"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pejuang punah, MUDA terpinggir di PRN Johor

FMT Reporters

PETALING JAYA: Semua 42 calon Pejuang dan hampir semua calon MUDA kalah dalam PRN Johor malam ini – berdasarkan keputusan tidak rasmi – petanda malap untuk parti pimpinan veteran Dr Mahathir Mohamad dan anak didiknya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Keputusan itu khususnya memberi tamparan hebat khususnya kepada Pejuang, yang meletakkan harapan tinggi untuk meraih beberapa kerusi dalam usaha menjadi pesaing serius kepada gabungan besar seperti Umno-BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Berdasarkan pengiraan awal undi, MUDA kemungkinan hanya memenangi satu daripada enam kerusi yang diberikan kepadanya oleh DAP dan Amanah. Syed Saddiq kini terpaksa memikirkan strategi baharu untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Untuk Pejuang, kebergantungan kepada kuasa penarik Mahathir dilihat membawa padah apabila bekas Perdana Menteri berusia 98 tahun itu tidak dapat berkempen secara aktif setelah baharu keluar hospital akibat rawatan jantung.

Kekalahan teruk Pejuang akan menimbulkan tanda tanya mengenai kelangsungan parti itu tanpa pembabitan aktif Mahathir kerana faktor kesihatan dan usia.

Sungguhpun parti itu mempunyai anak Mahathir, Mukhriz sebagai presiden, umumnya Pejuang tidak dilihat mempunyai pimpinan yang mempunyai aura nasional dan mantap untuk menyaingi lawan seperti PH, Umno-BN, dan PN.

Justeru, Pejuang terpaksa berganding dengan parti lain untuk menjadi pesaing serius pada PRU15, namun pilihannya terhad, memandangkan beliau menolak Anwar Ibrahim (pengerusi PH) dan Muhyiddin Yassin (pengerusi PN).

MUDA yang bertanding di PRN, hanya beberapa minggu setelah pendaftarannya di sahkan, menjadi tumpuan kerana faktor penambahan lebih 700,000 pengundi baharu susulan pendaftaran automatik pengundi berusia 18 tahun.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan pengundi di Johor lebih 2.5 juta berbanding 1.8 juta pengundi pada PRU14 pada 2018.

Namun, jumlah peratus pengundi keluar mengundi yang rendah menunjukkan MUDA perlu bekerja lebih keras untuk menyampaikan mesej dan menyakinan pengundi muda untuk keluar mengundi.

Apa pun, parti setahun jagung itu boleh menjadikan kerjasamanya dengan DAP dan Amanah sebagai pemangkin menubuhkan gandingan lebih luas pada PRU 15, sungguhpun di Johor, PKR yang menjadi tonggak PH, dingin terhadap kerjasama dengan MUDA.

Laungan ‘Bubar Parlimen’ iring kemenangan BN

FMT Reporters

JOHOR BAHRU: Laungan ‘Bubar Bubar Bubar Parlimen’ berkumandang di pusat gerakan Barisan Nasional, sejurus keputusan tidak rasmi menunjukkan gabungan itu menawan Johor dengan majoriti 2/3 pada PRN malam ini.

Penyokong Umno rata-rata teruja dengan keputusan itu dan menyertai pemimpin Umno dalam mendesak supaya PRU disegerakan. Laungan itu semakin lantang di hadapan Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini mahukan PRU15 disegerakan demi ‘memulihkan kestabilan politik negara’ yang terjejas sejak 2020 susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Bagaimanapun parti lawan seperti Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional tidak mahu PRU diadakan lebih awal, khususnya semasa negara masih bergelut dengan pandemik Covid-19.

Malah PH menawarkan untuk melanjutkan memorandum persefahaman (MoU) kerjasama dengan kerajaan pimpinan Ismail Sabri dengan syarat PRU15 tidak diawalkan.

Penyokong di bilik gerakan BN memancarkan sentimen akar umbi yang mahu pimpinan Umno menggunakan kemenangan besar di Johor malam ini dan Melaka sebelumnya untuk menyusun langkah memastikan kemenangan pada PRU15.

Tak rasmi: BN menang majoriti mudah

Malaysiakini 

10.21 malam: Malaysiakini mengunjurkan BN telah menang 28 kerusi DUN, jumlah minimum yang diperlukan untuk majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Ditambah dengan sejumlah kerusi yang sedang didahului BN, gabungan itu tidak mustahil akan meraih majoriti dua pertiga dalam PRN ini. Sebanyak 38 kerusi perlu dimenangi untuk itu.

PN buat kejutan di Endau

10.15 malam: Perikatan Nasional (PN) menarik kemenangan mengejut di Endau, merampas kerusi itu daripada BN.

Sehingga kini, ia satu-satunya kerusi penyandang BN yang tewas.

Ilham Center telah memilih kerusi itu sebagai kawasan yang perlu diperhatikan atas faktor calon.

Endau ialah kerusi DUN di bawah kawasan Ahli Parlimen Mersing Abd Latiff Ahmad yang berpaling tadah daripada Umno kepada Bersatu.

Alwiyah Talib dari PN menang dengan majoriti 3,041 undi.

Dia meraih 8,433 undi berbanding BN 5,392 undi, PH 1,154 undi dan Pejuang 145 undi. Calon bebas pula mendapat 77 undi.

Ini kerusi kedua yang dimenangi PN selepas Bukit Kepong.