"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Salleh Keruak sah mohon sertai PKR

Bekas menteri Umno Salleh Said Keruak disahkan menghantar permohonan untuk menyertai PKR.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata permohonan itu dibuat secara dalam talian.

"Berdasarkan rekod, saya difahamkan parti memang ada terima permohonan keanggotaan dari beliau secara dalam talian

"Bagaimanapun, Biro Politik PKR akan membincangkan dan memberi pertimbangan kepada perkara ini dalam mesyuarat yang akan datang," katanya dalam kenyataan media ringkas hari ini.

Terdahulu, The Malaysian Insight melaporkan bahawa Salleh telah menyertai PKR Cawangan Kota Belud tanpa pengetahuan pemimpin politik Sabah yang lain.

Salleh yang pernah menjadi menteri komunikasi dan multimedia sebelum ini dilihat merupakan antara pembelas bekas perdana menteri Najib Razak berhubung skandal 1MDB.

Bagaimanapun, Salleh dan beberapa pemimpin Umno Sabah yang lain keluar parti Disember lalu.

Beberapa bekas pemimpin Umno Sabah sebelum ini sudah menyertai Bersatu. Bagaimanapun, Salleh dan bekas speaker Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia belum lagi mengumumkan menyertai parti lain.

Kedua-dua bekas pemimpin BN itu menubuhkan NGO bernama Organisasi Bajau Sabah Bersatu (Usbo), yang pada sambutan Hari Malaysia lalu menganjurkan program yang dihadiri Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Dalam program berkenaan, Salleh dan Pandikar memuji Anwar, namun menafikan program itu mempunyai kaitan dengan penyertaan mereka ke dalam PKR.

LTAT dan jenis-jenis kebodohan

Rafizi Ramli

Sejak pengumuman dividen dua peratus oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), ada pelbagai pihak yang berlumba-lumba menunjukkan kebodohan.

Ada yang ke depan dari kalangan penyokong dan pemimpin Umno yang mahu menunjukkan kebodohan kerana ingin membandingkan prestasi dividen dua peratus ini dengan dividen yang lebih tinggi (kononnya) semasa Najib menjadi perdana menteri dulu.

Tidak kurang juga juak-juak dari PAS yang tidak mahu kalah menunjukkan kebodohan dan memuji kehebatan (kononnya) keuntungan LTAT semasa Najib.

Saya kata mereka ini berlumba menunjukkan kebodohan kerana jelas sama ada mereka tidak faham laporan juru audit dari Ernst & Young. Kebanyakannya tidak mahu membaca pun laporan juruaudit mengenai kedudukan kewangan LTAT setelah dijarah (perkataan yang suka diguna Najib) oleh Najib.

Sebelum saya huraikan bentuk-bentuk kebodohan yang timbul, sila hadam rumusan laporan juru audit Ernst & Young mengenai pembohongan kewangan di LTAT di zaman Najib.

(sumber: laporan The Edge https://www.theedgemarkets.com/article/investigative-audit-reveals-7-financial-irregularities-and-weaknesses-ltat):

Menurut juruaudit Tetuan Ernst & Young, terdapat tujuh penemuan utama yang berlaku akibat penyelewengan dan kelemahan kewangan:

(1) Pendapatan terkumpul (retained earnings) terjejas berikutan bayaran berlebihan dividen

pulangan aset lima tahun LTAT dari TK2014 hingga TK2018 (selepas diasingkan keuntungan sekali atau one-off gains) adalah lebih rendah daripada kadar dividen yang diisytiharkan. Ini menyebabkan dividen LTAT membayar pada kadar yang lebih tinggi daripada yang mampu.

Untuk menguruskan keadaan ini, LTAT akan membangunkan dasar dividen yang munasabah, yang termasuk menentukan kadar pulangan minimum pelaburannya. LTAT kemudiannya akan mewujudkan rangka kerja peruntukan aset strategik untuk memenuhi kadar dividen yang dijangka minimum.

(2) Pembohongan nilai aset LTAT antara tahun 2015 dan 2017.

Ini disebabkan kegagalan untuk menunjukkan nilai aset sebenar (impairment) salah satu pelaburannya yang besar apabila nilai sebenar (recoverability) dana itu terjejas selepas penjual yang menjamin pembelian semula saham itu diisytiharkan muflis di Malaysia pada tahun 2015.

Kegagalan untuk menunjukkan penurunan pelaburan itu telah menyebabkan aset LTAT dinyatakan pada nilai yang lebih tinggi dari nilai sebenar antara 2015 dan 2017. Hasilnya, penurunan nilai sebanyak RM55 juta perlu dibuat dalam keputusan kewangan TK2018.

