"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis buru lelaki bunuh, bakar isteri kerana cemburu

Bernama

KENINGAU: Polis sedang giat memburu seorang lelaki berusia 40-an yang disyaki membunuh dan membakar mayat isterinya yang ditemukan rentung di kawasan semak sebuah kebun di Batu 8, Jalan Sook, Khamis lalu.

Ketua Polis Keningau, Shahrudin Mat Hussin berkata, mangsa dikenali sebagai Sarah Israkil, 44, berbangsa Suluk Filipina dan bukan seorang remaja tempatan sebagaimana yang ditularkan dalam media sosial.

Katanya, berdasarkan siasatan awal mendapati mangsa bergelut sebelum dibunuh dan dibakar oleh suspek akibat cemburu.

“Mayat mangsa diseret 5m ke bawah pokok mangga untuk dibakar sehingga sukar dicam untuk tujuan melupuskan bukti,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Menurutnya, dapatan Pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontnjen (IPK) Sabah ke atas mayat mangsa mendapati terdapat 6 kesan tikaman di seluruh anggota badan mangsa.

Shahrudin berkata berdasarkan keterangan saudara terdekat mangsa, motif pembunuhan berpunca daripada cemburu dan suami mangsa sedang diburu untuk membantu siasatan.

Katanya orang ramai yang mengetahui lokasi terkini suspek diminta menghubungi balai polis berdekatan.

Pada kejadian jam 7.20 pagi itu, polis Keningau menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan mayat dalam keadaan terbakar di kawasan kebun tersebut.

Zakir buat laporan, dakwa menteri, 4 lagi cetus perbalahan kaum

Pendawah Islam kontroversial Dr Zakir Naik hari ini memfailkan laporan polis terhadap Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan tiga lagi individu.

Mereka yang dinamakan dalam laporan itu ialah Ahli Parlimen Klang Charles Santiago, Adun Bagan Dalam Sates Muniandy dan bekas duta besar Dennis J Ignatius.

Pendakwah warga India, yang kini adalah penduduk tetap Malaysia, membuat laporannya di Shah Alam pagi ini.

Menurut laporan, yang dilihat oleh Malaysiakini, Zakir menuduh kelima-lima mereka memfitnahnya berdasarkan kenyataan dan artikel mereka.

"Kenyataan media dan artikel berkenaan telah memesong dan menggelirukan orang ramai berhubung maksud sebenar syarahan saya (di Kelantan minggu lalu) semasa menyebarkan dakwah mengenai keamanan dan keharmonian antara rakyat di negara ini.

"Mereka dengan salah memetik saya di luar konteks dalam jawapan terhadap salah satu soalan yang diajukan selepas ucapan saya mengenai topik 'Salah fahaman tentang Islam'.

“Jelas sekali, mereka memutar belit dan memanipulasi kenyataan saya untuk agenda politik mereka," katanya.

Menurut Zakir, dia sebenarnya memuji Malaysia yang mengamalkan cara Islam sebenarnya dalam layanan terhadap minori penganut Hindu dan menegakkan hak-hak kepada mereka.

Beliau berkata ini adalah sesuatu yang gagal dilakukan oleh kerajaan India dalam menangani masyarakat minoriti negara itu.

"Kenyataan memfitnah itu, antara lain, merosakkan dan menjejaskan reputasi, kedudukan dan atau kredibiliti saya dan mengaitkan saya dengan skandal, kebencian dan penghinaanyang tidak terhingga di mata orang ramai.

"Tuduhan dan hasutan yang tidak berasas itu telah mewujudkan ketidakharmonian dalam masyarakat dan mencetuskan perbalahan di kalangan rakyat Malaysia yang aman," katanya.

Tiada maaf bagi mu - Mat Sabu

Anne Muhammad

Mana-mana pihak tanpa mengira kaum yang menghina peranan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan musuh kepada negara, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

Mohamad turut menganggap perbuatan itu sebagai jijik dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Mutakhir ini kita lihat disebabkan negara aman dan tenteram, ada yang lupa peranan Kementerian Pertahanan dan unit-unit dibawahnya.

“Bagi kita, siapa sahaja yang hina ATM, mereka adalah musuh negara, tidak kira mana-mana kaum atau pihak. Bahkan, bagi kita menghina ATM juga adalah jijik dan tidak boleh diterima,” kata Mohamad.

Mohamad berkata demikian menerusi ucapannya ketika Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Kementerian Pertahanan, hari ini.

Hadir sama dalam Majlis tersebut Timbalannya Liew Chin Tong.

Baru-baru ini, pengasas Gamuda, Koon Yew Yin dalam blognya berkata ramai anggota tentera hanya makan dan tidur malah ramai antara mereka tidak pernah menembak, dan mencadangkan anggota tentera dihantar bertugas ke ladang-ladang Felda.

Kenyataan itu dibuat Koon menerusi satu tulisan bertajuk "Cadangan saya untuk mengurangkan dan meningkatkan perkhidmatan awam kita".

Bagaimanapun pendapat itu mengundang kritikan pemimpin kerajaan, pembangkang dan NGO yang berpandangan kenyataan itu menghina pasukan ATM.

Selepas dikritik pelbagai pihak, Koon akhirnya membuat permohonan maaf, terutamanya kepada anggota tentera yang tersinggung dengan kenyataan itu.

Mengulas mengenai permohonan maaf dibuat Koon, Mohamad dalam sidang media selepas itu memaklumkan tidak akan ada perkataan menerima maaf yang akan keluar dari mulutnya, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis.

“Tidak sebut soal maafkan. Tidak ada perkataan maaf dan sebagainya. Laporan yang dibuat kita serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan atau tidak, atas kebijaksanaan mereka,” katanya dalam sidang media.

Sebelum itu Mohamad dalam ucapannya turut yakin kredibiliti anggota tentera tetap utuh dalam menangani pelbagai isu keselamatan domestik dan antarabangsa.

'Ada isu perkauman dimainkan'

Beliau turut mengkritik sikap netizen yang hanya melenting apabila kritikan terhadap anggota ATM dibuat seorang jutawan bukan Melayu, namun berdiam diri apabila kritikan terhadap pasukan itu dibuat bekas Ketua Menteri Sabah Harris Salleh.

Julai lalu, sebuah portal berpengkalan di Sabah, Dailyexpress melaporkan Harris menggesa anggota parlimen mengemukakan usul untuk mengkaji semula peranan ATM supaya wang berbilion ringgit yang dibelanjakan ketika ini boleh dijimatkan untuk memulihkan ekonomi negara.

“Apabila bekas ketua menteri Sabah keluarkan kenyataan minta bekas tentera jadi pengawal keselamatan, manakala tentera wanita elok menjadi amah atau tukang cuci, rakyat tidak melenting. Ia juga merendahkan pasukan tentera.

“Rakyat melenting dan membela pasukan tentera apabila ada jutawan katakan tentera hanya makan dan tidur, serta elok jadi peneroka Felda.

“Saya lihat ada isu perkauman yang dimainkan. Kenapa seorang Islam mengkritik tentera netizen diam, tetapi kenapa bila jutawan ini mereka melenting,” katanya.

Jelasnya, walau apa pandangan dilontarkan netizen, pasukan ATM harus tetap berkhidmat kepada kerajaan dan akan mempertahankan kedaulatan negara.

“Disebabkan kedaulatan negara yang dijaga oleh tentera menyebabkan peniaga boleh jadi jutawan, boleh bergerak ke mana-mana, boleh mencari makan dan boleh tambah pendapatan,” katanya.