"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kongres AMK sesi pagi di MITC kecoh dengan insiden pergaduhan

AKMAL MANAF
Kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 sesi pagi yang berlangsung di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) ketika ini kecoh apabila sejumlah perwakilan dan ahli sayap PKR itu tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan kongres.

Difahamkan, perwakilan dan anggota AMK tidak dibenarkan masuk oleh skuad keselamatan parti itu dengan alasan tidak mempunyai pas perwakilan dan tidak memakai baju Melayu.

Kekecohan yang berlaku itu menyaksikan sejumlah perwakilan mempersoalkan tindakan skuad keselamatan parti yang tidak membenar mereka masuk, namun keadaan kembali terkawal apabila mereka sedikit demi sedikit dibenarkan masuk.

Turut tidak dibenarkan masuk adalah bekas Pengerusi Tetap PKR, Mizan Adli Mohd Noor, yang dipecat daripada jawatannya pada 24 November lalu.

Selepas keadaan agak terkawal, pengamal media bersama Mizan Adli mengadakan sesi temu ramah kira-kira 10 minit di luar pekarangan dewan kongres.

Namun, sebaik sahaja sidang media berakhir, keadaan bertukar tegang apabila perwakilan yang tidak dapat masuk, cuba merempuh masuk ke dalam dewan persidangan.

Skuad keselamatan parti dilihat bertungkus-lumus mengawal keadaan yang kecoh kira-kira 10 minit. Insiden pergaduhan itu turut berlarutan sehingga ke luar dewan MITC.

Terbaru Anwar dituduh melakukan 'salah laku seksual' lagi

Presiden PKR Anwar Ibrahim dituduh melakukan 'salah laku seksual' oleh bekas kakitangannya, hanya enam bulan selepas parti itu digegarkan skandal video seks yang mengaitkan timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Tuduhan terbaru ini dibuat oleh bekas penyelidik Anwar, Muhammad Yusuff Rawther dalam akuan bersumpahnya (SD) bertarikh 19 Novermber yang tidak dapat disahkan Malaysiakini secara bebas kesahihan dokumen tersebut.

Akuan bersumpah yang didakwa itu dikeluarkan sehari sebelum Kongres Nasional PKR di Melaka esok.

Setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak dalam maklum balasnya mendakwa akuan bersumpah yang dibuat Yusuff didalangi oleh Badrul Hisham Saharin, bekas anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dalam satu usaha lemah "untuk mencemarkan imej parti oleh seorang bekas ahli yang meroyan kerana tidak diendahkan."

Yusuff mendedahkan akuan bersumpahnya pada hari ini semasa "sidang akhbar" di lokasi yang tidak diketahui. Terdapat hanya satu mikrofon dan satu peranti rakaman audio di hadapannya.

Halaman Facebook yang baru dibuat dengan rakaman video lapan minit "sidang akhbar" kemudian dikongsi kepada pihak media.

Dalam video itu, Yusuff mengadu laporan polisnya terhadap Farhash sebelum ini yang menuduh Farhash menyerangnya pada 16 Mei di pejabat Anwar di Petaling Jaya, telah diabaikan.

Menurut akuan bersumpah yang dikatakan itu, yang turut disiarkan di laman Facebook, Yusuff mendakwa menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.

Yusuff mendakwa kejadian tersebut berlaku pada hari kelima kempen PRK Port Dickson. Anwar ketika itu calon PH dan kemudiannya memenangi pilihan raya kecil parlimen itu.

Dalam video itu, Yusuff berkata dia telah memberitahu kepada Badrul Hisham yang mencadangkan bahawa dia merekodkan pengalamannya di dalam dokumen akuan sumpah.

Yusuff juga menggambarkan Anwar sebagai "kenalan keluarganya" dalam video itu.

"Kononnya beliau kawan rapat keluarga, dihormati oleh datuk (saya, bagaimanapun) kejadian yang berlaku antara saya dan beliau bertentangan dengan apa pun yang diperjuangkannya.

"Ia sesuatu yang memalukan. Untuk seorang yang mengetahui kebenaran, ia tidak mudah," kata Yusuff.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata tiada laporan polis dibuat mengenai dakwaan kejadian pada 2 Okt 2018, yang dinyatakan dalam akuan bersumpah itu.

Malaysiakini tidak dapat menghubungi pesuruhjaya sumpah yang menyaksikan akuan bersumpah itu. Pejabatnya mendakwa pesuruhjaya sumpah tersebut kini berada di luar negara.

Malam tadi, Badrul Hisham membuat hantaran di Facebooknya menafikan sebarang penglibatan dalam "skandal." Tidak pasti apa yang dirujuknya. Walau bagaimanapun, hantarannya itu disertai oleh tangkap layar mesej telefon merujuk kepada "PC Skandal DSAI".

Dalam satu kenyataan pada petang ini, Farhash menuduh Yusuff dimanipulasi oleh Badrul Hisham.

"Inilah contoh manusia hina yang tidak kenal erti budi dan sanggup dipergunakan demi agenda tersendiri," katanya.

.Anwar nafi ada rundingan damai dengan wakil kem Azmin

Yasmin Ramlan | Berita

Presiden PKR, Anwar Ibrahim, menafikan khabar mendakwa ada usaha membawa perdamaian di antara beliau dengan timbalannya, Azmin Ali.

Bercakap kepada media di lobi parlimen hari ini, Anwar berkata, apa yang berlaku sebelum ini hanya perbincangan biasa dengan beberapa ahli parlimen PKR.

Menurut Anwar, ada beberapa pemimpin PKR yang ingin bertemu dengan beliau seperti bekas ahli parlimen Batu, Tian Chua, Maria Chin (MP Petaling Jaya), R Sivarasa (Sungai Buloh, Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa) dan Fahmi Fadzil (Lembah Pantai).

"Semalam, ada majlis pengajian (tazkirah) di rumah saya... ada daripada AMK (Pemuda PKR), Wanita datang, saya berjumpa semua.

"Mesej saya (ialah) jangan persulitkan kerjasama, jangan gunakan forum untuk menyerang sesiapa, bermuafakat untuk bangkitkan kesedaran parti dengan satu agenda," katanya.

Menjelang Kongres PKR hujung minggu ini, krisis dalaman parti itu semakin menjadi perhatian dengan ketegangan hubungan di antara kumpulan Anwar dan Azmin semakin meningkat.

Tak halang pertemuan

Terdahulu, dengan memetik sumber, NST melaporkan Tian Chua mengadakan pertemuan dengan Anwar pada tiga hari lalu tetapi lokasi dan masa ia berlangsung tidak didedahkan.

Tian Chua dianggap antara pemimpin kanan PKR yang berada dalam kumpulan Azmin.

Difahamkan Tian Chua menasihati Anwar supaya meneliti situasi yang asalnya telah selesai tetapi kembali hangat apabila bekas setiausaha politik Baru Bian, Zakaria Abdul Hamid, dipecat.

Ia kemudian diikuti dengan beberapa pemecatan lain.

Anwar berkata, beliau juga tidak mengadakan pertemuan empat mata dengan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, sebaliknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara terbuka.

"Pertemuan hati ke hati mungkin belum. Tapi pertemuan biasa di mesyuarat Majlis PH saya jumpa dia, tidak ada masalah.

"Saya tidak pernah menghalang mana-mana pertemuan, tapi saya agak keberatan kalau ia mewakili kelompok-kelompok dan faction (berpuak-puak), saya tak mahu," katanya.