(3) Semakan kewangan (due diligence) tidak dilaksanakan dengan betul.

Proses semakan kewangan (due diligence) dan semakan teknikal tidak dilakukan oleh LTAT sebelum melabur dalam syarikat di atas. Ia bukan berdasarkan dasar dan prosedur pelaburan yang baik.

(4) Aset harta tidak terjual

Audit itu juga menemui beberapa masalah dengan aset hartanah tidak terjual bernilai RM45 juta. Ia berkaitan dengan 88 unit kondominium yang tidak terjual pada Disember 2018, walaupun telah siap pada TK2015.

LTAT sedang berusaha untuk mempercepat penjualan unit-unit yang belum dijual. Melangkah ke hadapan, LTAT dengan berhati-hati mempertimbangkan potensi pulangan dan kepakarannya sendiri dalam pembangunan hartanah.

(5) Risiko isu pendedahan kewangan yang berlebihan di dalam beberapa syarikat tertentu dan kecairan sejak tahun 2014

LTAT banyak menjual saham-saham yang baik untuk mendapat keuntungan segera. Juga ada peningkatan ketara dalam pemegangan saham LTAT Boustead Holdings Bhd dan anak syarikatnya yang disenaraikan (di dalam Kumpulan BHB).

Ini menyebabkan terlalu banyak tumpuan dana LTAT dalam segelintir syarikat bawah Kumpulan BHB. Pendedahan kewangan LTAT kepada BHB Group meningkat hampir 50 peratus daripada RM2.1 bilion kepada RM3.1 bilion manakala bilangan saham berkaitan meningkat sebanyak 83 peratus daripada 833 juta saham dalam TK2014 kepada 1.525 bilion saham dalam TK2018.

Untuk tujuan ini, LTAT akan melaksanakan inisiatif peruntukan aset strategik seperti yang dinyatakan di atas.

(6) Dividen tertunggak daripada anak-anak syarikat yang sebenarnya tidak dibayar

dividen yang tinggi yang diisytiharkan untuk TK2017 oleh beberapa syarikat subsidiari tidak dibayar sepenuhnya dan masih tertunggak sehingga tarikh ini.

Dalam menangani ini, LTAT menilai semula keupayaan anak-anak syarikatnya untuk membayar dividen, dengan mengambil kira prestasi dan kedudukan tunai masing-masing.

(7) Kurang kawalan dalam unit amanah

Amalan membeli unit amanah agar ahli menerima bonus istimewa didapati merugikan kerana LTAT kurang kemampuan untuk mengawal dan menguruskan dana secara aktif. LTAT mahupun ahli-ahli tidak dapat menguruskan pegangan unit amanah sehingga persaraan.

Melangkah ke hadapan, LTAT mungkin mempertimbangkan saluran pelaburan lain yang akan membolehkan lembaga LTAT memenuhi objektif utamanya dengan lebih baik.

Ringkasnya, kedudukan kewangan LTAT terjejas teruk gara-gara pentadbiran korporat ala Najib-Rosmah seperti berikut:

(a) Mengumumkan dividen untuk menyedapkan hati rakyat sedangkan syarikat-syarikat LTAT rugi.

(b) Untuk menutup kedudukan kewangan sebenar LTAT, anak-anak syarikat dipaksa mengumumkan dividen sedangkan anak-anak syarikat itu tiada wang pun untuk membayar dividen. Akhirnya dividen atas kertas tetapi wang tiada.

(c) Saham-saham dalam syarikat yang untung dijual untuk mendapatkan keuntungan sementara bagi menutup lubang rugi keseluruhan

(d) LTAT rugi besar apabila membeli syarikat pada harga yang tinggi dan dijamin boleh dijual kembali kepada tuan punyai sekiranya nilai jatuh. Akhirnya nilai jatuh dan tidak boleh dijual kepada tuan punya kerana tuan punya jatuh muflis.

LTAT tutup pula kerugian ini dengan tidak menunjukkan nilai sebenar walaupun syarikat itu sudah tiada nilai

(e) Unit kondominium yang belum dijual sepenuhnya diumumkan telah dijual untuk menunjukkan ada jualan dan ada untung, sedangkan wangnya tiada kerana belum dijual sepenuhnya.

Najib dan sepupunya Hishamuddin boleh membodohkan rakyat yang mahu dibodohkan kerana taksub dengan kepartian dan perkauman.

Sebab itu timbul beberapa jenis bodoh baru ekoran pendedahan kedudukan kewangan LTAT ini.

