragui sokongan parti lamanya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Bagi, saya PAS makin tidak konsisten. Sokongan mereka kepada Tun M tidak ikhlas," katanya menjawab soalan Malaysiakini.

Siti Mariah yang juga Adun Seri Serdang memberitahu bahawa PAS sebenarnya cuba memecahbelahkan Pakatan Harapan, khususnya PKR.

"Saya bukan di mana-mana pihak. Tapi, ia bukan satu rahsia politik di mana Azmin (Ali) tidak sokong Datuk Seri Anwar (Ibrahim). Namun, gabungan PH memberi sokongan kepadanya (Anwar).

"Ini yang cuba dipecahbelahkan oleh PAS yang menyatakan sokongan kepada Tun M sedangkan PAS sendiri pernah melabel Mahathir sebagai nyanyuk ketika beliau diangkat sebagai calon PM sebelum PRU14," katanya.

"Jadi, kita boleh nampak pendirian PAS yang tidak konsisten dalam soal politik. Dulu mereka tolak Najib. Lepas Najib kalah, sokong Najib pula. Begitu juga dengan Umno. Dulu tolak sekarang sokong. Inilah keadaan PAS. Syukur, saya tidak lagi dalam PAS," katanya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya dan Umno akan bekerjasama untuk mengekalkan Dr Mahathir berkhidmat sebagai perdana menteri sehingga tamat tempoh satu penggal mandat PRU14.

Azmin senada dengan kenyataan itu.

Beliau berkata Dr Mahathir perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.