Satu:

Orang menyeleweng yang menggunakan kebodohan untuk selamat. Contohnya Najib dan Hishamuddin. Pelbagai harta rakyat bawah LTAT hilang dibawah pentadbiran sepupu-sepapat ini tetapi mereka tahu mereka boleh membodohkan segelintir orang untuk selamat.

Kedua:

Orang yang dibodohkan kerana taksub dengan kepartian sehingga tidak mahu menerima segala fakta dan laporan audit bebas. Contohnya orang-orang Umno yang masih rindukan Najib dan Rosmah.

Bukan saja laporan, malah dalam tahun 2016 dahulu pencen dan gratuiti pesara tentera pun lambat dibayar kerana masalah aliran wang tunai LTAT sehingga saya terpaksa bersuara dan ditahan. Bukti sudah dirasai sendiri oleh pesara tentera tetapi ramai juga jenis bodoh yang sebegini.

Ketiga:

Orang yang menjadi bodoh selepas mengikut orang bodoh dalam kumpulan satu dan dua. Contohnya orang PAS yang lebih sudu dari kuah kerana rindu hebatnya zaman Najib memerintah.

Soal PH popular atau tidak adalah hak rakyat untuk menentukan.

Anda boleh menolak PH sementara menerima hakikat yang Najib telah menjarah LTAT, Tabung Haji dan harta rakyat yang lain kerana anda mahukan prestasi yang lebih baik dari PH. Itu hak anda.

Namun, menolak fakta yang hakiki dan memutar belit keadaan dengan harapan orang lain menjadi bodoh seperti anda (sama ada bodoh nombor 1, 2 atau 3) adalah satu kebodohan.

RAFIZI RAMLI ialah naib presiden PKR.

Pas cakap berdegar tentang agama akhirnya sokong MCA?

AKMAL MANAF

Parti komponen Barisan Nasional (BN), MCA dilihat berpotensi berdepan masalah menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, berikutan pemeteraian Piagam Muafakat Nasional bersama Pas pada 14 September lalu.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, disebabkan ‘kebersamaan’ MCA dan Pas pada ketika ini, masyarakat Cina mula teragak-agak apabila MCA tidak lagi seperti dahulu.

“Dulu mana mungkin MCA sanggup duduk bersama dengan Pas, tetapi sekarang ini boleh duduk bersama dengan Pas kerana Umno telah mengheret Pas, maka dia (MCA) pun sanggup diheret sekali.

“Saya merasakan masyarakat Cina di Tanjung Piai sudah hilang keyakinan terhadap MCA, begitu juga dengan pengundi Melayu, keyakinan mereka terhadap Pas sudah hilang.

“Ini kerana, Pas yang cakap berdegar-degar tentang agama, akhirnya bila letak calon, MCA yang disokongnya. Bagi saya ini perkara yang cukup menarik sebab kita nak tengok sejauh mana rentak pengundi, terpengaruh dengan mainan politik dan rentak songsang.

“Dalam PRK Tanjung Piai ini, kita juga nak tengok macam mana reaksi pengundi apabila pemimpin parti dan calon mereka sudah tidak seperti dulu lagi,” katanya dalam segmen ‘Bicara YB Khalid Samad’ bertajuk, Tanjung Piai: Pas Dikudakan Lagi di Jom Channel, semalam.

Hari ini, media tempatan melaporkan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mencadangkan MCA dikekalkan sebagai wakil BN dalam PRK Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November depan.

Lokman berkata, tiada fakta yang membuktikan calon perlu dipilih daripada Umno atau Pas jika BN ingin memenangi kerusi yang memiliki lebih 50 peratus pengundi Melayu itu.

Untuk rekod, di Parlimen Tanjung Piai, komposisi kaum terdiri daripada 56.8 peratus Melayu, 41.64 peratus Cina, 1.01 peratus India dan lain-lain 0.55 peratus.

Dalam pada itu, Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam menyifatkan, Umno dan Pas kini sudah ‘kekok’ disebabkan sentimen yang mereka mainkan sebelum ini iaitu isu Melayu-Islam.

“Mereka (Umno dan Pas) tak tahu yang PRK akan diadakan di Tanjung Piai. Bila ianya berlaku, mereka dah tahu nak buat apa, akhirnya terpaksalah ikut tarian dan rentak yang baharu.

“Sekarang ini, semuanya dikira OK. Kalau undi calon bukan Melayu-Islam pun tidak mengapa, sedangkan sebelum itu mereka menghentam dengan mengatakan haramlah, itulah inilah tetapi bila ada PRK, eh bertukar pula. Inilah yang dikatakan tidak konsisten,” katanya secara sinis.